Jom lihat!

Showing posts with label Karya Pendek: Jangan Bersedih. Show all posts
Showing posts with label Karya Pendek: Jangan Bersedih. Show all posts

Monday, July 4, 2011

Emas Keenam: Anda Dengan Apa Yang Anda Miliki Lebih Bahagia daripada Jutaan Wanita Lainnya


Maka kesabaran yang baik itulah kesabaranku.
(Yusuf:18)



Cukuplah bagi anda sepotong roti yang berisi
daripada harus meminta kepada orang
yang menutup pintunya
dan yang dicap oleh banyak orang
sebagai orang yang kikir.


Pernahkah kita mengambil sedikit masa,
untuk merenung di sekeliling kita,
dan alam semesta ini.


Pernahkah terfikir, beribu-ribu manusia yang terlantar dan terbaring
di atas katil, kehilangan upaya untuk bergerak.
Bukan sekadar tidak mampu bergerak, 
mereka dilanda penyakit kronik dan susah diubati.
Ada yang kehilangan tangan, kaki dan penglihatan serta pendengaran.
Ada juga yang cacat seumur hidup dan tiada ubatnya.
Pernahkah terlintas di hati kita,
apakah khabarnya hati-hati dan perasaan,
di sebalik jeriji-jeriji besi dan terkurung serta disekat kebebasannya.
Kerinduan terhadap keluarga terpaksa ditelan atas kesilapan sendiri.
Kebahagian direntap begitu sahaja.


Pernahkah kita berpaling ke arah orang-orang yang ditimpa musibah?
Wanita yang kehilangan keluarga dan anak-anak dalam
kecelakaan sekelip mata.
Wanita yang menjadi sebatang kara, tanpa sesiapa di dunia ini 
untuk dia bergantung harap.


Pernahkah kita terfikir bahawa orang-orang kafir 
yang tinggal di pondok menderita untuk mendapatkan makanan 
walaupun secebis roti?


Pernahkah kita terfikir orang-orang yang kurang siuman,
kehilangan akal dan kewarasan,
serta tiada ingatan dan memori lagi?


Pernahkah kita renungkan perkara-perkara ini?


Sedangkan kita semua selamat dan dilindungi,
cukup segalanya, hidup penuh keselesaan dan bahagia.
Oleh kerana itu, bersyukurlah kepada Allah
atas segala nikmat-Nya kepadamu.

Jangan habiskan masa dengan menonton TV lama-lama,
mendengar muzik yang melalaikan, melihat cerita-cerita yang
mengkhayalkan, palsu dan penuh hiburan dan kemaksiatan,
yang mendatangkan penyakit hati dan kesedihan,
yang membuat jasad kita tidak melakukan pekerjaan wajib kita.


Oleh itu ambillah yang bermanfaat daripadanya seperti
ceramah dan program agama, siaran kesihatan dan berita
mengenai masyarakat dan dunia Islam, rancangan motivasi
dan yang membuka minda serta bagi peningkatan ilmu,
ambillah yang berguna sahaja.


Hindarilah hal-hal murahan yang disiarkan melaluinya,
yang menjadi kegilaan pada kemunculannya,
sesungguhnya hal tersebut bertentangan 
dengan etika, rasa malu dan norma agama.


Dunia ini diibaratkan neraca timbangan yang halus
dan tidak boleh dilihat dengan mata kasar.
Pilihan hanya dua,
antara arak yang mengkhayalkan,
atau susu yang menyihatkan.



~Bekalan~
Serahkanlah Orang Yang Zalim ke
Mahkamah Akhirat Yang Padanya Tiada Hakim,
Selain Allah Taala.



Sekadar Coretan,

Tuan Auz

Thursday, June 9, 2011

Emas Kelima: Malas Adalah Teman Kegagalan


Allah...Allah Tuhanku,
Aku tidak mempersekutukan Dia dengan sesuatu pun


Tempat yang paling dibanggakan di dunia 
adalah yang mempunyai penerangan
dan sebaik-baik teman duduk sepanjang masa
adalah buku.





Di suatu tempat di bandar Shah Alam......


"Beb, boleh tak ko ambik baju-baju busuk ko ni, masuk dalam washing machine? Aku tengok dah seminggu dok berterabur bawah katil ni ha. Bakul ada, ko letak benda lain." Bebel Syahirah sambil bercekak pinggang. Arghhh, dah tambah sorang lagi 'ADIK' kat sini. Sudahhhh!

"Kejaplah. Dina tengah guna washing machine tu ha. Lepas dia siap, aku basuh baju-baju aku ni." balas Rose yang sedang kusyuk membelek magazine Intrend yang baru dibelinya kelmarin. Hari ni baru sempat baca. Sibuk study untuk first test semester ini. Tak sempat nak luangkan masa.

"Pelik aku tengok ko ni. Padahal ko tu dah kahwin. Cubalah kemas sikit. Aduiiii. Aku malas nak membebel. Ko pun pompuan gak beb. Tolonglah jangan bersepah sangat." tambah Syahirah. Hatinya geram dengan teman sebiliknya itu. Parahhh. Dia pulak seorang yang teliti dan cermat. Pantang tengok bersepah, hati cam berkecai-kecai gitu. Tengok ajelah tempat tidurnya, cadar sentiasa berkemas, mantap tanpa kedutan. Dapat pulak Rose yang ala-ala gitu, relek sampai ke tahap bersepah-sepah.

"Laki aku tu yang ringan tulang. Aku tolong mana-mana patut." Mata Rose masih menatap helaian magazine di tangannya. Nasihat member didengar acuh tak acuh. Penat selalu kena tegur. Tapi, tak jugak dia nak ubah.

"Aku nak gi masak. Bila aku masuk, aku nak siap semua baju bersepah ni masuk dalam bakul. Mug ko yang semalam ni please gi basuh!" Syahirah mengeluarkan arahan mandatorinya lalu beredar dari situ. Tak kuasa dia! Tak paham camne pompuan pemalas camni boleh laku?? Ha kau! Ya Allah, kurang ajar pulak mulut. Argh, panas panassss. Kena ke tempat lebih 'sejuk'.

