Jom lihat!

Sunday, May 22, 2011

Emas Ketiga: Cukuplah Kemuliaan Anda Dengan Menjadi Seorang Muslimah


"Arghhh...huuuuhh!"

"Zakiah, kenapa mengeluh panjang ni?" tegur Nurul seraya mendengar kawannya mendengus kuat, seperti ada sesuatu yang tidak terluah tersimpan di dadanya.

"Hmmm.....entahlah." Zakiah menongkat kepalanya di atas meja. Matanya tidak terus memandang wajah Nurul. Dia seperti berkira-kira sama ada mahu berkongsi atau tidak. Nurul sekadar tersenyum, tetap setia menanti kata-kata dari kawannya itu.

"Ada masalah?" tambah Nurul.

"Aku macam menyesal kahwin dengan dia." ucap Zakiah, perlahan.

"Ya Allah. Kenapa cakap macam tu? Tak baik, Zakiah." 

"Entahlah...." Zakiah memintal-mintal hujung tudungnya. "Dia baik."

Nurul merenung tepat pada wajah Zakiah. Menunggu sambungan seterusnya.

"Aku macam tak leh nak follow gaya hidup dia. Aku masih muda. Dia suruh aku pakai tudung. Bukan biasa-biasa, tudung besar macam ni pulak tu. Dia tak benarkan aku keluar malam-malam dengan kawan-kawan. Malam aku terperap je kat rumah. Siang je, itu pun kadang-kadang dia follow sekali. Aku tak leh nak bergaya sangat sekarang macam dulu-dulu." Keluh Zakiah. 

Nurul mengusap dagunya, seakan berfikir nasihat apa yang sesuai untuk diperkatakan. Tiba-tiba je Zakiah bercakap begini dengannya. Padahal, hampir setahun mereka bernikah. Sememangnya gaya hidup Zakiah agak bebas sebelum ini. Bukanlah dia perempuan murahan, cuma dia jenis yang outgoing, pakaian yang bergaya dan tidak menutup aurat dan seorang yang agak sosial. Kawan-kawannya ramai. Dia juga seorang yang suka travel ke sana dan ke sini. Semua orang terkejut apabila dia berkahwin dengan Muhd Zaid, seorang jurutera yang berwajah manis dan agak alim pada pandangan Nurul.

"Apa salahnya dia follow. Lagi seronokkan? Kawan-kawan kau tak suka ke?" Nurul cuba untuk mengorek lebih isi hati Zakiah. Hmm, logiklah kot, lepas kahwin je memang dia terus bertudung. Bukan tudung singkat, tudung yang berbidang 60 tu.

"Kawan-kawan aku okay je. Dorang pulak yang rancak borak dengan Zaid. Lagi pun, Zaid ni memang pandai sesuaikan diri, tak kiralah apa jenis kawan aku pun. Cuma aku tak senang hati je." Zakiah mencebik.

"Kenapa tak senang hati?" tanya Nurul sambil tersenyum.

"Aku tak suka tengok dia baik dengan kawan-kawan aku tu. Tak tahu apsal."

"Kau cemburukan?" Nurul tersengih. Zakiah terdiam. Target terkena. Dia tidak mengangguk atau menggeleng. Zakiah membuang pandangan ke arah jalan besar.

"Salah ke cemburu?" soal Zakiah sambil mengerutkan dahinya. Dia sedikit ego untuk mengaku dia cemburu. Aah, aku cemburu rupanya. 

"Tak salah. Itu tandanya kau sayangkan dia." 

"Em, aku sayangkan dia. Dan aku tahu dia sangat sayangkan aku." Kata Zakiah tanpa dipinta. Nurul tersenyum lagi.

"Rimas pakai tudung?" tanya Nurul, seakan-akan memprovok kawannya itu.

Zakiah diam. Dia tidak tahu apa patut dijawab.

"Kau nak bergaya untuk siapa bila keluar rumah? Bergaya kat rumah depan suami cukuplah. Bila keluar rumah, pakailah yang menutup aurat tapi sedap mata memandang. Banyak baju-baju labuh yang cantik-cantik sekarang. Nak senang, pakai je jubah atau jubah seluar. Terus lengkap." Nurul menghirup air teh O panas yang dipesannya tadi. Kemudian, dia memandang orang-orang di dalam kedai makan itu. "Apa yang Zaid buat tu betul. Dan memang tanggungjawab kau sebagai seorang muslimah untuk menutup aurat. Bergaya itu fesyen di dunia saja. Allah tak pandang semua tu bila kau dihisab nanti. Secara jujur, aku lebih suka diri kau yang sekarang. Nampak sopan dan manis sangat. Bertambah cantik. Aku tak tipu." 

"Tapi, aku tak berapa selesa." sampuk Zakiah. "Rasa macam hipokrit."

"Adakah kau bahagia dengan Zaid?" 

Zakiah mengetap bibirnya. Kemudian, dia mengangguk.

"Kalau bahagia, apa yang kau tak puas hati lagi?"

"Aku tahu aku tersilap kata tadi. Aku tak patut cakap aku kesal kahwin dengan dia. Betul. Memang aku happy hidup dengan dia. Zaid caring, penyayang, memang seorang suami yang ideal. Idaman semua wanita. Em, mungkin part yang dia suruh aku pakai tudung kot. Aku rasa tak ready lagi." jelas Zakiah.

"Bertudung tapi tak rela, bukan hipokrit. Itu perkara wajib. Kau suka atau tidak, kau wajib ikut suruhan Allah. Bertudung menutup aurat adalah perintah Allah. Zaid sekadar melaksanakan tanggungjawab dia sebagai seorang suami yang soleh, untuk didik dan jaga kau. Sebab tu la dia suruh kau bertudung penuh. Bukan pakai shawl, lilit sana sini, tocang tinggi cam bukit dan berbaju ketat. Tak de kemanisan langsung. Sekurang-kurangnya, kau paksakan diri bertudung. Alhamdulillah. Banyakkan berdoa semoga Allah bukakan pintu hati kau, untuk redha dan tenang dengan apa yang kau buat. Insya Allah, redha Allah bersama kau."
"Em, panjangnya ko bercakap." Zakiah ketawa kecil. Dia mengakui kebenaran kata-kata Nurul. Nurul kawannya sejak sekolah menengah. Dia masih single lagi. Katanya, dia tak kisah sangat tentang jodoh. Kalau ada, adalah. Dia malas nak pening kepala risau jadi andartu ke apa. Katanya, Allah Maha Mengetahui dari orang lain. 

"Nak nasihat kau jugak. Terkejut aku kau cakap macam tu tadi. Jangan cakap gitu lagi okay. Bersyukurlah dapat suami macam Zaid. Kau tahu, ada satu hadis ni, emmm riwayat Ahmad kalau tak silap aku, katanya apabila seorang wanita berbakti kepada suaminya, mengerjakan solat lima waktunya, dan memelihara kehormatannya, nescaya ia akan memasuki syurga Tuhannya. Kita beruntung dilahirkan sebagai muslimah, dan beragama Islam. Mudahkan? Buat je apa Allah suruh dengan ikhlas, insya Allah syurgalah yang Allah janjikan."

"Aku buat semua tu....makan minum dia, pakaian....em..." Tiba-tiba, handphone Zakiah  berbunyi. "Assalamualaikum, abang."

