Jom lihat!

Showing posts with label Cintaku. Show all posts
Showing posts with label Cintaku. Show all posts

Saturday, February 12, 2011

Mengharap keRedhaan Dari Mu





Detik pertemuan antara kita,
Tidak direncana.

Ianya seperti mimpi,
Yang baru menjadi realiti,

Ku harap redha Ilahi,
Agar dipelihara kesucian hati,

Seandainya bicara sepi ini
menjadi penhubung bicara,
ku terima dengan hati terbuka.

Ku berserah, ku bersujud,
ku bersyukur, ku bertahajud....
Atas segala ketentuanmu.... Ya Rabbi....






Coretan Rasa,
Tuan Auz







Friday, February 4, 2011

Tetamu Allah


Lepaskan dia…

Dia seperti terlihat bayang-bayang lelaki itu di kerusi malas kesukaannya. Kadang-kadang, dia terpandang kelibat lelaki itu di dapur sedang memasak. Terbau-bau ketam masak lemak cili padi kegemarannya. Lelaki itu gemar memasak untuknya. Dia memang pakar memasak jika hendak dibandingkan dengan dirinya.

Selalu juga lelaki itu menyediakan makanan kegemarannya. Kebetulan, dia kerap kali pulang dari kerja selepas waktu Maghrib ke rumah. Lelaki itu setia menantinya dengan senyuman sambil menyambut huluran salam darinya. Dia rindukan lelaki itu.

Setiap malam, dia seakan-akan tercium bau minyak wangi yang sentiasa dipakai lelaki itu. Bukan DKNY, bukan Calvin Klein. Sekadar minyak atar yang dihadiahkan oleh ibu mertua lelaki itu. Terasa seperti dia masih berada di sisinya. Dia jarang sekali dapat melelapkan matanya. Mindanya penuh dengan memori antara dia dan lelaki itu.

Dia rindukan tawa dan belaian lelaki itu. Dia ingin menatap wajah dan senyuman manis lelaki itu. Kini, dia kehilangan bicara. Celoteh dan omelannya selalunya akan didengari oleh lelaki itu. Dan lelaki itu hanya tersenyum. Kadang-kadang dia memberi pendapat dan nasihat kepadanya. Kini, tiada lagi pendengar yang setia.

Sungguh. Dia rindukan kehadiran lelaki itu di sisinya. Saban hari, dia akan ke kolam yang selalu dikunjungi lelaki itu. Lelaki itu suka memancing. Selalu cuti hujung minggu, pasti lelaki itu akan membawa dia bersama. Walaupun kerap dia merungut kebosanan, namun itu sekadar luahan manja dan inginkan perhatian dari lelaki itu. Dia tidak kisah. Bosan macam mana pun, asalkan dapat bersama dengan lelaki yang dikasihinya, dia gembira.

Sungguh. Dia sayangkan lelaki itu. Sekiranya dapat ditukar dengan nyawanya, dia sanggup. Asalkan dia dapat bersama dengan lelaki itu selalu. Sejak kebelakangan ini, air mata menjadi peneman setianya. Benarlah kata pepatah, makan tak kenyang, tidur tidak lena. Dia mengalaminya kini.

Dia tahu, sikapnya membuatkan banyak  hati-hati yang dekat padanya bimbang. Bimbang dan risau dengan kesihatan dirinya yang kian merosot.  Dia tidak berdaya untuk meneruskan hidupnya tanpa lelaki itu. Banyak impian yang ingin dilakukan bersama lelaki itu. Dia mahukan lelaki itu. Hanya lelaki itu saja yang mampu merealisasikan impiannya.


Suatu hari, sedang dia keseorangan melayari kenangan suka duka bersama lelaki itu, dia didatangi seorang kawan lama. Dengan berat hati dia menjemput kawan itu masuk ke rumah. Dia tidak ingin diganggu. Dia ingin sentiasa bersama dengan memori dan kenangannya ketika bersama lelaki itu. Dia tidak perlukan orang lain. Orang lain tidak mampu mengembalikan lelaki yang disayanginya.

“Kau apa khabar?” Tanya seorang kawan lama.
“Hmmm….tak baik.” Jawabnya malas sambil merenung ke arah Dalina.

Dalina memandang dirinya. Dia tahu. Dalina risau. Pasti Dalina terkejut melihat keadaan dirinya. Dari seorang yang ceria dan bersemangat, kini dia seakan-akan bersedia untuk menyerahkan nyawanya pada malaikat maut. Bersediakah dia?

“Aku akan cakap straight je Maya. Aku sedih tengok kau macam ni. Dah berapa lama?? Aku tak suka tengok kau menyeksa diri kau macam ni. Kau kena kuatkan semangat, Maya. Hidup kau panjang lagi.” Ucap Dalina tegas. “Tengok! Muka kau tak berseri langsung. Badan kau pun kurus sangat. Cengkung sungguh muka kau. Kau makan tak?”

“Biarlah aku sendiri macam ni, Dalina. Aku bahagia macam ni. Asalkan aku dapat rasa dia di sisi aku cukuplah.” Dia membalas tanpa memandang wajah Dalina. Entah kenapa. Dia tiba-tiba takut untuk mendengar ucapan kawannya yang seorang itu. Dia kenal Dalina. Dalina tegas orangnya. Dia tak mungkin berlembut dengan dirinya yang sedang rapuh kini.

