Jom lihat!

Sunday, May 22, 2011

Emas Ketiga: Cukuplah Kemuliaan Anda Dengan Menjadi Seorang Muslimah


"Arghhh...huuuuhh!"

"Zakiah, kenapa mengeluh panjang ni?" tegur Nurul seraya mendengar kawannya mendengus kuat, seperti ada sesuatu yang tidak terluah tersimpan di dadanya.

"Hmmm.....entahlah." Zakiah menongkat kepalanya di atas meja. Matanya tidak terus memandang wajah Nurul. Dia seperti berkira-kira sama ada mahu berkongsi atau tidak. Nurul sekadar tersenyum, tetap setia menanti kata-kata dari kawannya itu.

"Ada masalah?" tambah Nurul.

"Aku macam menyesal kahwin dengan dia." ucap Zakiah, perlahan.

"Ya Allah. Kenapa cakap macam tu? Tak baik, Zakiah." 

"Entahlah...." Zakiah memintal-mintal hujung tudungnya. "Dia baik."

Nurul merenung tepat pada wajah Zakiah. Menunggu sambungan seterusnya.

"Aku macam tak leh nak follow gaya hidup dia. Aku masih muda. Dia suruh aku pakai tudung. Bukan biasa-biasa, tudung besar macam ni pulak tu. Dia tak benarkan aku keluar malam-malam dengan kawan-kawan. Malam aku terperap je kat rumah. Siang je, itu pun kadang-kadang dia follow sekali. Aku tak leh nak bergaya sangat sekarang macam dulu-dulu." Keluh Zakiah. 

Nurul mengusap dagunya, seakan berfikir nasihat apa yang sesuai untuk diperkatakan. Tiba-tiba je Zakiah bercakap begini dengannya. Padahal, hampir setahun mereka bernikah. Sememangnya gaya hidup Zakiah agak bebas sebelum ini. Bukanlah dia perempuan murahan, cuma dia jenis yang outgoing, pakaian yang bergaya dan tidak menutup aurat dan seorang yang agak sosial. Kawan-kawannya ramai. Dia juga seorang yang suka travel ke sana dan ke sini. Semua orang terkejut apabila dia berkahwin dengan Muhd Zaid, seorang jurutera yang berwajah manis dan agak alim pada pandangan Nurul.

"Apa salahnya dia follow. Lagi seronokkan? Kawan-kawan kau tak suka ke?" Nurul cuba untuk mengorek lebih isi hati Zakiah. Hmm, logiklah kot, lepas kahwin je memang dia terus bertudung. Bukan tudung singkat, tudung yang berbidang 60 tu.

"Kawan-kawan aku okay je. Dorang pulak yang rancak borak dengan Zaid. Lagi pun, Zaid ni memang pandai sesuaikan diri, tak kiralah apa jenis kawan aku pun. Cuma aku tak senang hati je." Zakiah mencebik.

"Kenapa tak senang hati?" tanya Nurul sambil tersenyum.

"Aku tak suka tengok dia baik dengan kawan-kawan aku tu. Tak tahu apsal."

"Kau cemburukan?" Nurul tersengih. Zakiah terdiam. Target terkena. Dia tidak mengangguk atau menggeleng. Zakiah membuang pandangan ke arah jalan besar.

"Salah ke cemburu?" soal Zakiah sambil mengerutkan dahinya. Dia sedikit ego untuk mengaku dia cemburu. Aah, aku cemburu rupanya. 

"Tak salah. Itu tandanya kau sayangkan dia." 

"Em, aku sayangkan dia. Dan aku tahu dia sangat sayangkan aku." Kata Zakiah tanpa dipinta. Nurul tersenyum lagi.

"Rimas pakai tudung?" tanya Nurul, seakan-akan memprovok kawannya itu.

Zakiah diam. Dia tidak tahu apa patut dijawab.