Nurul sekadar memerhati perbualan antara Zakiah dan Zaid. Dia gembira melihat Zakiah berkahwin dengan Zaid. Sekurang-kurangnya, lelaki itu dapat memimpin Zakiah ke arah kebaikan, ke jalan yang lurus. Dia pernah berjumpa dengan Zaid, dan sememangnya dia sedikit cemburu dengan Zakiah. Beruntung Zakiah dapat Zaid. Itulah jodoh yang sudah ditentukan oleh Allah untuknya. Bagi Nurul, dia rela tidak berkahwin kalau bukan dengan lelaki soleh. Tak sanggup dia nak mengharungi keperitan hidup berlakikan suami yang tidak bertanggungjawab.

"Em, Zaid on the way. Dia nak ambil aku kat sini." kata Zakiah sambil tersenyum.

"Eceh, bahagianya muka kau. Berseri-seri! Nyampah je drama kau tadi." Nurul tersengih.

Zakiah ketawa.

"Terima kasih dengar isi hati aku. Aku akan ingat nasihat kau. Betul tu. Aku patut bersyukur dapat Zaid. Sebenarnya, aku risau Zaid akan cari lain kalau aku tak bergaya cantik....." Akhirnya, Zakiah meluahkan isi hatinya yang sebenar kepada Nurul.

Nurul menggelengkan kepalanya sambil tersenyum. Ada-ada je minah ni! Boleh pulak dia fikir macam tu. Padahal, dia dah cukup cantik dan bertambah cantik apabila bertudung litup macam ni.

"Assalamualaikum."

"Waalaikummussalam..." jawab Nurul dan Zakiah serentak. Zakiah tersenyum manis tatkala melihat suaminya yang menyapa.

"Abang, duduklah kejap. Sayang nak habiskan sikit lagi." 

"Em, sedapnya. Nasi goreng ikan masin ye." Zaid tersengih sambil mengambil tempat dia sebelah isteri tersayang. "Hai, Nurul sihat?"

"Aku okay je. Kau tak nak order ke Zaid?" balas Nurul.

"Tak pelah. Perut tak lapar pun. Aku share dengan sayang aku ni je." ujar Zaid selamba. "Bolehkan sayang?" 

Zakiah mencebik. Kononnya tak nak berkongsi. Tapi, tangannya tetap menghulurkan sudu kepada Zaid.

"Zaid, kau rasa Zakiah ni cantik tak?" tanya Nurul spontan.

"Eh kau ni, mestilah Zakiah lawa. Cantik okay sayang aku ni. Kan Zakiah, ada ke patut Nurul tanya macam tu. Mestilah Zakiah abang cantik." Tersengih-sengih Zaid memuji isterinya sambil memeluk bahu Zakiah mesra. Zakiah tersipu-sipu malu. Nak tergelak Nurul tengok. Sebelum ni, bukan main sosial. Tahu juga malu dia.

"Ha, dengar tu Zakiah. Suami kau cakap kau cantik. Tak payah risaulah kalau rasa kau tak bergaya ke apa. Kau memang cantik di hatinya." tambah Nurul.

"Kau ni....diam-diam sudahlah. Malu aku tau!" Zakiah merungut sambil memuncungkan mulutnya. Dia segan sungguh dengan Zaid. Mungkin sebab depan Nurul kot? Aku pemalu?? Rupanya aku penyegan juga. Tetapi, dia rasa sungguh bahagia dengan layanan Zaid kepadanya. Zaid tidak kekok untuk tunjuk rasa sayang depan orang lain. Mamat tu apa kesah, bini aku, tu dia cakaplah. 

"Abang tahu kenapa Nurul tanya macam tu. Tak pe. Biarlah jadi rahsia. Apa-apa pun, abang suka Zakiah yang macam ni. Barulah isteri abang yang disayangi. Okay?" ucap Zaid sambil mencubit pipi Zakiah. Arghhh, mamat ni sudah-sudahlah buat aku segan, getus hati Zakiah.
Nurul tersengih melihat gelagat dua orang kawannya. Dalam hati, dia berdoa semoga kebahagiaan mereka berdua berpanjangan. Semoga dia juga dipertemukan dengan yang terbaik untuk dirinya. Terasa dirinya semakin bersyukur menjadi seorang muslimah. Muslimah yang benar-benar mengamalkan ajaran Tuhannya Yang Maha Agung. Semoga iman di dada sentiasa dilindungi Allah dan sentiasa teguh sehingga ke akhirnya hayatnya. Amin.



~Bekalan~
Bukan Emas Yang Mempercantikkan Anda,
Melainkan Yang Mempercantikkan Adalah Akhlak Anda,
dan Kekayaan Anda Adalah Etika Anda.


Sekadar Coretan,

Tuan Auz

Friday, May 20, 2011

Emas Kedua: Anda Mempunyai Segudang Nikmat


Sesungguhnya Bersama Kesulitan Ada Kemudahan.


Demikianlah ringkasnya SMS yang diterima oleh Awatif dari seorang kawan. Ringkas, tetapi bermakna. Air matanya bergenang dan serta-merta laju mengalir membasahi pipinya. Terasa perit dan hiba apabila terkenangkan hidupnya sekarang. Dia bagaikan terumbang-ambing dan hilang arah tuju. Sejak kematian suaminya tiga minggu lepas, setiap hari dirinya ditemani air mata dan kekecewaan. Dia rindukan lelaki itu.

"Mama...."

Anak kembar lelakinya memanggil di luar pintu. Awatif segera mengelap air matanya dengan hujung kain bajunya. Dia tidak mahu anak-anak runsingkan dirinya. Mereka masih belajar. Mereka juga kesedihan kerana kehilangan ayah tersayang.

"Mama, Mama okay ke?" tanya anak lelakinya itu lagi.

Awatif membuka pintu biliknya yang terkunci sejak tadi lagi. Mungkin dia terlalu lama di dalam menyebabkan anaknya datang mengetuk pintunya.

"Ye, Muaz?" Awatif tersenyum sambil mengusap kepala Muaz.

"Mama, Mama nangis lagi?" Muaz mengerutkan dahinya, risau sungguh dia melihat mamanya bersedih. Walaupun belum sampai sebulan ayahnya kembali ke Rahmatullah, kesedihan masih terasa, tetapi Muaz perlu kuatkan diri. Dia tak boleh hanyut dengan kesedihan, getus hatinya.

"Mama rindukan Papa...." balas Awatif, antara dengar tak dengar suaranya. Air matanya bergenang lagi. "Maafkan Mama. Mama dah buat Muaz dan Muazzam risau. Mana Muazzam?"

"Muazzam keluar kejap pagi tadi. Dia dah on the way balik." jawab Muaz sambil merenung wajah mamanya. 

"Jom makan. Muaz nak makan apa, biar mama masak." ujar Awatif sambil tersenyum lemah memandang anak terunanya yang kini berada di Tingkatan Lima. Dia memiliki sepasang kembar lelaki dan seorang anak perempuan tunggal yang kini belajar di Tingkatan Tiga.

"Muaz dah masak lunch. Ni nak ajak Mama makan sekalilah. Mariah dah ready meja tu." ucap Muaz sambil tersenyum. Mereka bertiga memang sudah diajar berdikari sejak kecil oleh papa dan mama mereka. Semua pandai memasak dan menjahit, mengemas rumah, cuma siapa lebih rajin dan malas saja.

Awatif terdiam mendengar kata-kata Muaz. Anak kembarnya yang sorang itu memang lebih bertanggungjawab berbanding dengan abang kembarnya yang agak nakal. Biasanya, Muaz lah yang memasak dan mengemas rumah. Selalunya, dia akan ajak Mariah sekali. Muazzam jarang-jarang membantu tapi anaknya yang sorang itu baik budaknya walaupun nakal. Gila-gila remaja.