Rose mencebik. Ish. Geram betul. Macam aku ni adik dia pulak. Terus dia bergerak mengutip baju-baju busuknya. Segera dia mengemaskan katilnya yang dah macam tongkang pecah tu. Walaupun kerap dimarahi Syahirah, tapi Rose relek je. Dia akan menurut arahan member sorang itu. Mungkin Syahirah memang memahami dirinya, Rose juga faham perangai Syahirah, so kena marah pun dia wat dek je, tapi nasihat tu sebenarnya terkesan di hati.

"Em, tak mandi lagi aku ni. Argh! Tak ready lagi barang untuk exam Isnin ni." getus hati kecil Rose. Tuala merah jambu yang disangkutnya pada almari dicapai. Kebetulan, dia bertembung dengan Rose ketika hendak keluar dari bilik.

"Amboi, madam datang spot check?" Usik Rose sambil tersengih busuk.

"Ha! Boleh pun kau kemas. Sakit mata aku tengok barang-barang terperonyok bawah katil tu. Please rajin sikit. Silap silap aku report kat laki kau. Soh dia bawa kau balik rumah. Rajin-rajinkan tolong kitorang kemas rumah jugak." Panjang juga ucapan dari 'madam besar' ni. 

"Mug tu kejap lagi aku basuh. Nak mandi ni. Nak dating dengan husband aku petang ni." Rose tersengih riang.

"Amboi. Make sure basuh mug sebelum dating. Banyak weekly report aku yang pending nak bagi husband kau baca. Mintak dia mandereem ko sikit untuk lebih rajin." Ujar Syahirah sambil menepuk bahu teman sebiliknya itu. Dah nak tengahari baru nak mandi. Bukan dia buat kerja rumah ke apa. Berselingkar atas katil. Aduhhhh mak datok tolongggg!


Keesokan harinya.....


"Sayang, dah siap ke belum?"

"Abang, kejaplah. Sayang tengah betulkan tudung ni ha...."

"Sayang, lambat abang tinggal."

"Kejapppp. Dua minit jek!" Dia mencebik. Ala, nak dating pun rushing orang. Ishhh! Omelannya sekadar tersangkut di kerongkong.

"Aii lambatnya budak ni. Abang pasang jam loceng kanggg."

KRINGGGGGGGGG!!!!

"Abang, dah laa. Tutup jam tu, sayang dah turun ni."

KRINGGGGGGGGGGGGGGG!!!

"Abang!"

"HOIII!" Papppp!!

"Eh??" Terasa berpinar kepalanya sebentar. Rose terpinga-pinga sambil memandang sekelilingnya. Terkebil-kebil dia melihat jam loceng di tangan Syahirah yang sudah berhenti memekak. Mimpi ke??

"Banyaklah kau punya ABANG. Abang kau tu cerita semalam petang ye. Dah la balik lewat. Bangun cepat. Kan kau ada test pagi ni." ujar Syahirah sambil bercekak pinggang. Ni dah parahh. Jam loceng pun tak sedar. Payah nak bangunkan dia. Sah, report nak kena hantar pada Tuan Director dia.

"Ah!! Test Statistic laaa. Habis aku!"

"Kau tak payah mandi. Gi gosok gigi, basuh muka. Aku nak gerak gi fakulti ni. Kau tumpang je aku. Macam mana kau ni....tidur mati ke?" Sempat lagi Syahirah membebel sebelum keluar dari bilik. Housemate yang lain awal-awal pagi lagi dah keluar. Mujur dia tiada sebarang ujian hari itu. Releks sikit. Kalau tak, tak tahulah nasib Rose ni.

Fakulti dan rumah sewa mereka tidak berapa jauh. Hampir sepuluh minit memandu, mereka sudah sampai ke dewan ujian. Rose terlewat limat minit. Mujurlah. Syahirah sekadar menggelengkan kepalanya. Minah ni kabut betul. Pening aku!

Sementara itu, Rose selamat menduduki mejanya. Dia tersenyum lega sambil memandang kawan-kawan sekeliling yang sudah memulakan pertarungan mereka. Statistik yang sememangnya pecah otak bagi yang kurang faham. Rose menggagau beg sandangnya, mencari kalkulator saintifik.

Eh?

Ah sudahhhh! Aku tak bawa ke? Kau jangannnnn~! Memang benar! Aku tertinggal. Ah!!

Rose sedikit panik. Apa perlu aku buat. Aduhhhh!! Rose mengangkat tangan. Master student selaku pengawas peperiksaan menghampiri Rose.

"Saya tertinggal kalkulator. Ada kalkulator extra?" tanya Rose.

"Em....tak de la pulak."

"Alamak, macam mana ni?? Boleh tak kalau saya call kawan saya hantar?" Sudah. Panik semakin menguasai dirinya.

"Boleh, mari saya teman awak ke luar." cadang master student tersebut.

Rose mendial nombor telefon Syahirah....as usual.

"Sya, tolong aku beb. Aku tertinggal kalkulator. Ko ada tak?"

"Kau ni macam-macamlah. Aku nak hantar report kat laki kau japgi. Kabut sungguh kau dua tiga hari ni." bebel Syahirah pula. Orang tengah panik, dia lagi nak buat panik.

"Weh, aku tengah panik kau boleh lak berleter. Ada tak kalkulator. Please!" Waktu terus berlalu. Setiap minit itu sangatlah berharga.

"Kejap...aku pi hantar kat kau." Syahirah mencebik geram. Cuai betul si Rose ni. Peh.

Akhirnya, kalkulator bertukar tangan. Mujurlah Syahirah masih berada di kawasan fakulti. Kalau tak, naya. Selamat tinggal sajaaaa Rose.

"Terima kasih weh! Sorry ye." Rose tersengih sambil menepuk-nepuk bahu Syahirah.

"Haa, jawab leklok. Jangan nervous terlebey." tambah Syahirah. Rose....Rose......hope laki kau dapat bagi ko 'tuisyen' sikit supaya ko lebih matang. Adehlaa minah ni.... Syahirah tersenyum sendirian.




Hmm, boleh ke Rose jawab test Statistik ini? Hehe, terpulanglah pada spekulasi masing-masing. Sebenarnya nak ditegaskan di sini, kita janganlah selalu bertangguh atau malas dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Of course, terutamanya dalam melaksanakan ibadah - solat, puasa, berzakat dan berbuat kebajikan yang lain. Rajinkan diri membaca al-Quran dan sembahyang di awal waktu. Lebih bagus, buatlah solat sunat pulak untuk tambah saham.

