Jom lihat!

Thursday, March 21, 2013

Sayang Abang!


Sejak mereka berkahwin, hidup gadis itu tidak pernah putus dari rasa bahagia dan kasih sayang mencurah-curah serta perhatian tidak berbelah bahagi yang diberikan oleh suaminya. Setiap kali dia merajuk, pasti suaminya sabar memujuk dirinya. Apabila dia terlambat pulang dari kerja dan belum memasak untuk suaminya, pasti suaminya tersenyum sambil menunggunya di dapur untuk masak bersama-sama. Kadang-kadang, suaminya yang menyiapkan makan malam tiap kali dia pulang lewat. 

"Sayang abang!" Ucap gadis itu dan memeluk suaminya setiap kali kepulangannya disambut dengan makan malam yang hebat. Suaminya itu sememangnya pandai memasak walaupun acap kali dia mengharapkan air tangan isterinya yang menyediakan segalanya untuknya. 

Kini, perkahwinan mereka sudah mencecah enam bulan. Banyak suka duka yang dilalui bersama. Masing-masing mula mengenali perangai dan tabiat yang selama ini dibutai oleh cinta Laila dan Majnun. Namun, setiap kali ada pertengkaran kecil, suaminya lebih banyak beralah dan memujuknya, memberi kata-kata nasihat dengan lembut. Jarang sekali gadis itu ingin bertenang walaupun ternyata dia yang bersalah. 

Suatu hari, gadis itu mendapati dirinya mengandung selama dua bulan. Berita gembira itu diberitahu kepada suami dan keluarganya. Suaminya sangat gembira dan sayangnya semakin bertambah-tambah buat isterinya. Perhatian dan masa diluangkan lebih bersama isterinya. 

"Abang, sayang terasa hendak makan kambing golek la." Terpacul permintaan dari bibir comel gadis itu ketika mereka berdua sedang menonton televisyen. Suaminya memandang jam di dinding sekilas. Hampir pukul 10 malam. Sudah lewat.

"Sayang tak pe ke makan kambing ni? Tak panas badan nanti? Risau pula abang." 

"Bukan sayang yang nak, tapi baby ni yang mengidam. Abang, tolong belikan sayang kambing golek...." Rengek gadis itu lagi sambil merangkul lengan suaminya. Memujuk. 

"Kita keluar nak? Abang bawa sayang makan kat restoran biasa kita pergi tu." Suaminya tersenyum, merenung lembut ke arah isterinya yang kini sarat mengandung enam bulan. 

"Sayang nak makan kat rumah je. Abang belikan, sayang siap-siapkan meja ya! Terima kasih bang. Sayang abang!" Wajah gadis itu tersenyum riang! Suaminya menganggukkan kepalanya sambil tersenyum. Kepala gadis itu diusap lembut. 

Dan, malam itu gadis itu menikmati kambing golek kegemarannya sehingga kekenyangan dengan hati gembira. 


Beberapa hari selepas itu~ 

Jam Titan di tangannya sudah dikerling beberapa kali. Hatinya resah menunggu. Badannya terasa sengal-sengal apabila terjengul-jengul begitu. Dia kembali ke tempat duduk di dalam klinik tempat dia membuat pemeriksaan kandungannya. Suaminya sudah telewat hampir setengah jam. Tak dapat hubungi dia juga. Off handset. Batery out? Hatinya terasa sayu. Sampai hati abang lambat.....

Tidak berapa lama kemudian, pintu klinik dikuak perlahan. Kelihatan suaminya tersenyum memandang dirinya. Perlahan-lahan dia mendekati isterinya sambil memegang lengan gadis itu. Dia tahu isterinya marah.

"Maaf, abang terlambat." Ucap suaminya perlahan. Gadis itu membisu. Wajahnya masam. Tapi, dia tetap melangkah keluar bersama suaminya. 

Di dalam kereta, gadis itu masih mendiamkan diri. Beberapa kali wajah gadis itu dikerlingnya, terasa resah di hatinya melihatkan isterinya begitu. 

