Jom lihat!

Sunday, September 22, 2013

Masih Ada Yang Sayang


"Assalamualaikum."

"Waalaikummussalam." Hatinya berdetik kencang, terkejut. Namun, salam masih dijawab sopan. Air matanya yang mengalir cepat-cepat dikesat. Malu dan segan.

"Awak okay ke ni? Boleh saya duduk?" pinta gadis yang manis berselendang biru tu. Teragak-agak dia mengangguk. Gadis manis itu melabuhkan punggungnya di sebelahnya.

Kini, dia tidak keseorangan di bangku sepi itu. Sisa-sisa air mata masih lagi membasahi pipi, tidak mengerti untuk berhenti menandakan betapa pilunya hati. Dirinya tertanya-tanya sekiranya dia mengenali gadis manis itu sebelum ini. Senyuman di wajah gadis itu masih lagi terpamer, memancarkan keikhlasan dari hati.

"Err minta maaf. Kita kenal ke?" Akhirnya terungkap juga persoalan itu. Dia risau kalau gadis manis di depannya terasa hati, sekiranya mereka pernah berjumpa dulu dan dia terlupa.

Gadis itu masih lagi tersenyum manis. Persoalannya dibiarkan tergantung.

"Saya selalu nampak awak menangis kat sini. Saya terpanggil untuk menegur awak." kata gadis itu. "Saya Amirah."

"Em. Saya Syafikah." Amirah? Memang dia tidak pernah mengenali sesiapa dengan nama itu.

"Kat sini tak ramai orang kan. Nak relek, tenangkan diri memang seronok duduk sini. Petang ni pun berangin, tak panas." ujar Amirah. Sesekali dia membuang pandangannya jauh ke tasik di hadapan mereka. "Saya tak pernah cuba naik kayak kat sini, nampak seronok. Syafikah pernah cuba?"

Syafikah membisu. Jari jemarinya mengesat perlahan air mata dan pipinya. Dadanya terasa kurang sebak berbanding tadi. Mungkin kini dia berteman. Ada seseorang berbual dengannya.

"Em seronok ke kalau main sorang-sorang?" balas Syafikah sambil merenung hujung kasutnya.

"Kadang-kadang kita perlukan masa untuk bersendirian juga. Okay apa jalan sorang-sorang, main sorang-sorang sekali sekala." tambah Amirah.

"Sekali-sekala. Kalau selalu sangat rasa hidup ni tak de apa." Syafikah mengeluh panjang. Amirah menyedari kekecewaan Syafikah namun tidak mengetahui puncanya.

"Syafikah nak kongsi dengan saya? Kita mungkin baru kenal tapi sekurang-kurangnya beban di bahu Syafikah ringan sikit. Jangan risau, rahsia kita berdua ye!" Amirah ketawa kecil. Gadis ini memang peramah dan periang. Hati Syafikah terhibur sedikit melihatkan wajah Amirah yang tulus itu.

"Saya tak tahu macam mana nak mula. Jujurnya, saya rasa terpinggir dengan keluarga saya. Entahlah." Dia mengeluh lagi. Hatinya teringatkan ibunya yang sentiasa fokus pada adik perempuannya. Sikit-sikit adik dia, apa pun adik dia.

"Syafikah anak ke berapa?" tanya Amirah apabila melihat gadis itu berdiam diri.

"Sulung. Ada seorang je adik perempuan. Ayah dah lama tak ada." Dia menghela nafas panjang sebelum menyambung luahan perasaannya. "Sejak dulu lagi ibu selalu risaukan adik. Kadang-kadang saya rasa semua benda pun saya buat sendiri. Macam dulu-dulu masa sekolah rendah. Saya belajar sendiri masukkan buku-buku sekolah ikut jadual harian. Ibu tak pernah tolong pun. Bila sampai masa adik pula, ibu ada bersama adik tolong check jadual sekolah. Balik kampung pun, adik yang lebih mendapat perhatian dari semua. Saya macam tak wujud."

Amirah mendengar dengan penuh minat.

"Saya sedar, saya tak cantik dan tak pandai macam orang lain. Entahlah macam ada certain criteria pula to be in the family. Saya tak sama macam sepupu-sepupu saya yang lain, dorang semua cantik,ada rupa dan pandai. Rasa macam ibu tak sayangkan saya."

"Syafikah pernah berbincang dengan ibu? Ajak berbual atau keluar jalan-jalan bersama?" tanya Amirah.