Dalam masa yang sama, kebersihan diri wajib dijaga. Jangan biarkan bilik bersepah-sepah, pinggan mangkuk tidak berbasuh dan laman tidak bersapu. Kekotoran boleh membawa kepada pelbagai penyakit dan kurangnya keharmonian rumahtangga. Aura dalam rumah pon jadi negatif. Yelah, sakit mata tengok barang bersepah semua kan?

Bagi perempuan terutamanya yang sudah berkahwin, penjagaan kecantikan dan kebersihan diri wajib dititikberatkan. Dari kesihatan rambut hinggalah ke hujung kuku dan jari kaki. Sentiasalah mandi untuk bersihkan diri, berbau wangi di samping suami dan memakai pakaian yang cantik-cantik. Rajinkan diri berhias untuk suami. Namun, bagi yang masih bujang tak semestinya tak perlu berhias. Berhiaslah ala kadar sahaja asalkan sedap mata memandang. Elakkan bau badan terutamanya agar tidak mengganggu ketenteraman manusia lain.

Selain itu, rajinlah membaca dan mencari ilmu agama di samping pengetahuan duniawi agar kehidupan lebih menjanjikan kebahagiaan dan ketenangan. Praktikkan ilmu agama dan kongsi bersama rakan-rakan. Bergaul dan berbincanglah topik-topik yang mendatangkan faedah, saling bertukar pandangan dan elakkan mengumpat dan mencela.

Ingatlah, sikap membuang masa amatlah dibenci Allah. Rugi sangatkan kalau terlepas walau seminit. Jangan berputus asa dalam mencari rezeki harian. Berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk  melaksanakan pekerjaan yang halal, dan ingatlah untuk mengeluarkan zakat dan sedekah kepada yang memerlukan. Oh, nak diingatkan tips untuk murah rezeki. Rajinkan badan untuk menunaikan solat duha dua rakaat pada ketika matahari sedang menaik. Sunat duha adalah sedekah untuk 360 sendi dalam tubuh kita; 360 sendi bererti manusia perlu melakukan 360 kebajikan sehari, tapi sunat duha sudah mencukupinya. Yep , sebagai token dan 'bayaran' kepada Allah sebab now kita tengah 'menyewa' tubuh ni kan?


Ingat lagi tak pepatah dulu-dulu, zaman sekolah rendah, mural kat dinding sekolah wajib ada punya.....


Usaha itu Tangga Kejayaan

=D


~Bekalan~
Apabila Kesusahan Datang Menerpa Diri
Dan Kecemasan Bertindih-tindih Menghimpit Anda,
Ucapkanlah: Laa Ilaha Illallah



Sekadar Coretan,
Tuan Auz





Wednesday, June 1, 2011

Emas Keempat: Tidaklah Sama Wanita Yang Mukmin dan Wanita Yang Kafir


Tiada suatu kegembiraan pun yang kekal bagimu
dan tiada suatu kesedihan pun 
dapat mengembalikan kepadamu
sesuatu yang hilang



Pernah ke kita terfikir bagaimana keadaan kita sekiranya dilahirkan bukan ISLAM?
Apakah kebahagiaan pada ketika itu sama seperti sekarang?
Pernah ke kita bersyukur yang kita dilahirkan sebagai seorang MUSLIM?
Secebis iman sudah pasti terselit di hati kita.
Hanya berbeza keteguhan dan kemantapan.
Yang pasti boleh digilap dengan usaha yang istiqomah.

Sebagai wanita muslimah, Islam mengajar kita untuk menutup aurat.
Aduhh, bercakap tentang menutup aurat, saya sendiri tidak berapa mengikut garis panduan.
On off. Sekejap tutup, sekejap separuh tutup.
Insya Allah, suatu hari nanti saya akan istiqomah dan tetap, tidak berubah. 
Doakan saya dan para muslimah lain juga.

Sebagai seorang wanita Islam, kita bebas untuk melakukan apa sahaja
selagi ianya tidak melanggar syarak.
Kita bebas beriman, berpuasa, menunaikan solat, bersedekah, menutup aurat,
taat pada suami, takut pada Allah, berbuat kebaikan pada jiran tetangga dan haiwan, 
dan berkasih sayang terhadap anak-anak dan keluarga.
Alangkah bahagianya kita, dengan berbuat semuanya penuh keikhlasan,
pasti Allah akan menghadiahi setiap kita ketenangan, keredhaan dan pahala yang besar dariNya.

Cuba bandingkan dengan wanita-wanita kafir di negara-negara kafir.
Mereka sesuka hati, penuh kejahilan mempamerkan kecantikan, 
berlumba-lumba untuk berpakaian cantik dan merasa bangga, naif, 
dan bagaikan barang yang dijaja di merata tempat, sudah tiada nilainya lagi,
tanpa mempunyai kehormatan dan agama.

Percayalah bahawa kita adalah wanita yang paling bahagia,
paling tinggi darjatnya, paling hormat kedudukannya.
Alhamdulillah.


Firman Allah S.W.T:
Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah(pula) kamu bersedih hati,
padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya),
jika kamu orang-orang yang beriman.
(Surah Ali-'Imran: Ayat 39)


Pandanglah cermin, lihatlah diri kita.
Benarkah kita sudah menutup aurat dengan cara yang diredhai Allah?
Atau masihkah kita tegar mengikut ikon, idola dan fesyen-fesyen 
yang semakin cenderung ke arah zaman jahilliyyah?

Pilihan ada di tangan kita.
=)




~Bekalan~
Semua Orang Baik Yang Memiliki Istana
Mahupun Yang Memiliki Rumah Sederhana,
Pasti Menjalani Kehidupannya,
Tetapi Siapakah Yang Benar-Benar Meraih
Kebahagiaan Dalam Hidup?



Sekadar Coretan, 
Tuan Auz

Sunday, May 22, 2011

Emas Ketiga: Cukuplah Kemuliaan Anda Dengan Menjadi Seorang Muslimah


"Arghhh...huuuuhh!"

