Jom lihat!

Thursday, August 18, 2011

MyCerpen: Saf


Dina melangkah masuk ke dalam surau sambil memberi salam kepada muslimah yang ada di ruang sembahyang. Suaranya entah didengari entah tidak, bagaikan tenggelam di sebalik suara-suara riang kanak-kanak yang berlari-larian di dalam surau itu. Hati Dina terasa jengkel sedikit, di mana ibunya yang sepatutnya menasihati dan menjaga anak-anak ini? Beberapa kanak-kanak yang tengah bergelak ketawa dan berkejaran itu dipandangnya sekilas.

Dina terus menuju ke saf hadapan, dan meletakkan beg rainbow colornya di depan. Memang ni port biasa dia. Memandangkan ramai jemaah yang suka duduk di barisan kedua, ketiga atau belakang. Mungkin juga rezeki dia datang awal hari ini. Dia lebih selesa duduk di saf hadapan dari di saf kedua atau seterusnya. Lebih luas pemandangan dan tidak terasa rimas.

Seperti biasa, dia niat beriktikaf dan menunaikan solat sunat tahiyatul masjid. Seusai solat sunat, dia berdoa beberapa tika, meminta agar dibersihkan hatinya, dilapangkan dadanya dan diberi akal fikiran yang terang. Kemudian, dia mengambil senaskhah al-Quran yang disediakn di surau itu, lalu dibelek helaian muka surat yang dia berhenti semalam. Sementara menanti Isyak, lebih baik masa itu diisi dengan bertadarus atau membuat solat sunat lain.

Tiba-tiba, pahanya dicuit lembut. Dina berpaling.

"Assalamualaikum kak Dina," sapa seorang gadis bercermin mata sambil menghulurkan tangan untuk bersalaman. Wajahnya sentiasa tersenyum.

"Waalaikummussalam Izzati." Dina tersengih memandang gadis itu.

"Awal kak sampai hari ni?" Sekadar berbasa-basi, lalu dia bersimpuh di sebelah Dina.

"Aha kebetulan cepat sikit keluar rumah, dapatlah dok depan ni." ujar Dina sambil tersenyum. Kebiasaannya, sememangnya rezeki Dina tiap-tiap malam bersolat di saf hadapan. Walaupun dia terlambat datang, apabila imam menyebut 'Saf' sebelum memulai solat Isyak, pasti ada ruang kosong di hadapan yang cukup untuk dua atau seorang. Dina pasti akan memenuhi saf itu.

Dina dan Izzati berbual-bual seketika. Dina mengenali Izzati di surau ini, apabila Izzati menegurnya dan sebelum pulang pada hari tersebut, Izzati meminta nombor telefon Dina. Salam ukhuwah di bulan Ramadan.

Lagi seorang pula bernama Farah. Dia juga sentiasa bersolat di saf yang sama, bersebelahan. Malam itu, Farah datang lewat sikit namun masih berkesempatan untuk menyelit di saf hadapan. Alhamdulillah.

Kemudian, Dina memulakan tadarusnya dengan Bismillah. Izzati meminta diri untuk ke tempat wuduk, afdal memperbaharui wuduk setiap kali mahu bersolat, walaupun kita masih ada wuduk tersebut. Setiap titik air wuduk yang jatuh dari wajah kita, ianya gugur bersama dosa-dosa kecil. Insya Allah.

Solat Isyak berjemaah bermula. Alunan hafazan al-Quran yang dibacakan oleh imam tersebut amat mengasyikkan. Tajwid dan taranumnya serta suaranya yang sedap didengar, membuatkan Dina lebih kusyuk. Teringin gak nak tahu siapa empunya suara itu. Hehe. Sempat lagi hati Dina terfikir.

Seusai solat Isyak berjemaah, solat sunat selepas Isyak ditunaikan secara bersendirian pula. Ucapan sepatah kata dari orang kanan masjid kedengaran, memberitahu jumlah kutipan derma semalam, menegur ibu bapa supaya mengawal anak-anak yang bermain, dan mengulas sedikit tentang aktiviti masjid pada bulan Ramadan. 