"Pernah juga ajak ibu berbual-bual tapi macam tak ke mana sangat. Ibu banyak diam. Akhirnya saya buat hal saya sendiri. Nak ajak jalan-jalan pun susah juga. Kadang-kadang, saya nak juga luangkan masa bersama ibu, masak sama-sama. Tapi semua tu tak de. Bila saya dengar kawan-kawan borak, mak dia ajar masak itu ini, ni resipi mak semua, saya rasa jauh hati sebab saya tak de semua tu untuk cerita. Saya rasa macam ibu tak pernah ajar saya apa-apa."

"Selama ni siapa yang besarkan Syafikah? Memang duduk dengan ibu atau dengan nenek ke?" soal Amirah tiba-tiba. Syafikah terkedu. Lambat-lambat dia menjawab.

"Ibu...."

"Sekarang Syafikah dah kerja ke atau masih belajar?"

"Saya dah kerja. Dah setahun sebenarnya." Teragak-agak Syafikah menjawab.

"Alhamdulillah. Berkat didikan ibu, usaha ibu Syafikah membesarkan Syafikah dan adik. Sekarang Syafikah dah berjaya dapat pekerjaan sendiri. Alhamdulillah. Syukur ada ibu yang penyayang dan komited." ujar Amirah sambil tersenyum. Perlahan-lahan, Syafikah bagaikan tersedar.

"Menjadi seorang ibu tunggal bukannya mudah Syafikah. Alhamdulillah, Syafikah patut sangat bersyukur dengan semua ini. Syafikah sepatutnya berterima kasih kepada ibu Syafikah dengan apa yang Syafikah ada sekarang. Bukan kita dok mengenangkan perkara yang negatif. Kalau Syafikah fikir ibu tak de ajar apa-apa. Syafikah salah. Dia yang menjadikan Syafikah sekarang. Pasal kita tak dapat nak sembang dengan kawan, belajar masak dari air tangan mak semua tu perkara kecil saja. Betul tak?"

"Em." Syafikah mengangguk. Dia terkenangkan ibunya. Memang betul ibunya banyak berkorban untuk mereka berdua.

"Macam nilah. Hidup kita tak lama. Ada orang yang tak de ibu bapa pun. Ada yang masih mempunyai ibu dan bapa, tapi didera, diabaikan dan hidup merempat. Yang lebih kesian lagi, dilahirkan di dunia ni tak sah taraf. Kesian dorang ni. Mungkin ibu bapa pun ada buat silap masa membesarkan kita, manusia mana tak pernah buat silap. Tapi, siapa kita nak persoalkan mereka? Kita sebagai anak-anak sepatutnya bersyukur dorang susah payah didik kita, bagi makan minum dan pakaian. Kadang-kadang, dendam di hati menguasai diri dan menghancurkan rasa hormat pada ibu bapa kita."

"Saya pernah rasa macam tu kat ibu saya...." gumam Syafikah sendiri. Dia terasa air matanya mula bergenang di kolam matanya. Selama ini dia banyak menyalahkan ibunya, dia juga jauh hati dengan perhatian yang ibu berikan kepada adiknya lebih berbanding dirinya.

"Kita hidup nak mencari redha Allah. Ini semua ujian buat kita. Dari kita blame ibu kita, why not kita mula hari ni usaha untuk gembirakan hati dia. Tak pelah kalau sikit-sikit kita terasa hati. Istighfar. Syurga di bawah tapak kaki ibu. Itu yang kita nak, token nak masuk syurga. Percayalah, Syafikah bersyukur mempunyai ibu seperti dia. Kuat semangat dan sabar membesarkan korang. Tak fikir pun untuk cari kebahagiaan sendiri sebab tengok korang happy pun dah buat dia bahagia. Kalau dah tak sayang Syafikah, mesti dia tak kisah Syafikah hidup ke, dah makan kenyang ke kan?"

"Amirah, saya rasa saya banyak berdosa dengan ibu. Apa Amirah cakap tu betul. Cuma saya tak tahu macam mana nak cuci hati saya, supaya tak geram dengan ibu. Saya cuba tarik perhatian ibu.Tapi, rasa tak dapat rasa kasih sayang dia dalam hati. Kata-kata Amirah dah membuka hati saya." Air matanya jatuh mengalir membasahi pipi, menyesali kerana berperasaan begitu terhadap ibunya selama ini.