"Zakiah, kenapa mengeluh panjang ni?" tegur Nurul seraya mendengar kawannya mendengus kuat, seperti ada sesuatu yang tidak terluah tersimpan di dadanya.

"Hmmm.....entahlah." Zakiah menongkat kepalanya di atas meja. Matanya tidak terus memandang wajah Nurul. Dia seperti berkira-kira sama ada mahu berkongsi atau tidak. Nurul sekadar tersenyum, tetap setia menanti kata-kata dari kawannya itu.

"Ada masalah?" tambah Nurul.

"Aku macam menyesal kahwin dengan dia." ucap Zakiah, perlahan.

"Ya Allah. Kenapa cakap macam tu? Tak baik, Zakiah." 

"Entahlah...." Zakiah memintal-mintal hujung tudungnya. "Dia baik."

Nurul merenung tepat pada wajah Zakiah. Menunggu sambungan seterusnya.

"Aku macam tak leh nak follow gaya hidup dia. Aku masih muda. Dia suruh aku pakai tudung. Bukan biasa-biasa, tudung besar macam ni pulak tu. Dia tak benarkan aku keluar malam-malam dengan kawan-kawan. Malam aku terperap je kat rumah. Siang je, itu pun kadang-kadang dia follow sekali. Aku tak leh nak bergaya sangat sekarang macam dulu-dulu." Keluh Zakiah. 

Nurul mengusap dagunya, seakan berfikir nasihat apa yang sesuai untuk diperkatakan. Tiba-tiba je Zakiah bercakap begini dengannya. Padahal, hampir setahun mereka bernikah. Sememangnya gaya hidup Zakiah agak bebas sebelum ini. Bukanlah dia perempuan murahan, cuma dia jenis yang outgoing, pakaian yang bergaya dan tidak menutup aurat dan seorang yang agak sosial. Kawan-kawannya ramai. Dia juga seorang yang suka travel ke sana dan ke sini. Semua orang terkejut apabila dia berkahwin dengan Muhd Zaid, seorang jurutera yang berwajah manis dan agak alim pada pandangan Nurul.

"Apa salahnya dia follow. Lagi seronokkan? Kawan-kawan kau tak suka ke?" Nurul cuba untuk mengorek lebih isi hati Zakiah. Hmm, logiklah kot, lepas kahwin je memang dia terus bertudung. Bukan tudung singkat, tudung yang berbidang 60 tu.

"Kawan-kawan aku okay je. Dorang pulak yang rancak borak dengan Zaid. Lagi pun, Zaid ni memang pandai sesuaikan diri, tak kiralah apa jenis kawan aku pun. Cuma aku tak senang hati je." Zakiah mencebik.

"Kenapa tak senang hati?" tanya Nurul sambil tersenyum.

"Aku tak suka tengok dia baik dengan kawan-kawan aku tu. Tak tahu apsal."

"Kau cemburukan?" Nurul tersengih. Zakiah terdiam. Target terkena. Dia tidak mengangguk atau menggeleng. Zakiah membuang pandangan ke arah jalan besar.

"Salah ke cemburu?" soal Zakiah sambil mengerutkan dahinya. Dia sedikit ego untuk mengaku dia cemburu. Aah, aku cemburu rupanya. 

"Tak salah. Itu tandanya kau sayangkan dia." 

"Em, aku sayangkan dia. Dan aku tahu dia sangat sayangkan aku." Kata Zakiah tanpa dipinta. Nurul tersenyum lagi.

"Rimas pakai tudung?" tanya Nurul, seakan-akan memprovok kawannya itu.

Zakiah diam. Dia tidak tahu apa patut dijawab.

"Kau nak bergaya untuk siapa bila keluar rumah? Bergaya kat rumah depan suami cukuplah. Bila keluar rumah, pakailah yang menutup aurat tapi sedap mata memandang. Banyak baju-baju labuh yang cantik-cantik sekarang. Nak senang, pakai je jubah atau jubah seluar. Terus lengkap." Nurul menghirup air teh O panas yang dipesannya tadi. Kemudian, dia memandang orang-orang di dalam kedai makan itu. "Apa yang Zaid buat tu betul. Dan memang tanggungjawab kau sebagai seorang muslimah untuk menutup aurat. Bergaya itu fesyen di dunia saja. Allah tak pandang semua tu bila kau dihisab nanti. Secara jujur, aku lebih suka diri kau yang sekarang. Nampak sopan dan manis sangat. Bertambah cantik. Aku tak tipu." 

"Tapi, aku tak berapa selesa." sampuk Zakiah. "Rasa macam hipokrit."

"Adakah kau bahagia dengan Zaid?" 

Zakiah mengetap bibirnya. Kemudian, dia mengangguk.

"Kalau bahagia, apa yang kau tak puas hati lagi?"

"Aku tahu aku tersilap kata tadi. Aku tak patut cakap aku kesal kahwin dengan dia. Betul. Memang aku happy hidup dengan dia. Zaid caring, penyayang, memang seorang suami yang ideal. Idaman semua wanita. Em, mungkin part yang dia suruh aku pakai tudung kot. Aku rasa tak ready lagi." jelas Zakiah.

"Bertudung tapi tak rela, bukan hipokrit. Itu perkara wajib. Kau suka atau tidak, kau wajib ikut suruhan Allah. Bertudung menutup aurat adalah perintah Allah. Zaid sekadar melaksanakan tanggungjawab dia sebagai seorang suami yang soleh, untuk didik dan jaga kau. Sebab tu la dia suruh kau bertudung penuh. Bukan pakai shawl, lilit sana sini, tocang tinggi cam bukit dan berbaju ketat. Tak de kemanisan langsung. Sekurang-kurangnya, kau paksakan diri bertudung. Alhamdulillah. Banyakkan berdoa semoga Allah bukakan pintu hati kau, untuk redha dan tenang dengan apa yang kau buat. Insya Allah, redha Allah bersama kau."
"Em, panjangnya ko bercakap." Zakiah ketawa kecil. Dia mengakui kebenaran kata-kata Nurul. Nurul kawannya sejak sekolah menengah. Dia masih single lagi. Katanya, dia tak kisah sangat tentang jodoh. Kalau ada, adalah. Dia malas nak pening kepala risau jadi andartu ke apa. Katanya, Allah Maha Mengetahui dari orang lain. 