"Mama minta maaf sebab Mama tak dapat jadi ibu yang baik....." Terpacul kata-kata itu dari bibir mungil Awatif. Sejak hari pertama pemergian suaminya, dia sangat tertekan. Tambahan pula, dia dan suaminya memang sangat rapat. Apa-apa yang mereka buat, mesti berdua. Teman bicara yang setia siang dan malam.

"Ma, Muaz kan ada? Muaz harap Mama kuat semangat. Papa mesti nak Mama gembirakan? Jangan sedih sangat, nanti sakit. Kesian Mariah tu risau dia tengok Mama." Muaz memeluk bahu Mamanya. "Jom makan."

Muazzam pulang sambil membawa tiga kotak kecil buah strawberi yang dibelinya di pasaraya tadi. Dia tersenyum sambil menuju ke meja makan. Memang on time timing dia! Dia tahu adiknya Muaz tu memang tere masak. Dia mengerling ke arah Mamanya yang kelihatan lesu itu. Hatinya dirundung pilu. Dia tak sanggup untuk melihat Mamanya bersedih hati setiap hari.

"Mama, Muazzam belikan hadiah untuk Mama. Favourite Mama kan?" Ujarnya sambil menghulurkan tiga kotak strawberi yang dibelinya tadi. Dia bukanlah seorang yang pandai mengambil hati, tetapi dia berharap mamanya senang hati mempunyai anak seperti dirinya. Dia mahu Mamanya gembira. Siapa tak sedih kehilangan ayah tersayang, tapi dia mesti kuat. Dia kena jaga Mama, Muaz dan Mariah. 

Awatif tersenyum senang hati. Dia mengusap kepala Muazzam beberapa kali. Hatinya tersentuh dengan anak-anaknya yang tabah dan sabar menghadapi dugaan ini. Namun, dirinya? Dia pula yang terumbang ambing. Sepatutnya dia bersama anak-anaknya menghadapi ujian daripada Allah. Saling memberi kata-kata semangat. Walaupun dia tak lalu nak makan, tapi dia paksa diri juga agar anak-anaknya tidak risau. Dia kena kuatkan semangat!

Selesai makan, Awatif masuk ke dalam biliknya untuk membersihkan diri. Tidak semena-mena, dia teringatkan kata-kata kawan baiknya ketika memujuk dirinya yang kesedihan.



"Awatif, bukan tak boleh ko nak menangis. Tapi, aku tengok ko dah teruk sangat. Memang belum pun sebulan tapi fikirkanlah anak-anak ko. Sorang nak PMR, si kembar pulak nak SPM. Ko kena tabahkan hati ko." pujuk Safwah.

"Aku rindukan Arif. Rasa cam patah kaki bila dia tak de. Selama ni apa-apa selalu berdua dengan dia. Entahlah Saf. Aku teringat betul dia. Aku rasa cam tak de apa kat dunia ni. Aku sedih...." Berjuraian air mata membasahi pipi Awatif. Tersedu-sedan dia menahan sebak.

"Awatif. Banyakkan bersabar. Ingatlah, setiap benda yang jadi tu, ada hikmahnya. Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk ko. Jangan cakap macam tu. Ko ada anak-anak ko lagi. Dorang masih bersama ko. Ko sedar tak, betapa banyaknya nikmat Allah beri kat ko dan keluarga ko? Cuba renungkan balik. Ko dapat Arif, suami yang penyayang, bertanggungjawab, kacak dan baik. Anak-anak ko semua Alhamdulillah baik-baik budaknya. Jenis hormat orang tua dan rajin, jaga sembahyang lagi. Tolong bangun balik. Allah ada. Sedih sedih, banyakkan berdoa dan berzikir, baca al-Quran. Hidupkan balik rutin berjemaah masa arwah Arif ada dulu. Ni Muaz cakap, ko dah tak join dorang jemaah. Ko bertuah mempunyai anak-anak cam Muaz, Muazzam dan Mariah. Ingat tu....jangan terlupa rahmat dan nikmat Allah Taala. Ini sekadar ujian untuk ko kat dunia, Awatif...."


Awatif tersenyum mengenangkan kembali kata-kata Safwah. Panjang lebar gak dia kena. Setiap hari Safwah akan rajin menghantar SMS motivasi kepadanya. Kadang-kadang, dia akan telefon Awatif bertanya khabar. Dia beruntung mempunyai sahabat yang sabar seperti Safwah. 

Ya Allah. Betapa aku terlupa nikmat dan rahmat dari Allah. Aku dah lalai dan tenggelam dengan kesedihan diri aku. Aku terlupa bahawa Arif yang ku sayangi hanyalah pinjaman sementara daripada Allah untuk aku. Arif yang mengajar aku erti kebaikan dan keindahan Islam. Arif yang mendorong aku untuk lebih mendekati Allah. Tapi, bila dia diambil balik, apa dah jadi? Cepatnya aku terlupa. Mujur ada Safwah dan anak-anak yang memahami.

Awatif meraut wajahnya. Dia terasa malu pada dirinya sendiri. Dia kena kuat. Anak-anaknya kuat semangat, kenapa tidak dia? Emmm.

"Mama..."

Awatif berpaling. Mariah...

"Emm, Mama okay?" tanya Mariah teragak-agak. Si gadis itu merindui suasana keluarga seperti dahulu. Walaupun kini ayahnya sudah meninggal dunia, namun dia masih mengharapkan kasih sayang mamanya tetap seperti dulu. Mamanya yang penyayang dan ceria. Dia rindukan belaian mamanya.

"Come..." Awatif mendepakan tangannya sambil tersenyum memandang anak bongsunya itu. Mariah bagaikan terkejut. Lantas, dia berlari mendakap mamanya. Sudah lama dia tidak merasai pelukan mamanya. Mariah menangis teresak-esak. "Mama minta maaf, Mariah. Mama abaikan anak-anak mama. Insya Allah, mulai hari ini kita sama-sama kembali ke suasana seperti dulu walaupun papa dah takde. Setiap hari, kita jemaah macam dulu, tapi kali ni kita doa lebih sikit untuk papa. Mama sayang Mariah."

"Mariah rindukan Mama cam dulu. Mariah pun sedih papa dah tak de. Tapi, Mariah lega sebab Mama masih ada. Mama kuatkan semangat ye. Jangan sedih-sedih lagi. Mariah risau tengok Mama sedih." tambah Mariah.

"Insya Allah. Mama akan jaga Mariah, Muazzam dan Muaz." Awatif mencium pipi dan dahi anak gadisnya itu. Terima kasih Ya Allah kerana memberi secebis kesedaran buatku. Hanya padaMu aku berserah, hanya padaMu aku meminta. Berilah kepada aku dan anak-anakku kebahagiaan dan kebaikan di dunia dan di akhirat, dan lindungilah kami dari azab nerakaMu.....

"Mama, malam ni jemaah sama ek?" Mariah tersengih sambil mengesat air matanya. Manis sungguh anak gadis ini, ditambah pula dengan senyuman ikhlas terukir di wajah chubbynya.

"Mestilah, Muazzam imam muda kita malam ni ye?" 





Kalau nak difikirkan, terasa macam nak meraung dan hentak kepala kat lantaikan apabila kita kehilangan orang yang tersayang? Tapi, sedarkah kita, ianya adalah salah satu dugaan daripada Allah untuk menguji keimanan kita, tandanya Allah sayangkan kita, Allah nak kita ingati Dia selalu.