"Sayang, maafkan abang. Tadi klien abang keretanya habis minyak, abang tolong belikan kat stesen dulu sebelum datang. Nak call sayang, kebetulan batery handset mati pula. Maafkan abang ya, sayang." Tangannya cuba meraih jari jemari isterinya namun gadis itu melarikan tangannya. Hati lelakinya tersentuh. 

"Abang, saya sedih sangat tadi. Saya ingat abang tak pedulikan saya dah. Abang patut tahu sapa lebih penting sekarang ni. Klien abang tu boleh je gi beli sendiri minyak dia. Penat saya tunggu. Saya tengah sarat tau sekarang ni. Kaki saya bengkak tak selesa nak berjalan sangat. Jadi apa-apa nanti camne? Dah tau handset mati, nape tak call saya guna public phone je ke, tak pun pinjam la handphone klien abang tu." Suara gadis itu sedikit tinggi, geram dan marah perasaan berbaur kini. 

"Maaf, abang tak terfikir sayang. Abang nak cepat datang ambil sayang tadi," balas lelaki itu tenang. Api lawannya air. Kata-kata lawannya diam. 

"Abang ni! Takkan tu pun tak leh fikir. Saya tahu abang sibuk dengan kerja sejak kebelakangan ni, tak pedulikan saya dah. Saya terasa sangat dengan abang. Abang tak pernah nak buat saya gembira!" Air matanya mula bergenang. Emosional.

"Sayang, masa sayang mengidamkan macam-macam, kambing golek, kemudian abang belikan untuk sayang, sayang tak rasa bahagia ke? Abang buatkan kerusi bersandar dengan kusyen empuk untuk sayang berehat sambil baca buku kegemaran sayang, sayang tak bahagia ke?" tanya suaminya lembut sambil mengelus lembut jari jemari gadis itu. Wajah lelaki itu mengukir senyuman.

Gadis itu terkedu. Dia rasa terpukul dengan kata-kata suaminya. Dia termalu sendiri. Betapa dia tidak mengingati dan menghargai seribu kebaikan yang telah diberikan oleh suaminya. Hanya kerana suaminya terlewat tiga puluh minit saja, dia menghamburkan kata-kata yang mementingkan dirinya. 

"Sayang tak bahagia dengan abang ya?" ulang suaminya lagi. Gadis itu terus berpaling dan menghadap suaminya. Lelaki itu memandu kereta dengan tenang. Seperti selalu, suaminya memang seorang yang penyabar dan tenang. 

Gadis itu segera meraih tangan suaminya dan mencium berkali-kali sambil meminta ampun. Dia benar-benar menyesali keterlanjuran kata-katanya. Dek kerana kemarahannya hanya perkara kecil, dia dah buat hati suaminya terasa walaupun lelaki itu tidak memberi reaksi yang negatif. Suaminya tersenyum dan mengangguk sambil mengelus lembut kepala isteri kesayangannya. Dia sudah maklum perangai buah hatinya yang sorang ni.

"Abang ampunkan. Lain kali, banyakkan bersabar sayang. Istighfar ya. Abang sayang isteri abang. Okay?"

Gadis itu mengangguk sambil tersenyum. Dia berazam untuk mengubah perangainya yang satu itu! Menjadi lebih baik dari hari semalam. 


TaMaT


PS: Berterima kasihlah kepada orang yang berbuat baik. 
      Ingatilah kebaikan orang lain supaya kita tidak menyimpan dendam apabila mereka menyalahi kita.
      Tetapi ingatlah keburukan kita dan lupakan setiap kebaikan yang kita buat supaya kita sentiasa
      ingin melakukan kebaikan. 




Nukilan: Tuan Auz , 1.53 AM , 21 Mac 2013

2 comments:

  1. Aus! Aku baru abes baca "Cinta...Again?" kau. Sekali refresh tengok ada cerita baru haha. Welcome back, writer! Keep up the good work ;)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ain! amboi berkurun dah ko nie baru nak habis baca. hehe. terima kasih baca !

      Sharing is caring. Mencari idea yang dapat berkongsi dan jadi iktibar sambil bergembira membaca! hehe

      Delete