"Nak nasihat kau jugak. Terkejut aku kau cakap macam tu tadi. Jangan cakap gitu lagi okay. Bersyukurlah dapat suami macam Zaid. Kau tahu, ada satu hadis ni, emmm riwayat Ahmad kalau tak silap aku, katanya apabila seorang wanita berbakti kepada suaminya, mengerjakan solat lima waktunya, dan memelihara kehormatannya, nescaya ia akan memasuki syurga Tuhannya. Kita beruntung dilahirkan sebagai muslimah, dan beragama Islam. Mudahkan? Buat je apa Allah suruh dengan ikhlas, insya Allah syurgalah yang Allah janjikan."

"Aku buat semua tu....makan minum dia, pakaian....em..." Tiba-tiba, handphone Zakiah  berbunyi. "Assalamualaikum, abang."

Nurul sekadar memerhati perbualan antara Zakiah dan Zaid. Dia gembira melihat Zakiah berkahwin dengan Zaid. Sekurang-kurangnya, lelaki itu dapat memimpin Zakiah ke arah kebaikan, ke jalan yang lurus. Dia pernah berjumpa dengan Zaid, dan sememangnya dia sedikit cemburu dengan Zakiah. Beruntung Zakiah dapat Zaid. Itulah jodoh yang sudah ditentukan oleh Allah untuknya. Bagi Nurul, dia rela tidak berkahwin kalau bukan dengan lelaki soleh. Tak sanggup dia nak mengharungi keperitan hidup berlakikan suami yang tidak bertanggungjawab.

"Em, Zaid on the way. Dia nak ambil aku kat sini." kata Zakiah sambil tersenyum.

"Eceh, bahagianya muka kau. Berseri-seri! Nyampah je drama kau tadi." Nurul tersengih.

Zakiah ketawa.

"Terima kasih dengar isi hati aku. Aku akan ingat nasihat kau. Betul tu. Aku patut bersyukur dapat Zaid. Sebenarnya, aku risau Zaid akan cari lain kalau aku tak bergaya cantik....." Akhirnya, Zakiah meluahkan isi hatinya yang sebenar kepada Nurul.

Nurul menggelengkan kepalanya sambil tersenyum. Ada-ada je minah ni! Boleh pulak dia fikir macam tu. Padahal, dia dah cukup cantik dan bertambah cantik apabila bertudung litup macam ni.

"Assalamualaikum."

"Waalaikummussalam..." jawab Nurul dan Zakiah serentak. Zakiah tersenyum manis tatkala melihat suaminya yang menyapa.

"Abang, duduklah kejap. Sayang nak habiskan sikit lagi." 

"Em, sedapnya. Nasi goreng ikan masin ye." Zaid tersengih sambil mengambil tempat dia sebelah isteri tersayang. "Hai, Nurul sihat?"

"Aku okay je. Kau tak nak order ke Zaid?" balas Nurul.

"Tak pelah. Perut tak lapar pun. Aku share dengan sayang aku ni je." ujar Zaid selamba. "Bolehkan sayang?" 

Zakiah mencebik. Kononnya tak nak berkongsi. Tapi, tangannya tetap menghulurkan sudu kepada Zaid.

"Zaid, kau rasa Zakiah ni cantik tak?" tanya Nurul spontan.

"Eh kau ni, mestilah Zakiah lawa. Cantik okay sayang aku ni. Kan Zakiah, ada ke patut Nurul tanya macam tu. Mestilah Zakiah abang cantik." Tersengih-sengih Zaid memuji isterinya sambil memeluk bahu Zakiah mesra. Zakiah tersipu-sipu malu. Nak tergelak Nurul tengok. Sebelum ni, bukan main sosial. Tahu juga malu dia.

"Ha, dengar tu Zakiah. Suami kau cakap kau cantik. Tak payah risaulah kalau rasa kau tak bergaya ke apa. Kau memang cantik di hatinya." tambah Nurul.

"Kau ni....diam-diam sudahlah. Malu aku tau!" Zakiah merungut sambil memuncungkan mulutnya. Dia segan sungguh dengan Zaid. Mungkin sebab depan Nurul kot? Aku pemalu?? Rupanya aku penyegan juga. Tetapi, dia rasa sungguh bahagia dengan layanan Zaid kepadanya. Zaid tidak kekok untuk tunjuk rasa sayang depan orang lain. Mamat tu apa kesah, bini aku, tu dia cakaplah. 

"Abang tahu kenapa Nurul tanya macam tu. Tak pe. Biarlah jadi rahsia. Apa-apa pun, abang suka Zakiah yang macam ni. Barulah isteri abang yang disayangi. Okay?" ucap Zaid sambil mencubit pipi Zakiah. Arghhh, mamat ni sudah-sudahlah buat aku segan, getus hati Zakiah.
Nurul tersengih melihat gelagat dua orang kawannya. Dalam hati, dia berdoa semoga kebahagiaan mereka berdua berpanjangan. Semoga dia juga dipertemukan dengan yang terbaik untuk dirinya. Terasa dirinya semakin bersyukur menjadi seorang muslimah. Muslimah yang benar-benar mengamalkan ajaran Tuhannya Yang Maha Agung. Semoga iman di dada sentiasa dilindungi Allah dan sentiasa teguh sehingga ke akhirnya hayatnya. Amin.



~Bekalan~
Bukan Emas Yang Mempercantikkan Anda,
Melainkan Yang Mempercantikkan Adalah Akhlak Anda,
dan Kekayaan Anda Adalah Etika Anda.


Sekadar Coretan,

Tuan Auz

Friday, May 20, 2011

Emas Kedua: Anda Mempunyai Segudang Nikmat


Sesungguhnya Bersama Kesulitan Ada Kemudahan.


Demikianlah ringkasnya SMS yang diterima oleh Awatif dari seorang kawan. Ringkas, tetapi bermakna. Air matanya bergenang dan serta-merta laju mengalir membasahi pipinya. Terasa perit dan hiba apabila terkenangkan hidupnya sekarang. Dia bagaikan terumbang-ambing dan hilang arah tuju. Sejak kematian suaminya tiga minggu lepas, setiap hari dirinya ditemani air mata dan kekecewaan. Dia rindukan lelaki itu.