Sesungguhnya setiap musibah yang dihadapi oleh setiap manusia, akan datang kemanisannya di kemudian hari apabila kita menghadapinya dengan sabar dan redha. Sesudahnya kesulitan akan datang kemudahan. Setelah titisan air mata pasti ada senyuman, dan setelah malam pasti akan datang siang. Jadi, jangan bersedih terhadap dunia yang sementara ini. 

Hilang cinta, hilang keluarga, hilang harta, hilang kerja....mujur tidak hilang kewarasan akal dan iman.

Senang aku bercakapkan? Tapi, inilah kebenarannya. Suatu hari nanti semua ni akan hilang. Persiapkan diri kita untuk menghadapi keadaan di luar jangkaan. Dalam melengkapkan diri dengan ilmu-ilmu dan kebaikan, sentiasalah juga menyeru keluarga dan kawan-kawan kita untuk berubah dan follow jalan Allah. Ajaklah dengan berhemah dan kata-kata kebaikan, bukan dengan cara berkasar dan mengherdik. 

Hehe, ni special untuk kaum wanita, especially kepada yang sudah bergelar IBU. Ketahuilah bahawa setiap kita ini diganjari pahala atas setiap kebaikan yang kita buat. Jika engkau seorang ibu, anak-anakmu akan menjadi penyokong Islam, pelayan dan penolong agama, jika engkau mampu mendidik mereka dengan pendidikan yang benar. Anak-anak ini akan berdoa untukmu dalam sujud-sujud dan dalam malam-malam ibadah mereka. 

Sungguh suatu nikmat luar biasa menjadi seorang ibu yang penuh kasih sayang dan kelembutan. Dan cukuplah bagimu untuk merasa mulia dan bahagia bahawa ibu Nabi Muhammad S.A.W adalah seorang ibu yang menghadiahkan bagi seluruh manusia seorang pemimpin agung dan Rasul yang mulia.

Marilah kita merenung kembali rezeki dan nikmat serta rahmat yang dikurniakan Allah kepada kita. Tidak bersyukur lagikah kita?  =) 


Kelembutan Allah betapapun lama masanya
terasa bagaikan kerdipan mata bila mata memejam.  




~Bekalan~
Esok Akan Merekah Bunga Yang Harum Baunya
Mengusir Segala Kesedihan dan Menjadi Penghibur Hati



Sekadar Coretan,

Tuan Auz

Thursday, May 19, 2011

Emas Pertama: Wanita yang Melawan Penindasan



Akhirnya, dapat juga aku menulis ulasan untuk Buku Jangan Bersedih, karya Dr. 'Aidh Bin' Abdullah Al-Qarni. Untuk lebih jelas dan menarik, boleh beli buku ni di kedai buku agama atau MPH mungkin ada. Dalam blog ni saya dah tukar cara penyampaian tetapi maksud masih sama. Hehe. Mana saya beli? Kawan saya present kan. Hehe.


Bab pertama dalam buku ini ialah Emas. Dalam bab ini, ada Sepuluh Emas yang berintikan maksud yang menarik dan sesuai dijadikan intipati kehidupan seharian serta motivasi dalam diri. =) 




Mari kita bermula dengan Emas Pertama: Wanita yang Melawan Penindasan.


Tiada Daya Untuk Menghindar Dari Kederhakaan 
Dan Tiada Kekuatan Untuk Melakukan Ketaatan,
Kecuali Dengan Pertolongan ALLAH.


Bab pertama ni menceritakan mengenai seorang muslimah sejati pada zaman kenabian suatu ketika dahulu. Bertuahnya muslimah ini apabila dirinya dipuji Allah kerana sifat solehah dan mukminahnya, dan disebut namanya dalam al-Quran.


Nak tahu siapa muslimah ini? Mari perhatikan sepotong ayat dari Surah Ath-Tahrim: Ayat 11 ini.




"Dan Allah membuat isteri Fir'aun perumpamaan bagi orang-orang yang beriman, ketika ia berkata: 'Ya Tuhanku, bangunlah untukku sebuah rumah di sisiMu dalam syurga dan selamatkanlah aku dari Fir'aun dan perbuatannya dan selamatkanlah aku dari kaum yang zalim. ( Surah Ath-Tahrim: Ayat 11)




Dia adalah isteri Fir'aun iaitu Asiyah Radhiyallhu 'anha. Allah telah menyebut namanya dalam al-Quran,  untuk menjadikannya sebagai contoh atau ikutan bagi orang-orang mukmin dan mukminah. Renung-renungkanlah, kenapa Allah memilih muslimah sejati ini? Apakah yang telah dilakukan oleh Asiyah?


Mungkin kepada sesiapa yang berminat untuk mengenali siapa Asiyah ini, boleh la rujuk al-Quran , Surah Maryam kalau tak silap aku. Kisah Nabi Musa A.S dan Maryam. Pengasuh di istana Asiyah menemui Nabi Musa yang dialirkan oleh Maryam di Sungai Nil, perintah dari Allah S.W.T , sebab masa tu askar-askar Fir'aun tengah menjalankan operasi membunuh anak-anak lelaki. Nabi Musa A.S diselamatkan oleh Asiyah dan dijaga serta disayangi.


Pada ketika itu sebelum datangnya Islam (dibawa oleh Nabi Musa, jika salah betulkan aku), Asiyah yang penyayang sangat taat pada suaminya iaitu Fir'aun yang kejam. Selepas kedatangan Islam, Asiyah memeluk Islam secara senyap-senyap. Namun, diketahui oleh Fir'aun. Fir'aun memujuk Asiyah supaya meninggalkan Islam tetapi Asiyah tetap teguh pendirian serta imannya. 


Asiyah ternyata lebih mengutamakan Islam dan Tuhannya Allah Yang Maha Mulia dan Maha Agung. Dia rela membangkang terhadap ketaatan kepada suaminya, Fir'aun yang berdosa, melampaui batas, lagi kafir. Semua kekayaan, kesenangan hidup dan perhiasan duniawi ditolaknya begitu sahaja. Betapa cerdas dan pintarnya wanita ini apabila dia lebih memilih tempat tinggal yang kekal, lebih indah dan lebih cantik di sisi Allah S.W.T yang menguasai alam semesta, di dalam syurga yang mengalir sungai-sungai di bawahnya, di tempat yang telah dijanjikan di sisi Tuhan Yang Maha Kuasa.


Keteguhan dan kejujurannya telah mendorongnya untuk menyeru secara terang-terangan kepada suaminya, seorang raja yang zalim, dengan kalimah kebenaran dan keimanan. Akibatnya, dia diseksa kerana mempertahankan keimanannya itu. Kemudian, Allah menjadikannya sebagai wanita teladan bagi setiap mukminah sehingga hari kiamat.


Betapa gigih dan kuat iman Asiyah jika hendak dibandingkan dengan kita semua. Beranikah kita untuk mempertahankan keIslaman kita di mata pedang orang kafir pada zaman ini? Seandainya suatu masa nanti, kita disuruh memilih antara Islam yang mulia atau mengikut telunjuk kafir laknatullah. Usahkan kata mata pedang, sebenarnya kita sudah lama kecundang dengan dunia hedonisme penuh hiburan dan sekularisme yang   telah memisahkan duniawi dan keagamaan.


Rupanya Islam dalam diri kita sudah lama ditindas tanpa sedar. Tertindas, kini berapa ramai yang follow fesyen dan gaya hidup budaya bukan Islam, muzik-muzik yang memekakkan telinga dan melekakan, belum lagi tengok maksud lirik yang melalaikan. 