"Kau nak bergaya untuk siapa bila keluar rumah? Bergaya kat rumah depan suami cukuplah. Bila keluar rumah, pakailah yang menutup aurat tapi sedap mata memandang. Banyak baju-baju labuh yang cantik-cantik sekarang. Nak senang, pakai je jubah atau jubah seluar. Terus lengkap." Nurul menghirup air teh O panas yang dipesannya tadi. Kemudian, dia memandang orang-orang di dalam kedai makan itu. "Apa yang Zaid buat tu betul. Dan memang tanggungjawab kau sebagai seorang muslimah untuk menutup aurat. Bergaya itu fesyen di dunia saja. Allah tak pandang semua tu bila kau dihisab nanti. Secara jujur, aku lebih suka diri kau yang sekarang. Nampak sopan dan manis sangat. Bertambah cantik. Aku tak tipu." 

"Tapi, aku tak berapa selesa." sampuk Zakiah. "Rasa macam hipokrit."

"Adakah kau bahagia dengan Zaid?" 

Zakiah mengetap bibirnya. Kemudian, dia mengangguk.

"Kalau bahagia, apa yang kau tak puas hati lagi?"

"Aku tahu aku tersilap kata tadi. Aku tak patut cakap aku kesal kahwin dengan dia. Betul. Memang aku happy hidup dengan dia. Zaid caring, penyayang, memang seorang suami yang ideal. Idaman semua wanita. Em, mungkin part yang dia suruh aku pakai tudung kot. Aku rasa tak ready lagi." jelas Zakiah.

"Bertudung tapi tak rela, bukan hipokrit. Itu perkara wajib. Kau suka atau tidak, kau wajib ikut suruhan Allah. Bertudung menutup aurat adalah perintah Allah. Zaid sekadar melaksanakan tanggungjawab dia sebagai seorang suami yang soleh, untuk didik dan jaga kau. Sebab tu la dia suruh kau bertudung penuh. Bukan pakai shawl, lilit sana sini, tocang tinggi cam bukit dan berbaju ketat. Tak de kemanisan langsung. Sekurang-kurangnya, kau paksakan diri bertudung. Alhamdulillah. Banyakkan berdoa semoga Allah bukakan pintu hati kau, untuk redha dan tenang dengan apa yang kau buat. Insya Allah, redha Allah bersama kau."
"Em, panjangnya ko bercakap." Zakiah ketawa kecil. Dia mengakui kebenaran kata-kata Nurul. Nurul kawannya sejak sekolah menengah. Dia masih single lagi. Katanya, dia tak kisah sangat tentang jodoh. Kalau ada, adalah. Dia malas nak pening kepala risau jadi andartu ke apa. Katanya, Allah Maha Mengetahui dari orang lain. 

"Nak nasihat kau jugak. Terkejut aku kau cakap macam tu tadi. Jangan cakap gitu lagi okay. Bersyukurlah dapat suami macam Zaid. Kau tahu, ada satu hadis ni, emmm riwayat Ahmad kalau tak silap aku, katanya apabila seorang wanita berbakti kepada suaminya, mengerjakan solat lima waktunya, dan memelihara kehormatannya, nescaya ia akan memasuki syurga Tuhannya. Kita beruntung dilahirkan sebagai muslimah, dan beragama Islam. Mudahkan? Buat je apa Allah suruh dengan ikhlas, insya Allah syurgalah yang Allah janjikan."

"Aku buat semua tu....makan minum dia, pakaian....em..." Tiba-tiba, handphone Zakiah  berbunyi. "Assalamualaikum, abang."

Nurul sekadar memerhati perbualan antara Zakiah dan Zaid. Dia gembira melihat Zakiah berkahwin dengan Zaid. Sekurang-kurangnya, lelaki itu dapat memimpin Zakiah ke arah kebaikan, ke jalan yang lurus. Dia pernah berjumpa dengan Zaid, dan sememangnya dia sedikit cemburu dengan Zakiah. Beruntung Zakiah dapat Zaid. Itulah jodoh yang sudah ditentukan oleh Allah untuknya. Bagi Nurul, dia rela tidak berkahwin kalau bukan dengan lelaki soleh. Tak sanggup dia nak mengharungi keperitan hidup berlakikan suami yang tidak bertanggungjawab.