"Alhamdulillah. Syafikah tahu tak, ibu Syafikah sayang sangat kat Syafikah dan bangga dengan Syafikah. Saya percaya, dia tahu Syafikah pandai berdikari dan boleh diharap dan dah kurangkan bebannya. Dan tak bermakna kurang perhatian tu tandanya kurang kasih sayang. Ibu Syafikah tahu Syafikah boleh buat semuanya sendiri. Bukan ke tu satu kelebihan dan Syafikah dah bantu ringankan beban ibu. Sekurang-kurangnya ibu Syafikah dapat fokus pada adik Syafikah yang masih belajar. Syafikah beruntung mempunyai ibu seperti itu." Amirah tersenyum lagi sambil menepuk perlahan bahu Syafikah.

Syafikah mengesat air matanya. Hatinya terasa lapang. Kata-kata gadis manis itu telah melenyapkan segala dendam dan perasaan negatif dalam dirinya. Kenapa aku tak leh berfikir sebelum ni? Patut aku sokong dan bantu ibu. Ibu yang bekerja sorang-sorang selama ni membesarkan aku dan adik. Allah, ampunilah aku ya Allah. 

"Syafikah, harap awak dah okay ya. Saya perlu balik dulu, dah lewat ni. Syafikah pun baliklah. Tak elok duduk senja kat sini seorang diri. Assalamualaikum." Gadis manis itu terus mengatur langkah dan bayangannya semakin jauh dari Syafikah, kemudian hilang dari pandangan mata.

Eh, aku pun patut balik! Dah nak pukul 7 ni. Nak tolong ibu masak. Syafikah bergegas ke parkir keretanya. Matahari sudah mula membenamkan dirinya dan orang ramai juga sudah mula beransur pulang. Tidak semena-mena kelihatan dua buah kereta polis dan beberapa anggota polis bersama dua ekor anjing jenis German Shepherd berada tidak berapa jauh dari kereta Syafikah. Salah seorang daripada mereka mendekati Syafikah sambil memberi salam.

"Ya encik? Ada apa-apa saya boleh bantu?" Berdebar dada Syafikah. Aku ada buat salah ke? Eh road tax dah renew belum??

"Minta maaf menganggu cik. Saya Arif, pegawai polis yang bertugas untuk kes pencarian remaja yang hilang. Saya cuma nak bertanya beberapa soalan dari cik. Mohon maklumkan nama cik?" ujar pegawai polis yang segak itu sambil tersenyum.

"Boleh Encik Arif. Saya Syafikah."

"Selalu ke Cik Syafikah datang ke taman rekreasi ni?" soal En. Arif.

"Ada juga kadang-kadang bila saya ada masa lapang." jawab Syafikah.

"Sekarang kami sedang menyiasat kes tentang kehilangan seorang remaja perempuan sejak seminggu yang lalu. Melalui maklumat yang kami terima dari orang ramai, kali terakhir dia berada di kawasan ini. Mungkin cik pernah terlihat gadis ini?" Sekeping gambar diunjukkan ke arah Syafikah. Syafikah mengamati wajah gadis bertudung itu.

"Eh, gadis ni ke yang hilang tu?" Jantung Syafikah berdegup kencang. Allahuakbar! Amirah?

"Ya. Cik.... kenal dia?"

Syafikah memandang wajah pegawai polis itu lama. Dia tak tahu apa yang perlu diperkatakan. Ya, saya baru je berborak dengan dia encik! Tapi, takkan gadis tu lari dari rumah kot? Dia nampak budak baik-baik.

"Errr..." Syafikah tergagap-gagap.

"Cik Syafikah, jika cik ada sebarang maklumat yang boleh membantu kami mencari gadis ini, mohon kerjasama ya." Tekan En. Arif apabila melihat reaksi Syafikah. Dia tahu gadis itu mengetahui sesuatu yang mereka perlukan.

"Encik, saya baru saja bercakap dengan dia tadi kat bangku sana. Dalam sepuluh minit yang lalu. Dia lari dari rumah ke?" beritahu Syafikah. Wajah En. Arif berkerut, serius.

"Betul cik bercakap dengan orang yang sama?" soal En. Arif lagi.

"Betul, saya yakin. Gadis yang sama macam dalam gambar ni." Aku takkan lupa senyuman manis Amirah, aku takkan silap. Memang dia!

"Tunjukkan saya ke arah mana dia pergi." Pinta pegawai polis itu dengan tegas.


.......................................