Bukalah mata dan jangan terlampau leka dengan keduniaan yang sememangnya menyeronokkan dan meralitkan. Seronok, tapi sekejap je. Balasan akhirat yang ditunggu-tunggu tu lebih lama sehingga ratusan ribu tahun. 


Sanggupkah kita gadaikan kebahagiaan syurga dan akhirat yang kekal semata-mata untuk menikmati kebahagiaan duniawi yang sementara ini? Well, marilah tengok cermin brand Ikea, dan tanya iman masing-masing. 






Apa yang berlalu biarlah berlalu,
cita-cita adalah harapan yang belum pasti,
dan bagimu hanyalah saat yang sedang dijalani.






~Bekalan~
Di Sana Ada Suatu Tempat Di Barisan Terdepan,
Tetapi Menuntut Anda Untuk Menambah Peningkatan dan Kesempurnaan
Dalam Setiap Hal yang Anda Amalkan




Sekadar Coretan,

Tuan Auz

Monday, May 9, 2011

Orang ikhlas itu tertindas?

** Diemail oleh kakak saya, Kak Aida. Sekadar berkongsi dengan para pembaca lain. Sila manfaatkan isi kandungan kisah menarik ini. =)



Seorang kawan telah berkongsi e-mail bersama saya...terima kasih kerana selalu mengingatkan saya dan saya ingin panjangkan cerita ini untuk kebaikan bersama...insyaallah.

Jika kita memberi kebaikan kepada seseorang, kebaikan itu akan dibalas walaupun yang membalasnya bukan orang yang kita berikan kebaikan itu. Hakikat ini mengingatkan saya kepada satu perbualan yang berlaku sewaktu saya mengendalikan program latihan beberapa tahun lalu di sebuah organisasi.

“Saya tidak mempunyai apa-apa harapan lagi pada organisasi ini,” kata seorang kakak berterus-terang.
“Mengapa?” balas saya.
“Organisasi ini dipenuhi oleh kaki bodek dan kaki ampu. Saya terseksa bekerja secara ikhlas di sini. Tidak pernah dihargai, tidak ada ganjaran yang wajar. Saya bukannya orang yang bermuka-muka. Tak pandai saya nak ampu-ampu orang atas, Fokus saya kepada kerja sahaja.”

Kakak itu sebenarnya adalah peserta program yang paling senior. Telah berpuluh tahun bekerja dalam organisasi tersebut. Itu adalah kali terakhir dia mengikuti program latihan. Enam bulan lagi dia akan bersara. Kesempatan yang diberikan kepadanya dalam sesi memperkenalkan diri itu telah digunakannya sepenuhnya untuk meluahkan rasa kecewa dan marahnya sepanjang berkhidmat di situ. Sungguh, dia kecewa sekali. Siapa tidak marah, jika bekerja secara ikhlas dan gigih tetapi tidak pernah dinaikkan pangkat atau mendapat kenaikan gaji?

Sewaktu rehat, sambil minum-minum dan berbual santai saya bertanya kepadanya, “kakak punya berapa orang anak?”
Sengaja saya bertanya soal-soal “di luar kotak” agar ketegangan dalam sesi sebelumnya dapat diredakan.
“Oh ramai encik…”
“Bagaimana dengan anak-anak kakak?”

Wah, saya lihat dia begitu ceria apabila mula menceritakan tentang anak-anaknya. Boleh dikatakan semua anak-anaknya berjaya dalam profesion masing-masing. Ada yang menjadi doktor, jurutera, pensyarah dan sebagainya. Malah seorang anaknya telah menjadi hafiz.
“Kakak, boleh saya bertanya?”
“Tanyalah encik…” ujar kakak itu sambil tersenyum. Mendung di wajahnya sudah berlalu. Dia begitu teruja bila bercerita tentang anak-anaknya. Memang, semua anak-anaknya menjadi.

“Jika kakak diberi pilihan, antara anak-anak yang “menjadi” dengan naik gaji, mana yang kakak pilih?”
Belum sempat dia menjawab, saya bertanya lagi, “antara kakak naik pangkat dengan anak-anak berjaya dalam karier mereka, mana yang kakak pilih?”

Dengan cepat kakak itu menjawab, “hati ibu encik… tentulah saya pilih anak-anak saya menjadi walaupun tidak naik gaji atau dapat pangkat. Anak-anak adalah harta kita yang paling berharga!”

Saya tersenyum. Hati ibu, begitulah semestinya.
“Kakak, sebenarnya keikhlasan dan kegigihan kakak bekerja dalam organisasi ini telah mendapat ganjaran…” kata saya perlahan. Hampir berbisik.
“Maksud encik?”
Allah telah membalas dengan ganjaran yang lebih baik dan lebih kakak lebih sukai. Bila kakak ikhlas bekerja dalam organisasi ini, Allah berikan kepada kakak anak-anak yang menjadi.”
“Tidak pernah saya terfikir begitu encik…”

“Allah Maha Berkuasa. Ada kalanya takdir dan perbuatan-Nya terlalu misteri dan rahsia untuk dijangkau oleh pemikiran kita. Tetapi yakinlah what you give, you get back. Itu hukum sunatullah dalam hubungan sesama manusia. Kebaikan yang kita buat akan kembali kepada kita. Yakinlah.”
“Walaupun bukan daripada seseorang atau sesuatu pihak yang kita berikan kebaikan itu?”
“Maksud kakak?”

“Macam ni, saya buat kebaikan kepada organisasi tempat saya bekerja, tapi Allah berikan kebaikan kepada keluarga. Pembalasan Allah bukan di tempat saya bekerja, sebaliknya diberikan dalam keluarga saya. Begitukah encik?”
“Itulah yang saya katakan tadi, takdir Allah kekadang terlalu misteri. Tetapi ketetapannya mutlak dan muktamad, siapa yang memberi kebaikan akan dibalas dengan kebaikan. Dalam istilah biasa itu dipanggil golden rule!”

Kakak itu termenung. Mungkin memikirkan pertalian dan kaitan antara apa yang berlaku dalam organisasi dengan familinya.
“Metafora atau analoginya begini. Katalah kita sedang memandu di satu jalan yang mempunyai dua atau tiga lorong. Penuh sesak. Tiba-tiba sebuah kereta yang tersalah lorong di sebelah memberi isyarat untuk masuk ke lorong kita. Kerana simpati melihat dia terkial-kial memberi isyarat, kita pun beralah, lalu memberi laluan untuk kereta itu masuk di hadapan kita…”

Saya berhenti seketika mengambil nafas sambil mencari reaksi. Saya lihat kakak itu mendengar penuh minat. Dia meneliti metafora yang saya sampaikan dengan begitu teliti.
“Kemudian kita terus memandu ke hadapan. Mungkin sejam kemudian atau setelah berpuluh-puluh kilometer, tiba-tiba kita pula yang tersalah lorong. Kita pula yang memberi lampu isyarat untuk masuk ke lorong sebelah. Soalnya logikkah kalau kita mengharapkan kereta yang kita bantu sebelumnya memberi laluan untuk kita?”

Kakak itu tersenyum dan berkata, “tak logik encik. Kereta yang kita bantu tadi entah ke mana perginya.”
“Tapi ada tak kereta lain yang simpati dan memberi laluan untuk kita?’
“Pasti ada! Insya-Allah.”
“Ya, begitulah. Padahal kereta itu tidak pernah sekali pun kita tolong. Tetapi Allahlah yang menggerakkan hati pemandunya untuk memberi laluan kepada kita. Orang yang kita beri kebaikan, tidak ada di situ untuk membalas kebaikan kita… Tetapi Allah menggerakkan hati orang lain, yang tidak pernah merasa kebaikan kita untuk membalas kebaikan kita tadi.”