"Mama...."

Anak kembar lelakinya memanggil di luar pintu. Awatif segera mengelap air matanya dengan hujung kain bajunya. Dia tidak mahu anak-anak runsingkan dirinya. Mereka masih belajar. Mereka juga kesedihan kerana kehilangan ayah tersayang.

"Mama, Mama okay ke?" tanya anak lelakinya itu lagi.

Awatif membuka pintu biliknya yang terkunci sejak tadi lagi. Mungkin dia terlalu lama di dalam menyebabkan anaknya datang mengetuk pintunya.

"Ye, Muaz?" Awatif tersenyum sambil mengusap kepala Muaz.

"Mama, Mama nangis lagi?" Muaz mengerutkan dahinya, risau sungguh dia melihat mamanya bersedih. Walaupun belum sampai sebulan ayahnya kembali ke Rahmatullah, kesedihan masih terasa, tetapi Muaz perlu kuatkan diri. Dia tak boleh hanyut dengan kesedihan, getus hatinya.

"Mama rindukan Papa...." balas Awatif, antara dengar tak dengar suaranya. Air matanya bergenang lagi. "Maafkan Mama. Mama dah buat Muaz dan Muazzam risau. Mana Muazzam?"

"Muazzam keluar kejap pagi tadi. Dia dah on the way balik." jawab Muaz sambil merenung wajah mamanya. 

"Jom makan. Muaz nak makan apa, biar mama masak." ujar Awatif sambil tersenyum lemah memandang anak terunanya yang kini berada di Tingkatan Lima. Dia memiliki sepasang kembar lelaki dan seorang anak perempuan tunggal yang kini belajar di Tingkatan Tiga.

"Muaz dah masak lunch. Ni nak ajak Mama makan sekalilah. Mariah dah ready meja tu." ucap Muaz sambil tersenyum. Mereka bertiga memang sudah diajar berdikari sejak kecil oleh papa dan mama mereka. Semua pandai memasak dan menjahit, mengemas rumah, cuma siapa lebih rajin dan malas saja.

Awatif terdiam mendengar kata-kata Muaz. Anak kembarnya yang sorang itu memang lebih bertanggungjawab berbanding dengan abang kembarnya yang agak nakal. Biasanya, Muaz lah yang memasak dan mengemas rumah. Selalunya, dia akan ajak Mariah sekali. Muazzam jarang-jarang membantu tapi anaknya yang sorang itu baik budaknya walaupun nakal. Gila-gila remaja.

"Mama minta maaf sebab Mama tak dapat jadi ibu yang baik....." Terpacul kata-kata itu dari bibir mungil Awatif. Sejak hari pertama pemergian suaminya, dia sangat tertekan. Tambahan pula, dia dan suaminya memang sangat rapat. Apa-apa yang mereka buat, mesti berdua. Teman bicara yang setia siang dan malam.

"Ma, Muaz kan ada? Muaz harap Mama kuat semangat. Papa mesti nak Mama gembirakan? Jangan sedih sangat, nanti sakit. Kesian Mariah tu risau dia tengok Mama." Muaz memeluk bahu Mamanya. "Jom makan."

Muazzam pulang sambil membawa tiga kotak kecil buah strawberi yang dibelinya di pasaraya tadi. Dia tersenyum sambil menuju ke meja makan. Memang on time timing dia! Dia tahu adiknya Muaz tu memang tere masak. Dia mengerling ke arah Mamanya yang kelihatan lesu itu. Hatinya dirundung pilu. Dia tak sanggup untuk melihat Mamanya bersedih hati setiap hari.

"Mama, Muazzam belikan hadiah untuk Mama. Favourite Mama kan?" Ujarnya sambil menghulurkan tiga kotak strawberi yang dibelinya tadi. Dia bukanlah seorang yang pandai mengambil hati, tetapi dia berharap mamanya senang hati mempunyai anak seperti dirinya. Dia mahu Mamanya gembira. Siapa tak sedih kehilangan ayah tersayang, tapi dia mesti kuat. Dia kena jaga Mama, Muaz dan Mariah. 

Awatif tersenyum senang hati. Dia mengusap kepala Muazzam beberapa kali. Hatinya tersentuh dengan anak-anaknya yang tabah dan sabar menghadapi dugaan ini. Namun, dirinya? Dia pula yang terumbang ambing. Sepatutnya dia bersama anak-anaknya menghadapi ujian daripada Allah. Saling memberi kata-kata semangat. Walaupun dia tak lalu nak makan, tapi dia paksa diri juga agar anak-anaknya tidak risau. Dia kena kuatkan semangat!

Selesai makan, Awatif masuk ke dalam biliknya untuk membersihkan diri. Tidak semena-mena, dia teringatkan kata-kata kawan baiknya ketika memujuk dirinya yang kesedihan.



"Awatif, bukan tak boleh ko nak menangis. Tapi, aku tengok ko dah teruk sangat. Memang belum pun sebulan tapi fikirkanlah anak-anak ko. Sorang nak PMR, si kembar pulak nak SPM. Ko kena tabahkan hati ko." pujuk Safwah.

"Aku rindukan Arif. Rasa cam patah kaki bila dia tak de. Selama ni apa-apa selalu berdua dengan dia. Entahlah Saf. Aku teringat betul dia. Aku rasa cam tak de apa kat dunia ni. Aku sedih...." Berjuraian air mata membasahi pipi Awatif. Tersedu-sedan dia menahan sebak.

"Awatif. Banyakkan bersabar. Ingatlah, setiap benda yang jadi tu, ada hikmahnya. Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk ko. Jangan cakap macam tu. Ko ada anak-anak ko lagi. Dorang masih bersama ko. Ko sedar tak, betapa banyaknya nikmat Allah beri kat ko dan keluarga ko? Cuba renungkan balik. Ko dapat Arif, suami yang penyayang, bertanggungjawab, kacak dan baik. Anak-anak ko semua Alhamdulillah baik-baik budaknya. Jenis hormat orang tua dan rajin, jaga sembahyang lagi. Tolong bangun balik. Allah ada. Sedih sedih, banyakkan berdoa dan berzikir, baca al-Quran. Hidupkan balik rutin berjemaah masa arwah Arif ada dulu. Ni Muaz cakap, ko dah tak join dorang jemaah. Ko bertuah mempunyai anak-anak cam Muaz, Muazzam dan Mariah. Ingat tu....jangan terlupa rahmat dan nikmat Allah Taala. Ini sekadar ujian untuk ko kat dunia, Awatif...."