Ketika itu juga, datanglah seorang kanak-kanak perempuan sambil membawa peti duit berwarna hijau, untuk kutipan derma pada hari ini. Dina sekadar tersenyum memandang kanak-kanak itu, kerana Dina terlupa nak bawa duit untuk didermakan. Ya, senyum itu juga satu sedekah. Namun, sedikit terkilan kerana dia tidak dapat turut serta menderma pada malam itu. Dina sudah berazam, dia mahu menderma setiap malam walaupun nilainya sedikit. Sikit-sikit lama-lama jadi bukit.

Solat sunat tarawih bermula. Di sebelah Dina ada saf kosong untuk seorang, kerana mak cik tadi balik ke rumah, ada hal katanya. Dina pandang mak cik sebelah kirinya, minta merapatkan saf. Mak cik sebelah kiri geleng kepala, cakap dia nak duduk dekat dengan kipas. Muka dia tu bagaikan ada benda jijik je nak memenuhi saf sebelah Dina. Dina pandang belakang, minta mukminat penuhkan saf. Tiada seorang pun yang mahu berganjak, semua nak duduk sebelah anak-beranak masing-masing. 

Dina menegur mak cik sebelah secara perlahan, " Mak cik, kalau saf tak rapat, takut tak sah sembahyang."

Mak cik tu buat dek je sambil mulutnya terkumat-kamit membaca sesuatu. Doa mungkin. Hati Dina terkilan dengan sikap para muslimat. Begitu juga Farah di sebelahnya. Masing-masing terasa janggal tatkala menunaikan terawih tanpa bersentuhan bahu. Dina dan Farah cuba menjarakkan diri sedikit, agar ruang kosong tu tidak terlalu ketara. Aneh, biasanya ada je orang nak penuhkan saf. Malam ni, semua ikut kepala masing-masing? Apakah tujuan mereka datang beribadat malam ni kalau masing-masing nak duduk bawah kipas, nak duduk sebelah mak dan anak? 

"Em, tak bersentuh pun bahu kita kan? Rasa pelik." ujar Farah seusai dua rakaat yang pertama. Dina mengangguk, mengiyakan kata-kata Farah. Kebiasaannya, sampai sempit dan padat kami sembahyang, ada sampai terduduk atas kaki muslimat sebelah bila nak duduk tahiyat akhir tu. Tetapi hari ni....

"Masa usrah dulu, naqibah ada cakap kita wajib meluruskan saf. Bukan aje lurus, tapi bahu bertemu bahu, lutut bertemu lutut dan buku lali bertemu buku lali. Em, ini untuk lelaki lah. Tapi untuk perempuan pun, kena bertemu bahu juga, barulah betul-betul rapat dan tidak boleh ada celah." cerita Farah pada Dina tanpa dipinta.

"Itulah, semua nak dekat dengan kipas, nak duduk sebelah anak. Nak selesa diri sendiri. Tapi, tak de yang fikir nak bantu penuhkan saf depan. Em, patut kena rapat ke kanan, mana ada rapat ke kiri." balas Dina dengan perasaan yang masih terkilan. Terlalu ketara barisan saf pada malam ini. Tak rapat. Tak tahulah saf belakang macam mana sebab Dina tak menoleh ke belakang.

"Rapatkan saf."

Kata-kata imam itu bagaikan angin yang lalu. Berapa ramai yang mahu mengikutinya padahal kita disuruh untuk meluruskan dan merapatkan saf. Barulah nampak kesatuan umat Islam tu, tidak bercerai-berai. Em, ni nak suruh rapat pun, hanya gelengan yang menjadi jawapan.

"Tak apalah. Kita buat mana yang mampu. Kita dah minta semua penuhkan, tapi tak de yang nak bergerak." Farah tersenyum sambil memandang Dina sekilas. 

Dan mereka meneruskan solat sunat terawih pada malam itu seperti biasa. Cuma, kekurangannya saf barisan Dina, terasa kerenggangan yang amat berbanding malam-malam sebelumnya.



Tamat


Jadi, luruskan dan rapatkan saf kamu wahai muslimin dan muslimat. Keutamaan kelurusan barisan dan rapatnya saf menunjukkan Islam itu mementingkan kesatuan umat dan displin dalam diri. Jangan kita ambil remeh dan pandang ringan dalam meluruskan saf sembahyang jemaah.


Sekadar Coretan,
Tuan Auz

No comments:

Post a Comment