“Subhanallah!”
“Begitu dalam litar di jalan raya dan begitu jualah litar dalam kehidupan manusia. Kita buat baik kepada A, tetapi kerap kali bukan A yang membalas kebaikan kita tetapi B atau C atau D atau lain-lainnya yang membalasnya. Inilah hakikat yang berlaku dalam kehidupan ini.”
“Kita tidak boleh kecewa bila keikhlasan kita dipersiakan?” tanya kakak itu lagi. Lebih kepada satu respons minta diiyakan.

“Kakak, ikhlas sebenar tidak pinta dibalas. Tetapi Allah Maha Kaya dan Maha Pengasih, siapa yang ikhlas akan diberi ganjaran walaupun mereka tidak memintanya kerana setiap kebaikan itu akan dikembalikan kepada orang yang melakukannya. Ia umpama bola yang dibaling ke dinding, akan melantun semula kepada pembalingnya!”
“Selalunya saya dengar, orang ikhlas akan dibalas di akhirat.”
“Itulah balasan yang lebih baik dan kekal. Tetapi saya katakan tadi, Allah Maha kaya, Allah mahu dan mampu membalas keikhlasan hamba-Nya di dunia lagi.”

“Maksud encik?”
“Orang yang ikhlas akan diberi ketenangan dan kebahagiaan dalam hidup. Anak-anak yang soleh dan solehah. Isteri yang taat atau suami yang setia. Dan paling penting… hati yang sejahtera. Inilah kekayaan dan kelebihan yang lebih utama daripada pangkat, gaji dan jawatan.”
Jadi orang ikhlas akan terus ditindas, tidak dapat kenaikan pangkat atau gaji? Bukan apa, saya terfikir kenapa nasib kaki ampu dan kaki bodek lebih baik dalam organisasi. Mereka dapat naik pangkat!”

Giliran saya pula tersenyum.
“Tidak ada kebaikan yang akan kita dapat melalui jalan yang salah. Percayalah, kalau benar mereka kaki ampu dan bodek sahaja… pangkat yang mereka dapat akan menyebabkan mereka melarat. Gaji naik, tetapi ketenangan hati menurun. Ingat apa yang saya kata tadi, what you give you get back… Golden rule itu bukan untuk kebaikan sahaja, tetapi untuk kejahatan juga. Kalau kita berikan kejahatan, kejahatan itu akan kembali semula kepada kita. Kaki ampu, mungkin akan dapat anak yang pandai bermuka-muka. Kaki bodek mungkin dibalas dengan isteri yang berpura-pura!” terang saya panjang lebar.

“Jadi apa yang harus saya lakukan dengan baki masa perkhidmatan yang tinggal tidak beberapa bulan lagi ni?”
“Bekerjalah dengan gigih. Walaupun mungkin bos tidak melihatnya, tetapi Allah Maha Melihat. Bekerja itu satu ibadah. God is our “ceo”, kata orang sekarang. Insya-Allah, satu hari nanti manusia juga akan diperlihatkan oleh Allah tentang keikhlasan manusia yang lain. Jangan berhenti memberi kebaikan hanya kerana tidak dapat penghargaan…”
“Maksud encik?”

“Jangan mengharap terima kasih daripada manusia atas kebaikan yang kita buat kepadanya.”
“Kenapa?”
“Kita akan sakit jiwa!”
“Kenapa?”
“Kerana umumnya manusia tidak pandai berterima kasih. Lihatlah, kalau kepada Allah yang Maha Memberi pun manusia tidak pandai bersyukur dan berterima kasih, apalagi kepada manusia yang pemberiannya terbatas dan berkala. Sedikit sekali daripada manusia yang bersyukur,” balas saya mengulangi apa yang maktub dalam Al Quran.

“Tetapi Allah tidak berhenti memberi… “ kata kakak itu perlahan.
“Walaupun manusia tidak berterima kasih kepada-Nya. Sekalipun kepada yang derhaka dan kafir, tetapi Allah terus memberi… Justeru siapa kita yang tergamak berhenti memberi hanya kerana tidak mendapat penghargaan dan ucapan terima kasih?”
“Ah, kita terlalu ego…”

Dan itulah kesimpulan perbualan yang saya kira sangat bermakna dan besar impaknya dalam hidup saya. Saya terasa “diperingatkan” semasa memberi peringatan kerana pada hakikatnya saya juga tidak terlepas daripada lintasan hati oleh satu pertanyaan… orang ikhlas tertindas?




Tuesday, May 3, 2011

Ibu

Rumah yang dulu meriah dengan gelak tawa anak-anaknya, kini kian suram. Dia hanya mempunyai dua orang anak. Seorang lelaki dan seorang perempuan. Si abang sudah melanjutkan pelajaran ke universiti tempatan. Jarang balik walaupun dipinta. Si adik pula masih bersekolah di tingkatan lima, bakal menduduki SPM pada tahun ini. Yang perempuan ni sedikit degil. Nasihat tidak mahu dengar. Tegur sikit, merajuk. Sanggup tak makan dan tak bertegur sapa berhari-hari.

Kadang-kadang dia mengeluh sendiri. Entah di mana silapnya ketika dia mendidik anak-anaknya. Kedua-duanya tidak begitu rapatnya dengannya. Isterinya pula jatuh sakit dan terpaksa ditahan di wad. Kerap kali dia berulang-alik menjenguk isteri tersayang. Anak-anak usahlah dikata. Jenuh dia mengajak bebudak ni melawat mak mereka. Pelbagai alasan yang dicipta. Sesekali melawat, itu pun dah panas punggung nak balik.

Kedengaran pintu gril dibuka, dia segera turun dari tingkat atas. Sudah pasti anak perempuan kesayangannya pulang. Jam menunjukkan pukul 12.30 tengah malam. Dia mengeluh panjang.

“Dee, pergi mana lewat balik ni? Ayah risau tau tak.” Tegur Zarif sambil merenung tepat ke arah muka Dira. Dira sekadar menganggukkan kepalanya. Apa punya jawapan entah. “Dira, ayah tanya ni.”

“Macam biasalah ayah. Dira keluar dengan kawan-kawan. Dira jaga semayang walaupun balik lewat camni.” Anak gadisnya memang hebat beralasan, seperti dirinya juga. Genetik.

“Tapi tak elok perempuan balik lewat malam. Jadi apa-apa nanti kang susah?” Dia masih cuba bersabar. Ikutkan hati mahu diganyang budak ni cukup-cukup. Degil. Bukan tak pernah dibuat. Pernah. Akibatnya, Dira lari dari rumah. Tak mahu balik. Anak-anak zaman sekarang.

“Ayah ni irritating tau tak? Dira tahu la jaga diri sendiri. Dira bukan malas belajar. Semua Dira perform. Dira nak freedom sikit la ayah. Ayah janganlah bebel panjang. Dira penat ni…” balas Dira kurang ajar. Zarif tersentap. ‘Irritating’. Seperti pernah didengari suatu ketika dahulu. Dia terdiam.

“Suka hati Dira lah…” balas Zarif acuh tak acuh lalu terus melangkah mendaki anak tangga ke tingkat atas. Hatinya cukup terasa dengan perangai Dira yang langsung tidak hormat padanya. Dia pula seperti tidak mampu berbuat apa-apa.

‘Akan datang satu zaman di mana, ibu yang mengandung melahirkan tuannya.’

Terlintas ayat itu di hatinya. Arghhh. Apakah dia kini tidak berani untuk menegur anak sendiri? Takut kalau-kalau ditegur, si anak memberontak melarikan diri pula. Jika dibiarkan, semakin menjadi-jadi dan menyakitkan hati perangai mereka.