Awatif tersenyum mengenangkan kembali kata-kata Safwah. Panjang lebar gak dia kena. Setiap hari Safwah akan rajin menghantar SMS motivasi kepadanya. Kadang-kadang, dia akan telefon Awatif bertanya khabar. Dia beruntung mempunyai sahabat yang sabar seperti Safwah. 

Ya Allah. Betapa aku terlupa nikmat dan rahmat dari Allah. Aku dah lalai dan tenggelam dengan kesedihan diri aku. Aku terlupa bahawa Arif yang ku sayangi hanyalah pinjaman sementara daripada Allah untuk aku. Arif yang mengajar aku erti kebaikan dan keindahan Islam. Arif yang mendorong aku untuk lebih mendekati Allah. Tapi, bila dia diambil balik, apa dah jadi? Cepatnya aku terlupa. Mujur ada Safwah dan anak-anak yang memahami.

Awatif meraut wajahnya. Dia terasa malu pada dirinya sendiri. Dia kena kuat. Anak-anaknya kuat semangat, kenapa tidak dia? Emmm.

"Mama..."

Awatif berpaling. Mariah...

"Emm, Mama okay?" tanya Mariah teragak-agak. Si gadis itu merindui suasana keluarga seperti dahulu. Walaupun kini ayahnya sudah meninggal dunia, namun dia masih mengharapkan kasih sayang mamanya tetap seperti dulu. Mamanya yang penyayang dan ceria. Dia rindukan belaian mamanya.

"Come..." Awatif mendepakan tangannya sambil tersenyum memandang anak bongsunya itu. Mariah bagaikan terkejut. Lantas, dia berlari mendakap mamanya. Sudah lama dia tidak merasai pelukan mamanya. Mariah menangis teresak-esak. "Mama minta maaf, Mariah. Mama abaikan anak-anak mama. Insya Allah, mulai hari ini kita sama-sama kembali ke suasana seperti dulu walaupun papa dah takde. Setiap hari, kita jemaah macam dulu, tapi kali ni kita doa lebih sikit untuk papa. Mama sayang Mariah."

"Mariah rindukan Mama cam dulu. Mariah pun sedih papa dah tak de. Tapi, Mariah lega sebab Mama masih ada. Mama kuatkan semangat ye. Jangan sedih-sedih lagi. Mariah risau tengok Mama sedih." tambah Mariah.

"Insya Allah. Mama akan jaga Mariah, Muazzam dan Muaz." Awatif mencium pipi dan dahi anak gadisnya itu. Terima kasih Ya Allah kerana memberi secebis kesedaran buatku. Hanya padaMu aku berserah, hanya padaMu aku meminta. Berilah kepada aku dan anak-anakku kebahagiaan dan kebaikan di dunia dan di akhirat, dan lindungilah kami dari azab nerakaMu.....

"Mama, malam ni jemaah sama ek?" Mariah tersengih sambil mengesat air matanya. Manis sungguh anak gadis ini, ditambah pula dengan senyuman ikhlas terukir di wajah chubbynya.

"Mestilah, Muazzam imam muda kita malam ni ye?" 





Kalau nak difikirkan, terasa macam nak meraung dan hentak kepala kat lantaikan apabila kita kehilangan orang yang tersayang? Tapi, sedarkah kita, ianya adalah salah satu dugaan daripada Allah untuk menguji keimanan kita, tandanya Allah sayangkan kita, Allah nak kita ingati Dia selalu.

Sesungguhnya setiap musibah yang dihadapi oleh setiap manusia, akan datang kemanisannya di kemudian hari apabila kita menghadapinya dengan sabar dan redha. Sesudahnya kesulitan akan datang kemudahan. Setelah titisan air mata pasti ada senyuman, dan setelah malam pasti akan datang siang. Jadi, jangan bersedih terhadap dunia yang sementara ini. 

Hilang cinta, hilang keluarga, hilang harta, hilang kerja....mujur tidak hilang kewarasan akal dan iman.

Senang aku bercakapkan? Tapi, inilah kebenarannya. Suatu hari nanti semua ni akan hilang. Persiapkan diri kita untuk menghadapi keadaan di luar jangkaan. Dalam melengkapkan diri dengan ilmu-ilmu dan kebaikan, sentiasalah juga menyeru keluarga dan kawan-kawan kita untuk berubah dan follow jalan Allah. Ajaklah dengan berhemah dan kata-kata kebaikan, bukan dengan cara berkasar dan mengherdik. 

Hehe, ni special untuk kaum wanita, especially kepada yang sudah bergelar IBU. Ketahuilah bahawa setiap kita ini diganjari pahala atas setiap kebaikan yang kita buat. Jika engkau seorang ibu, anak-anakmu akan menjadi penyokong Islam, pelayan dan penolong agama, jika engkau mampu mendidik mereka dengan pendidikan yang benar. Anak-anak ini akan berdoa untukmu dalam sujud-sujud dan dalam malam-malam ibadah mereka. 

Sungguh suatu nikmat luar biasa menjadi seorang ibu yang penuh kasih sayang dan kelembutan. Dan cukuplah bagimu untuk merasa mulia dan bahagia bahawa ibu Nabi Muhammad S.A.W adalah seorang ibu yang menghadiahkan bagi seluruh manusia seorang pemimpin agung dan Rasul yang mulia.

Marilah kita merenung kembali rezeki dan nikmat serta rahmat yang dikurniakan Allah kepada kita. Tidak bersyukur lagikah kita?  =) 


Kelembutan Allah betapapun lama masanya
terasa bagaikan kerdipan mata bila mata memejam.  