"Assalamualaikum ibu." Syafikah tersenyum memandang ibunya tercegat di meja makan. "Ika buatkan breakfast! Jom makan ibu. Adik tengah mandi."

"Waalaikummussalam. Awalnya Ika bangun, hari ni kan weekend. Ibu pula ingat nak rehat lama tapi mata tak leh tutup lak. Dah biasa bangun awal pagi kan." Ibu tersenyum manis. Dia melihat hidangan yang dimasak anak sulungnya di atas meja. Hatinya rasa gembira hari ni.

Pin! Pin!

"Oh, Ganesan dah datang hantar surat khabar hari ni. Ibu pergi ambil ya, Ika."

"Aaa, okay ibu!" laung Syafikah yang masih berada di dapur ketika itu sedang berkemas.Syafinaz, adiknya juga sudah siap berpakaian dan datang ke dapur menjenguk kakaknya. 

"Kak, jom makan! Nampak sedap je akak masak tu. He.He." Ajak adiknya. Syafikah tersenyum.

"Hmmm....Akhirnya dorang dah jumpa budak yang hilang tu. Rupa-rupanya mati dibunuh ayah tirinya. Mayat ditanam dekat taman rekreasi tak jauh dari rumah kita ni. Semoga rohnya dicucuri rahmat." ujar ibu sambil matanya masih tertancap pada surat khabar. "Sweet je budaknya. Kesian. Ayah kandungnya meninggal. Mak dia pula sejak tu jadi kaki botol, dan kahwin lain. Cuma yang kurang baiknya ayah tiri ni abusive pula, dera mak dia, dera dia. Nak jadikan kes, hari tu ayah tiri gaduh dengan mak dia. Dia melawan balik, back up maknya. Tu yang kena tu. Mujur dah kena tangkap laki jahat ni."

Syafikah tergamam mendengar ulasan berita dari ibunya.  Dia menjenguk untuk melihat gambar gadis yang diperkatakan ibunya. Ya Allah! Hatinya berdebar kencang. Amirah! Mengikut laporan forensik dari berita ni, waktu kematian gadis itu sudah lebih 48 jam. Cuma baru sekarang dorang dapat petunjuk untuk cari gadis tu kat sini. Merata dah dorang cuba cari. 

Menggigil rasanya seluruh badan Syafikah apabila teringatkan perbualannya dengan Amirah. Di sebalik senyuman manis gadis itu rupa-rupanya tersimpan seribu penderitaan yang tak terungkap oleh kata-kata. Allahu Akbar.

"Ibu...." panggil Syafikah. Ibunya yang sedang mencedok mihun mengerling sekilas sambil tersenyum. 

"Ika sayangkan ibu."

"Ika...." Ibu merenung lama wajah anak gadisnya. Hatinya tersentuh. "Ibu pun sayang Ika sangat sangat. Ibu sayang Ika, ibu sayang Ina. Korang dua ajelah anak ibu, harta ibu."

Syafikah tersenyum. Syafinaz sekadar memerhati gelagat kakaknya sambil tersenyum, namun sedikit sebanyak hatinya tersentuh. 

"Ibu...." Terima kasih, Amirah.



TAMAT

TUAN AUZ
1.23AM
22 SEPTEMBER 2013




2 comments:

  1. :)

    teringin nak tanya, situasi selalu mengingat benda negatif pasal parents ni sering juga lah terjadi. macam mana eh nak buang benda tu? :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. As salam Nur,

      Kalau nak diikutkan kata hati, memang kdg2 ada benda kita tak puas hati dengan parents.

      Boleh cuba cara ni, bila teringat je benda negatif ttg mereka, cepat2 ingatkan Allah. Parents pun manusia biasa cuma darjatnye lebih tinggi dari kita sebab Syurga Di Bawah Tapak Kaki Ibu. Redha Ibu permit kita ke syurga. Buatlah tajahud fokus 100 tahun pun, ibu tak redha, ke neraka juga jawabnya. Dan terima kasih untuk ayah sebab adanya dia, kita berbinti/ binkan ayah kita dengan sah. =) Ingatkan diri, kita juga bakal jadi ibu bapa di masa depan, Insya Allah. Sebagai anak, sentiasa maafkan mereka dan wajib minta maaf dari mereka. Tu yang penting.

      Susah nak buat, tp paksaka diri, lama2 akan mudah dan kita akan sedar kita ni anak mereka. :)

      Delete