Irritating.

Perkataan itu sedikit sebanyak menyentapkan hatinya. Dia teringat kembali memori lama. Wajahnya diraup lama. Ah! Apakah inilah balasan dari-Nya untukku? Suatu ketika dulu aku juga pernah bersikap biadap terhadap ibu aku. Ibu ku yang satu. Ibu seorang yang menjaga kami dua beradik. Zarif mengeluh panjang. Dia tersedar akan dosa di masa silamnya.


…………….....

“Zarif, dah la tu main game. Dah pukul berapa ni? Gi tido. Esok nak balik kampus dah.” Tegur Ibu sambil merenung ke arah jam dinding.  Jam menunjukkan pukul 3.30 pagi. Anak bongsunya tidak berhenti main game sejak petang tadi lagi.

“Zarif!”

“Ye ye ye! Zarif tahulah ibu. Nanti Zarif tido laaa.” Balas Zarif acuh tak acuh. Teguran Ibunya dibuat endah tak endah. Dia meneruskan permainan Counter Strikenya yang sudah menjadi  satu ketagihan dalam dirinya.


Suatu hari, Ibunya berleter panjang kepada Zarif tentang sikapnya yang ketagih game di computer itu. Zarif panas hati mendengar bebelan Ibunya yang saban hari bercakap benda yang sama. Dia bosan! Dia dah dewasa. Baginya, hidupnya biarlah dia yang tentukan sendiri. Itulah yang dirasakan Zarif pada ketika itu. Angkuh sekali, walhal baru menjejak kaki pada semester pertama di sebuah universiti di Selangor.

“Ibu, Zarif bukan tak belajar. Ni impian Zarif nak main game sungguh-sungguh. Zarif nak capai sesuatu dalam dunia gaming ni. Esok competition. Zarif nak menang johan. Zarif nak rasa naik atas pentas tu. Ibu takkan faham perasaan Zarif ni. Apa Zarif ni pemalas sangat ke pada Ibu?” jawab Zarif lantang.

“Eh Zarif, cakap tu baik-baik sikit dengan Ibu. Jangan nak kurang ajar. Apa yang Ibu tegur untuk kebaikan Zarif. Memang betul pun apa yang Ibu cakap tu.” Sampuk Zasya, kakak sulungnya. Zarif diam. Dia agak hormat pada Zasya dan malas nak melawan kata-kata kakaknya yang sorang itu.

“Ibu tak benarkan Zarif main game esok. Game tu merosakkan hati dan pemikiran kita Zarif. Benda tu sume kita takkan perasan. Jangan addict sangat dengan game Zarif.” Tambah Ibu.

“Zarif semayang la Ibu. Bukan Zarif tinggal solat pun. Ibu ni irritating la. Ibu ingat dengan bagi Zarif makan, baju dan duit sume ni dah cukup ke buat Zarif? Ada ke Ibu datang borak dengan Zarif pasal apa-apa? Ibu tu sibuk je dengan kerja sekolah semua. Balik rumah petang-petang, then malam buat kerja sekolah pastu tido. Tak de masa nak cakap dengan Zarif.”

“Zarif!! Ko jangan kurang ajar. Ingat apa yang Zarif cakap ni, berdosa. Allah akan balas balik. Biar satu hari nanti Zarif rasa camne anak Zarif buat kat Zarif pulak.” Zasya sudah melenting. Dia pantang tengok adiknya bersikap ego dan kurang ajar terhadap Ibu. Baru setahun jagung. Angkuh! Tak sedar diuntung. “Baik Zarif minta maaf pada Ibu.”

“Zarif takkan minta maaf, kak. Zarif tak salah. Ibu yang kurang bagi kasih sayang pada Zarif.” Jawab Zarif, mempertahankan keegoan bangsatnya. Dia perasan Ibunya sudah mengalirkan air mata, namun hati batunya tidak tersentuh sedikit pun…..

………………………………

Air matanya mengalir laju membasahi pipinya. Kini, terbit kekesalan yang teramat sangat di lubuk hatinya. Ya Allah! Aku berdosa besar pada Ibu! Pada kakak aku. Inikah balasannya terhadap apa yang pernah aku lakukan pada Ibu dulu? Ya Allah ampunkan aku! Aku menyesal Ya Allah. Aku kesal!

Aku yang lupa! Berani aku pertikaikan kasih sayang Ibu. Walhal Ibu yang menjaga aku sejak kecil. Ibulah yang memberi aku ilmu dan hantar aku ke sekolah. Ibu yang belikan aku baju sekolah, permainan, menyuapkan aku dan menyediakan tempat berteduh. Ah! Aku tuduh Ibu macam tu. Jahatnya aku!

Zarif menangis teresak-esak. Satu persatu memori lama menerjah ke benaknya. Teringat betapa sombongnya dia apabila bercakap dengan kakaknya. Pernah dia mempertikaikan kasih sayang Zasya padanya. Apa hak Zasya untuk menegur dirinya? Kakaknya itu suka marah-marah dirinya, itu kasih sayang ke? Tapi, dia lupa…..Zasya pernah menderma separuh dari hatinya untuk dirinya yang pernah mengalami kerosakan hati suatu ketika dulu. Zasyalah orang pertama yang offer diri untuk menderma separuh dari hatinya. Dia lupa itu!

“Zasya….Zarif minta maaf…..Zarif sayang Kak Zasya…” Penyesalan yang membuak-buak menguasai dirinya. Dia sasau seketika. Apa yang perlu dia buat kini? Kepada siapa dia harus minta maaf?

Ibunya telah meninggal dunia dua tahun yang lepas. Sekejap saja dia balik kampung sekadar menunjuk muka. Sebaik sahaja Ibunya dikambus dalam kubur, dia sudah panas punggung nak balik ke Bandar. Kakaknya kelihatan sangat sedih. Zasya cuba menegah Zarif untuk pulang dan bersabar seketika, tetapi hati lelakinya penuh dengan keangkuhan. Kakaknya yang dulu pernah menjaga dirinya, kini dipandang enteng saja.

Aku derhaka pada kedua-duanya. Aku derhaka pada Ibu. Aku derhaka pada kakak. Manusia apakah aku ini! Bila terfikir kembali, Allah Yang Maha Adil. Memang aku merasai balasanNya yang amat dahsyat sekarang. Ya Allah, aku nak jumpa Zasya sekarang juga. Zasya. Air matanya tidak mahu berhenti mengalir. Dia mencapai telefon bimbitnya lalu mendial nombor kakaknya yang langsung tidak pernah dihubungi sejak kematian Ibunya.

Kerap kali Zasya menghubunginya, mengajak untuk makan sekali dan berjumpa. Namun, dia menolak. Sekali dua sahaja dia bertemu dengan kakaknya. Itu pun sekejap dan dia tidak selesa. Benci sungguh dia pada Zasya. Dia tahu, Zasya sungguh terkilan dengan sikapnya. Zasya kecewa dan sedih kerana dialah satu-satunya adik dan saudara Zasya.

“Assalamualaikum, Zarif.” Lembut sahaja kedengaran suara Zasya. Kakaknya memang kadang-kadang tidur lewat. Ada je benda dia nak buat. 

“Waalaikummussalam Zasya….” Terasa suaranya bagai tersekat di kerongkong. Dia dapat melihat senyuman kakaknya melalui suara Zasya itu. “Ah, Zasya. Sorry call tengah malam. Harap Abang Aiman tak marah.”