~Bekalan~
Esok Akan Merekah Bunga Yang Harum Baunya
Mengusir Segala Kesedihan dan Menjadi Penghibur Hati



Sekadar Coretan,

Tuan Auz

Thursday, May 19, 2011

Emas Pertama: Wanita yang Melawan Penindasan



Akhirnya, dapat juga aku menulis ulasan untuk Buku Jangan Bersedih, karya Dr. 'Aidh Bin' Abdullah Al-Qarni. Untuk lebih jelas dan menarik, boleh beli buku ni di kedai buku agama atau MPH mungkin ada. Dalam blog ni saya dah tukar cara penyampaian tetapi maksud masih sama. Hehe. Mana saya beli? Kawan saya present kan. Hehe.


Bab pertama dalam buku ini ialah Emas. Dalam bab ini, ada Sepuluh Emas yang berintikan maksud yang menarik dan sesuai dijadikan intipati kehidupan seharian serta motivasi dalam diri. =) 




Mari kita bermula dengan Emas Pertama: Wanita yang Melawan Penindasan.


Tiada Daya Untuk Menghindar Dari Kederhakaan 
Dan Tiada Kekuatan Untuk Melakukan Ketaatan,
Kecuali Dengan Pertolongan ALLAH.


Bab pertama ni menceritakan mengenai seorang muslimah sejati pada zaman kenabian suatu ketika dahulu. Bertuahnya muslimah ini apabila dirinya dipuji Allah kerana sifat solehah dan mukminahnya, dan disebut namanya dalam al-Quran.


Nak tahu siapa muslimah ini? Mari perhatikan sepotong ayat dari Surah Ath-Tahrim: Ayat 11 ini.




"Dan Allah membuat isteri Fir'aun perumpamaan bagi orang-orang yang beriman, ketika ia berkata: 'Ya Tuhanku, bangunlah untukku sebuah rumah di sisiMu dalam syurga dan selamatkanlah aku dari Fir'aun dan perbuatannya dan selamatkanlah aku dari kaum yang zalim. ( Surah Ath-Tahrim: Ayat 11)




Dia adalah isteri Fir'aun iaitu Asiyah Radhiyallhu 'anha. Allah telah menyebut namanya dalam al-Quran,  untuk menjadikannya sebagai contoh atau ikutan bagi orang-orang mukmin dan mukminah. Renung-renungkanlah, kenapa Allah memilih muslimah sejati ini? Apakah yang telah dilakukan oleh Asiyah?


Mungkin kepada sesiapa yang berminat untuk mengenali siapa Asiyah ini, boleh la rujuk al-Quran , Surah Maryam kalau tak silap aku. Kisah Nabi Musa A.S dan Maryam. Pengasuh di istana Asiyah menemui Nabi Musa yang dialirkan oleh Maryam di Sungai Nil, perintah dari Allah S.W.T , sebab masa tu askar-askar Fir'aun tengah menjalankan operasi membunuh anak-anak lelaki. Nabi Musa A.S diselamatkan oleh Asiyah dan dijaga serta disayangi.


Pada ketika itu sebelum datangnya Islam (dibawa oleh Nabi Musa, jika salah betulkan aku), Asiyah yang penyayang sangat taat pada suaminya iaitu Fir'aun yang kejam. Selepas kedatangan Islam, Asiyah memeluk Islam secara senyap-senyap. Namun, diketahui oleh Fir'aun. Fir'aun memujuk Asiyah supaya meninggalkan Islam tetapi Asiyah tetap teguh pendirian serta imannya. 


Asiyah ternyata lebih mengutamakan Islam dan Tuhannya Allah Yang Maha Mulia dan Maha Agung. Dia rela membangkang terhadap ketaatan kepada suaminya, Fir'aun yang berdosa, melampaui batas, lagi kafir. Semua kekayaan, kesenangan hidup dan perhiasan duniawi ditolaknya begitu sahaja. Betapa cerdas dan pintarnya wanita ini apabila dia lebih memilih tempat tinggal yang kekal, lebih indah dan lebih cantik di sisi Allah S.W.T yang menguasai alam semesta, di dalam syurga yang mengalir sungai-sungai di bawahnya, di tempat yang telah dijanjikan di sisi Tuhan Yang Maha Kuasa.


Keteguhan dan kejujurannya telah mendorongnya untuk menyeru secara terang-terangan kepada suaminya, seorang raja yang zalim, dengan kalimah kebenaran dan keimanan. Akibatnya, dia diseksa kerana mempertahankan keimanannya itu. Kemudian, Allah menjadikannya sebagai wanita teladan bagi setiap mukminah sehingga hari kiamat.


Betapa gigih dan kuat iman Asiyah jika hendak dibandingkan dengan kita semua. Beranikah kita untuk mempertahankan keIslaman kita di mata pedang orang kafir pada zaman ini? Seandainya suatu masa nanti, kita disuruh memilih antara Islam yang mulia atau mengikut telunjuk kafir laknatullah. Usahkan kata mata pedang, sebenarnya kita sudah lama kecundang dengan dunia hedonisme penuh hiburan dan sekularisme yang   telah memisahkan duniawi dan keagamaan.


Rupanya Islam dalam diri kita sudah lama ditindas tanpa sedar. Tertindas, kini berapa ramai yang follow fesyen dan gaya hidup budaya bukan Islam, muzik-muzik yang memekakkan telinga dan melekakan, belum lagi tengok maksud lirik yang melalaikan. 


Bukalah mata dan jangan terlampau leka dengan keduniaan yang sememangnya menyeronokkan dan meralitkan. Seronok, tapi sekejap je. Balasan akhirat yang ditunggu-tunggu tu lebih lama sehingga ratusan ribu tahun. 


Sanggupkah kita gadaikan kebahagiaan syurga dan akhirat yang kekal semata-mata untuk menikmati kebahagiaan duniawi yang sementara ini? Well, marilah tengok cermin brand Ikea, dan tanya iman masing-masing. 






Apa yang berlalu biarlah berlalu,
cita-cita adalah harapan yang belum pasti,
dan bagimu hanyalah saat yang sedang dijalani.






~Bekalan~
Di Sana Ada Suatu Tempat Di Barisan Terdepan,
Tetapi Menuntut Anda Untuk Menambah Peningkatan dan Kesempurnaan
Dalam Setiap Hal yang Anda Amalkan




Sekadar Coretan,

Tuan Auz