Setiap hari mereka berdua pasti bertembung pada waktu yang sama dan di tempat yang sama iaitu di dalam lif. Kejadian ni bermula minggu lepas, apabila gadis itu membantu menekan butang lif untuk lelaki itu. Pada ketika itu, lelaki itu sedang mengangkat dua buah kotak untuk dibawa ke ofisnya. Mereka sekadar berbalas senyuman dan ucapan terima kasih.
Dan bermula pada hari itu, mereka kerap bertembung di pagi hari. Lelaki itu tahu gadis itu bekerja di tingkat 8 manakala dia di tingkat 14. Walaupun berjumpa setiap hari, tiada satu patah kata yang keluar melainkan senyuman yang mengiringi 'perbualan' masing-masing.
Melalui tag si gadis, lelaki itu tahu bahawa gadis itu bekerja di syarikat yang sama dengannya cuma dia tidak pernah melihat gadis itu sebelum ini. Mungkin tidak sedar atau tak amek port sekeliling. Kalau bukan kerana si gadis itu membantunya menekan butang lif pada hari itu, pasti sehingga kini dia tidak akan perasan kewujudan gadis itu.
Dari hari ke hari, bertukar senyuman dan berbalas pandangan. Kini berlanjutan sehingga sebulan. Dia makin jarang bertembung dengan si gadis itu. Mungkin si gadis datang awal atau pun terlewat tiba. Dia tidak pasti. Mungkinkah sudah bertukar tempat kerja? Oh jangan! Terbit rasa rindu di hati terhadap gadis tersebut. Dia nekad, selepas ini dia mahu menegur dan bertanyakan nama gadis itu. Dia tidak akan menyesal jika direject depan-depan. Rugi kalau tidak mencuba. Melepaskan peluang yang diidam-idamkan sebelum ini.
Dan doanya didengari Allah mungkin. Tengahari itu, lunch time, dia bernampak si gadis sedang menikmati makanan tengahari bersama rakan-rakannya. Dia terkedu. Ah! Inilah masanya. Sama ada dia nekad atau pun terlepas. Dia nervous. Dia tidak jadi keluar makan. Dia tunggu sehingga gadis itu menghabiskan makanannya. Takkan nak datang tegur masa makan? Terserdak tak pasal pula. Selesai sahaja makan, si gadis dan rakan-rakannya berlalu dari situ.
Dia segera mengejar gadis itu. Dia tidak kisah orang lain nak cakap apa. Dia hampir gila bayang rindukan gadis tersebut. Dia tahu. Gadis itu kini hampir mendapat tempat di hatinya. Cuma dia memerlukan kepastian. Kepastian yang pasti.
"Awak...awak!" Panggil lelaki itu. Dadanya berombak kencang. Gila ke aku ni? Fikirnya.
Gadis itu berpaling. Rakan-rakannya juga menghentikan langkah. Mereka kehairanan. Salah orangkah lelaki ini?
"Err...awak. Boleh saya nak cakap sekejap dengan awak?" ujar lelaki itu sambil merenung wajah si gadis dengan serius. Nervous sangat!
Si gadis itu memandang rakan-rakannya. Rakan-rakannya memberi signal "we all naik dulu k?" . Gadis itu seakan-akan tidak mahu ditinggalkan berdua dengan lelaki itu. Dia berpaling sambil mengetap bibirnya.
"Boleh saya tahu siapa nama awak?" tanya lelaki itu sambil tersenyum.
"Emm... kenapa nak tahu nama saya ye?" Pertanyaan dijawab pertanyaan. Gadis ini cuba bermain dengan selamat. Mungkin kerana tidak mengenali dirinya barangkali.
"Kita selalu bertembung dalam lif. Dan akhir-akhir ni saya jarang nampak awak. Sekarang saya dah jumpa awak, saya curious nak tau nama awak. Bolehkan?"
"Saya Umairah." jawab si gadis perlahan.
Umairah. Nama yang cantik. Manis dan lembut didengar. Selembut raut wajahnya. Semanis tuan empunya badan. Lelaki itu tersenyum lebar. Hatinya berbunga riang.
"Saya Yusuf." Dia tergamam seketika. Tidak tahu macam mana mahu memulakan perkenalan. Debaran di dada bagaikan menggila.
"Ye? Ada apa saya boleh bantu?" tanya Umairah tatkala melihatkan si lelaki itu terdiam lama.
"Umairah, macam ni. Minta maaf kalau saya datang secara mengejut. Sebenarnya dah lama saya perhatikan Umairah masa kita selalu jumpa kat lif tu. Saya nak berkenalan dengan Umairah..." ....saya nak jadikan Umairah teman hidup saya... Kata-kata itu mati di kerongkong sahaja.
Umairah seakan menangkap maksud sebenar lelaki itu. Dia sekadar tersenyum simpul.
"Terima kasih. Kalau nak berkenalan sebagai kawan sahaja, saya boleh terima. Tapi, kalau lebih mintak maaf saya cakap awal-awal. Saya baru je bertunang minggu lepas." Redup pandangan mata Umairah terhadap Yusuf.
Yusuf terkedu. Jantungnya bagai disentap kuat. Terasa harapannya musnah pada ketika itu. Bertunang minggu lepas?? Dia lambat sikit je nak tegur Umairah. Umairah dan menjadi tunangan orang? Apakah kalau dia berkenalan dengan gadis ini lebih awal, peluangnya terbuka luas? Umairah...Umairah...
"Oh ah...dah bertunang ke? Er...maaf bertanya. Dengan siapa?" Argh!! Apa soalan aku ni? Yusuf mula tidak keruan.
"Pilihan keluarga. Anak kenalan mak." jawab Umairah lembut.
"Bila majlis?" Terasa perit untuk bertanyakan soalan itu. Yusuf sebak. Dia hiba! Inikah yang dikatakan cinta pandang pertama? Boleh pakai ke simpulan bidalan ni?
"Lagi dua bulan." Umairah diam. Dia dapat membaca gelodak di jiwa hati lelaki itu. "Saya minta maaf, Yusuf."
"Eh tak pe. Bukan salah awak. Haa okaylah. Bila-bila free, kita makan sama ye? Saya kerja kat tingkat 14 je. Kita sama company. Ha Umairah, jom kita balik ofis." Yusuf mengukir senyuman hampa. Dia tidak dapat membendung perasaannya. Pasti Umairah dapat membaca isi hatinya. Ah biarlah! Bukankah aku yang sudah nekad untuk meneruskan niat aku sebentar tadi?
Mereka berjalan beriringan ke lif yang menjadi pertemuan mereka, yang menjadi tempat perkenalan serta hati Yusuf terpaut. Mungkin ini kali terakhir mereka naik lif bersama. Mungkinkah .....
Yusuf kesal sedikit. Namun, dia akur dengan ketentuan Ilahi. Nyata Umairah bukan jodohnya.
"Yusuf, saya pergi dulu..." ujar Umairah apabila lif berhenti di tingkat 8.
Yusuf sekadar tersenyum sambil merenung wajah Umairah sehingga lif tertutup kemas. Umairah ..... hmmm, kau bukan untukku.
END
by ,
Tuan Auz
ps: Tengah berkira-kira nak menulis cerita panjang untuk MyCerpen berdasarkan Short Cerpen Umairahku pulak. =)