“Zasya tak tido pun lagi. Tengah sibuk buat kerja. Abang Aiman pun ada kat sebelah tengah ngadap laptop dia. Minggu ni kitorang sibuk sikit. Zarif apa khabar? Camne dengan Mila? Jarang-jarang je Zasya lawat Mila sebab Zasya pun agak busy sikit.”

“Zasya.”

“Em?” Zasya terasa keanehan pada sikap Zarif. Dah lama adiknya tidak menghubunginya. Ada apa-apakah?

“Zarif minta ampun pada Zasya. Zarif….Zarif menyesal sungguh-sungguh sekarang. Betul kata Zasya, Zarif akan terima balasan Allah. Zarif sedih kak! Anak-anak Zarif semua degil. Ni la balasan Zarif sebab derhaka pada Ibu dan Zasya dulu.” Serentak dengan itu air mata merembes keluar dengan laju. Tembok keegoannya runtuh serta-merta. Apa gunanya keegoan seandainya hidup tidak bahagia? “Zarif tak tahu nak buat apa. Mila pula sakit dan terpaksa tahan di wad. Kalau balik pun, tak tahu sapa nak tengokkan dia. Zasya, ampunkan Zarif kak…”

Zasya tergamam. Terasa air matanya mula bergenang. Hatinya yang lembut itu mudah tersentuh. Lebih-lebih lagi yang berkata-kata itu adiknya. Dia mengerling ke arah suaminya sekilas. Aiman tersedar dirinya direnung, mengangkat kepala dan sekadar tersenyum.

“Zarif. Zarif kena bersabar….”

“Tak….Zarif dah banyak berdosa. Macam mana Zarif nak minta ampun pada Ibu kak? Ibu dah tak de. Zarif banyak dosa dengan Ibu.” Teresak-esak dia menangis. Dia tak tahu apa yang perlu dilakukan. Banyaknya dosa. Dia menyesal sungguh.

“Zarif, dengar cakap Zasya ni. Allah itu Maha Pengampun Zarif. Zasya maafkan adik akak ni. Paling penting, Zarif kena betulkan balik anak-anak Zarif, jaga Mila baik-baik dan bertaubat. Allah itu Maha Penyayang. Allah Maha Mengetahui Zarif. Jangan putus asa berdoa dan meminta ampun pada Allah. Insya Allah, berkat ketekunan Zarif untuk berubah ke arah kebaikan, Allah akan ampunkan Zarif.” Pujuk Zasya. Walaupun sudah lama mereka tidak berhubung dek kesibukan dan kesombongan Zarif terhadapnya, namun Zarif satu-satunya adik kandung. Dia tetap menyayangi Zarif sehingga akhir hayat. “Okay Zarif? Zasya nak Zarif mula malam ni. Kalau belum Isyak lagi, solat dulu. Lepas tu doa pada Allah. Minta ampun. Pasal Nadira dan Danial tu, slow talk lah. Nanti Zasya akan tolong cakap dengan dorang juga.

“Zasya, Zarif minta ampun….” Betapa mudahnya kakaknya memaafkan dirinya setelah sekian lama?? Terasa malu diri ini. Macam-macam dia buat pada Zasya. Melawan kata dan degil, diherdiknya saudaranya yang satu itu tanpa rasa hormat.

“Zarif dah okay?”

“Em, Zarif lega sikit dapat minta maaf dengan Zasya. Banyak dosa Zarif pada Zasya. Zarif menyesal sekarang.” Zarif terdiam seketika. “Beruntung Zasya dapat Abang Aiman. Zarif dapat tengok yang Zasya banyak berubah sekarang sejak berkahwin dengan Abang Aiman dulu.”

“Alhamdulillah Zarif. Zasya pun tak sangka jodoh Zasya dengan Abang Aiman. Yelah, ketentuan Allah kan. Dulu Zasya dah berserah dah kalau tak kahwin pun tak pe, dari  jumpa lelaki yang tak baik Zasya lagi tak sanggup. Syukur Allah bagi Zasya hadiah tak ternilai ni.” Zasya ketawa kecil sambil memandang ke arah Aiman yang sedang merenungnya sambil tersenyum. “Zarif pun kena hargai Mila. Mila tu baik sangat. Cuma Zarif je tak perasan sebab sibuk.”

“Ye Zasya. Zarif akan ingat tu.” Zarif tersenyum. Bahunya terasa ringan sekali. Terlepas segala beban dan tekanan hitam pada dirinya. Insya Allah. Dia mahu berubah, nekad Zarif. “Zasya, Zarif nak pergi Isyak dulu. Zarif akan tegas kali ni pada anak-anak Zarif. Em, kalau Zasya free minggu ni datanglah melawat Mila ye.”

“Insya Allah Zarif. Alhamdulillah. Zarif lelaki. Zarif kuat! Ingat, Allah tu sentiasa bersama orang-orang yang beriman dan orang yang bertaubat. Minta petunjuk dari Allah ye. Zasya ada kat sini kalau Zarif perlukan Zasya. Zasya sayangkan Zarif.” Ujar Zasya. Ah, air mata ni sedang je nak mengalir!

“Zarif sayangkan kakak juga. Terima kasih Zasya. Kirim salam pada Abang Aiman. Assalamualaikum.” Ucap Zarif sambil tersenyum lebar.

“Waalaikummussalam Zarif.” Balas Zasya.

“Awatif…”

“Em?” Zasya berpaling ke arah suaminya.

“Panjang borak dengan Zarif. Dia dah okay?”

“Alhamdulillah. Syukur doa Zasya dimakbulkan. Zasya doakan Zarif tabah dan istiqamah dalam berubah ke arah kebaikan.” Ujar Zasya.

“Insya Allah. Allah akan permudahkan urusan dia.” Tambah Aiman sambil mengangguk. Leganya dia melihat isteri tersayang gembira. Alhamdulillah, Segala Puji Bagi Allah.

Selepas bercakap dengan Zasya, Zarif terasa ada satu perasaan dan semangat menular ke dalam dirinya. Dia perlu bertekad dalam perubahan ini. Aku kena berubah. Aku wajib bertaubat. Dah banyak dosa yang aku buat. Aku kena ubah keluarga aku. Aku kena betulkan balik anak-anak aku. Aku tak nak generasi aku terus-menerus macam ni.

Dia bergegas ke bilik air, dibuka paip lalu berwuduk. Air sejuk yang mengalir membasahi wajahnya terasa sangat menyegarkan. Dadanya membuak-buak rasa semangat. Kini, dia nekad. Demi merebut keampunan daripada yang Maha Esa, dia yang perlu berubah dahulu.

Insya Allah.

.
..
...
....
.....


Abu Hurairah radhiallahu 'anh berkata:

Seorang lelaki datang menemui Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan bertanya:

“Siapakah manusia yang paling berhak untuk aku layan dengan sebaik-baiknya?”

Baginda menjawab: “Ibu kamu.”

Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?”

Baginda menjawab: “Ibu kamu.”

Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?”

Baginda menjawab: “Ibu kamu.”

Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?”

Baginda menjawab: “Ayah kamu.


Seorang sahabat bernama Jahimah radhiallahu 'anh datang menemui Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam meminta pandangan baginda untuk dia ikut serta dalam ekspedisi Jihad.

Rasulullah bertanya: “Adakah kamu masih mempunyai ibu?”

Jahimah menjawab: “Ya.”

Lalu Rasulullah bersabda:
“Tinggallah bersamanya kerana sesungguhnya syurga terletak di bawah tapak kakinya.

 Source of Hadith


THE END




Sekadar Coretan,











          TUAN AUZ