Jom lihat!

Monday, April 23, 2012

Teaser "Projek A"


[Teaser "Projek A"]


Prolog

Berpinar-pinarnya kepalanya dan terasa amat berat untuk membuka mata. Tubuhnya lenguh-lenguh dan nyilu hingga ke tulang. Dia cuba menggerakkan tangannya, untuk mengubah posisi yang menyesakkan dadanya. Perit. Tangannya tidak mampu untuk dilepaskan. Statik.

Kedua-dua tangan dan kakinya berikat kemas. Dia terbaring di atas tilam lusuh yang berdebu. Argh! Aku kat mana ni? Wajahnya terasa pucat. Adrenalin mengalir laju. Peluh mulai menitik. Panas. Berkuap bilik itu. Kedengaran derapan tapak kaki semakin menghampiri. Dalam bilik kecil yang disamari cahaya pelita membuatkan mata hitamnya semakin membesar, cuba untuk menangkap bayangan di depan matanya.

"Selesa tidur di tilam usang ini?"

Berderau darahnya mendengar suara itu. Siapa!? Hanya kelihatan separuh tubuh empunya suara. Wajahnya tidak kelihatan. Yang pasti, dia dapat merasakan sebuah senyuman sinis di sebalik pertanyaan tadi.

"Kesian. Ingatkan hebat sangat, tapi bila letak kau kat tempat macam ni, penakut juga."

"Kau... kau siapa?!" soalnya tatkala terasa dirinya dipermainkan. Ikatan kukuh itu cuba disanggahnya lagi. Kemas. Hanya menambah kesakitan pada pergelangan tangannya.

"Girlfriend kau terkini, anak jutawan mana pula ya?"

Terkedu dia seketika. Siapa orang ni? Macam mana dia tahu aku ada girlfriend anak jutawan? Argh! Kakinya direnjat berkali-kali. Kuatnya!

"Tak payah bazirkan tenaga. Releks aje, Azril Kusyairi."

"Mana kau tahu nama aku? Kau siapa! Apa hal kau ni?" Azril mengetap bibirnya. Aku tak nampak muka dia! Kalau aku nampak, siaplah!

"Dah berapa ramai pompuan kau kikis duit? Awek siapa dah kau rampas suka hati kau? Memang kau handsome, tapi menyakitkan mata aku je." Tenang sahaja suaranya. Releks. Seperti sudah tahu bahawa Azril tidak mampu untuk berbuat apa-apa lagi.

"Apa kau nak hah? Aku tak de cari pasal pun dengan kau!" Marah Azril. Dalam hatinya, Tuhan saja yang tahu betapa dia gementar. Entah apa yang bakal menunggu di hadapannya.

"Garangnya. Tapi, pandai pulak bermulut manis nak tackle 'sponsor' kau kan. Okaylah. Panaskan kat sini? Aku pun dah berpeluh ni. Aku bagi kau satu peluang untuk hidup. Kau jawab soalan aku. Sepuluh saat."

"Kau merepek apa? Kau nak bunuh aku?" Azril panik. Bilik samar-samar itu terasa melemaskan dirinya.

"Aku tak cakap pun nak bunuh kau? Kau yang cari penyakit. Dengar soalan ni."

"Lepaskan aku! Aku bagi apa saja kau mahu. Lepaskan!" Panik! Badannya dibengkokkan, cuba untuk membawa tangan yang diikat di belakang ke hadapan badannya namun tidak berjaya.

"Rukun Islam ada berapa? Sebutkan, kalau kau sayang nyawa." Ketawa kecil.

Apa....Rukun Islam? Argh! Azril menjerit kecil, tergigit lidah dek ketakutan. Kepalanya tidak dapat berfungsi. Rukun Islam? Rukun Negara tu lain?

"Jangan nak kenakan aku lagi! Lepaskan tali ni!" Kenapa aku tak tahu Rukun Islam yang mana satu? Rukun Islam. Rukun...rukun.....

"Eh, dah lima saat. Cepat." 

"Ada...ada enam?" Jawab Azril terketar-ketar.

"Masa tamat. Jawapan anda salah." Kelihatan the mastermind sedang membetulkan bajunya. "Terimalah denda kerana tidak dapat menjawab soalan tadika tu. Jangan risau, lepas ni aku report polis, tengok dorang boleh selamatkan kau atau tidak." Derapan langkah mula meninggalkan bilik itu.

"Woi! Woi!! Sialannn! Lepaskan aku! Pengecut! Kalau kau berani, berdepanlah!" Terjerit-jerit Azril. Dia ketakutan, dalam masa yang sama sangat marah terhadap orang tadi. Siapa dia?

Tidak berapa lama kemudian, bau gas mula memenuhi ruang. Azril semakin panik. Dia menjerit meminta tolong sambil meronta-ronta cuba untuk melepaskan diri. Bau gas semakin memenuhi ruang, menusuk ke segenap rongga tubuh Azril. Lolongan suara Azril semakin lama semakin lemah dan terus tidak kedengaran....




Sekadar Coretan,
Tuan Auz