"Em, Zaid on the way. Dia nak ambil aku kat sini." kata Zakiah sambil tersenyum.

"Eceh, bahagianya muka kau. Berseri-seri! Nyampah je drama kau tadi." Nurul tersengih.

Zakiah ketawa.

"Terima kasih dengar isi hati aku. Aku akan ingat nasihat kau. Betul tu. Aku patut bersyukur dapat Zaid. Sebenarnya, aku risau Zaid akan cari lain kalau aku tak bergaya cantik....." Akhirnya, Zakiah meluahkan isi hatinya yang sebenar kepada Nurul.

Nurul menggelengkan kepalanya sambil tersenyum. Ada-ada je minah ni! Boleh pulak dia fikir macam tu. Padahal, dia dah cukup cantik dan bertambah cantik apabila bertudung litup macam ni.

"Assalamualaikum."

"Waalaikummussalam..." jawab Nurul dan Zakiah serentak. Zakiah tersenyum manis tatkala melihat suaminya yang menyapa.

"Abang, duduklah kejap. Sayang nak habiskan sikit lagi." 

"Em, sedapnya. Nasi goreng ikan masin ye." Zaid tersengih sambil mengambil tempat dia sebelah isteri tersayang. "Hai, Nurul sihat?"

"Aku okay je. Kau tak nak order ke Zaid?" balas Nurul.

"Tak pelah. Perut tak lapar pun. Aku share dengan sayang aku ni je." ujar Zaid selamba. "Bolehkan sayang?" 

Zakiah mencebik. Kononnya tak nak berkongsi. Tapi, tangannya tetap menghulurkan sudu kepada Zaid.

"Zaid, kau rasa Zakiah ni cantik tak?" tanya Nurul spontan.

"Eh kau ni, mestilah Zakiah lawa. Cantik okay sayang aku ni. Kan Zakiah, ada ke patut Nurul tanya macam tu. Mestilah Zakiah abang cantik." Tersengih-sengih Zaid memuji isterinya sambil memeluk bahu Zakiah mesra. Zakiah tersipu-sipu malu. Nak tergelak Nurul tengok. Sebelum ni, bukan main sosial. Tahu juga malu dia.

"Ha, dengar tu Zakiah. Suami kau cakap kau cantik. Tak payah risaulah kalau rasa kau tak bergaya ke apa. Kau memang cantik di hatinya." tambah Nurul.

"Kau ni....diam-diam sudahlah. Malu aku tau!" Zakiah merungut sambil memuncungkan mulutnya. Dia segan sungguh dengan Zaid. Mungkin sebab depan Nurul kot? Aku pemalu?? Rupanya aku penyegan juga. Tetapi, dia rasa sungguh bahagia dengan layanan Zaid kepadanya. Zaid tidak kekok untuk tunjuk rasa sayang depan orang lain. Mamat tu apa kesah, bini aku, tu dia cakaplah. 

"Abang tahu kenapa Nurul tanya macam tu. Tak pe. Biarlah jadi rahsia. Apa-apa pun, abang suka Zakiah yang macam ni. Barulah isteri abang yang disayangi. Okay?" ucap Zaid sambil mencubit pipi Zakiah. Arghhh, mamat ni sudah-sudahlah buat aku segan, getus hati Zakiah.
Nurul tersengih melihat gelagat dua orang kawannya. Dalam hati, dia berdoa semoga kebahagiaan mereka berdua berpanjangan. Semoga dia juga dipertemukan dengan yang terbaik untuk dirinya. Terasa dirinya semakin bersyukur menjadi seorang muslimah. Muslimah yang benar-benar mengamalkan ajaran Tuhannya Yang Maha Agung. Semoga iman di dada sentiasa dilindungi Allah dan sentiasa teguh sehingga ke akhirnya hayatnya. Amin.



~Bekalan~
Bukan Emas Yang Mempercantikkan Anda,
Melainkan Yang Mempercantikkan Adalah Akhlak Anda,
dan Kekayaan Anda Adalah Etika Anda.


Sekadar Coretan,

Tuan Auz

No comments:

Post a Comment