“Maya, kau ingat Hakim akan gembira tengok kau macam ni? Kau sendiri berjanji dengan dia kan kau akan hidup baik-baik? Maya, dah nak enam bulan dia pergi mengadap Ilahi. Please Maya. Kau tak kesian ke kat diri kau? Mak bapak kau lagi la sedih. Semua orang risaukan kau. Ini pun syukur ko panjang umur tau. Syukurlah mak bapak kau sabar menjaga diri kau. Aku dengar kau dah berhenti kerja?”

Tiba-tiba, dia terus menangis. Menangis, menangis dan menangis. Esakannya yang kedengaran pilu itu meruntun jiwa kawannya. Dia pun tidak mahu hidupnya begini. Tetapi, dia tidak kuat untuk melangkah ke depan. Dia masih terikat dengan kenangan lama antara dia dan Hakim. Kasih dan sayangnya terlalu dalam terhadap lelaki itu.

“Aku sayangkan Hakim Dalina. Aku sayang dia. Aku rindu dia….” Esakannya makin menggila. Dia terasa kehilangan yang teramat. Hilangnya tempat dia bermanja. Hilangnya tempat dia bergantung harap. Hilang…dia kehilangan…

“Maya, aku faham Maya. Tapi, kau kena lepaskan dia. Please. Kalau kau sayangkan dia, kau kena kuatkan semangat. Ingat, Allah itu ada. Aku rasa kau dah lupakan Allah. Kau dah jauh dengan-Nya. Itu yang kau teruk sangat macam ni. Kau jangan lupa Maya, Allah sedang menguji diri kau. Allah masih sayangkan kau Maya. Sebab tu umur kau panjang, ada masa untuk bertaubat lagi. Kau kena redha…kat sini!” ujar Dalina sambil menyentuh dadanya.

Lantas, dia memeluk tubuh Dalina. Dia benar-benar buntu. Hilangnya Hakim seperti kehilangan nyawa. Ya. Hakimlah nyawanya. Mungkin ada betulnya kata-kata Dalina. Memang hidupnya terumbang-ambing selepas pemergian lelaki tersayang. Dia tidak lalu makan. Dia selalu cuba mencederakan dirinya sendiri apabila dia dalam keadaan tertekan. Tertekan kerana rindukan lelaki itu. Sembahyangnya juga tidak menentu. Dia akui. Dia banyak duduk termenung. Kadang-kadang, dia keluar rumah tanpa hala tuju. Kadang-kadang dia duduk di tepi kolam itu dan bercakap sorang-sorang. Saban hari, dia berendam air mata.   

“Maya? Aku akan bantu kau Maya. Aku nak kau kuat. Jom. Kita berubah. Aku yakin Hakim inginkan kau bahagia. Kau tak ingat ke masa dia sakit dulu, berkali-kali dia suruh kau jaga diri, hidup dengan gembira dan paling penting jangan lupa Allah. Kau pun setia menjaga di sisinya. Aku pasti, Hakim sayangkan kau. Dia hargai kau sangat. Cuma, Allah lebih sayangkan Hakim.”

“Tapi, aku rindukan Hakim….aku nak jumpa dia…” Dia meluahkan rasanya kepada Dalina. Tangannya kuat mengenggam jari jemari Dalina.      

“Maya, aku sayang sangat kau. Kita dah berkawan sejak dulu lagi. Aku takkan tinggalkan kau macam ni. Selagi kau tak bangun ,selagi itu aku akan support kau. Maya, kalau kau rindukan Hakim, kau doalah mintak dia diampunkan dosa-dosanya dan diberi rahmat oleh Allah. Sampaikan salam dan rindu kau kepada dia macam tu. Insya Allah. Jangan putus doakan dia.” Pujuk Dalina lagi.

Hakim. Aku minta maaf kerana terlupa untuk mendoakan dirimu. Bukan aku tidak cinta, tapi aku alpa dengan kenangan lalu. Memori kita bersama. Dia seakan tersedar dari lamunannya yang panjang. Ya. Dia sudah terbabas landasan yang sebenarnya. Dia sudah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai hamba Allah. Dek kerana cintanya yang mendalam kepada lelaki itu, dia melupakan cinta yang hakiki. Cinta yang kekal kepada TuhanNya. Sebab itulah jiwanya sentiasa lara dan pedih. Kerana dia mengabaikan rasa kecintaan dan kasihnya kepada Yang Maha Agung.

“Terima kasih, Dalina. Aku perlukan pertolongan kau. Aku…aku nak hidup bahagia. Aku sayangkan Hakim. Tolong guide aku ke jalan yang betul Dalina. Aku dah jarang sembahyang sekarang ni. Aku menyesal. Aku tak nak Hakim menyesal kerana menikahi orang macam aku. Aku nak berubah. Aku nak jadi isteri yang baik.” Ujarnya sambil tersenyum pahit. Dia bersyukur kerana Dalina muncul pada hari ini. Kehadiran Dalina sedikit sebanyak menyuntik api semangat di dalam dirinya.

“Insya Allah. Mari kita sama-sama berubah.”
“Dalina,  macam mana kerja kau di New Zealand tu?” dia bertanya. Cuba untuk berbual setelah sekian lama membisu.
“Kerja aku okay. Semakin menarik. Takpe . Sekarang aku ambik cuti khas untuk jumpa kau. Tolong kau. Jadi, aku akan tetap di sisi kau sehingga kau bersemangat kembali. Okay sayang?”

Dia tersenyum mendengar kata-kata Dalina. Kawan sejak kecil lagi. Best friend. Cuma, sejak Dalina bekerja di New Zealand, dan dia berkahwin dengan Hakim, mereka jarang berhubung. Sesekali mereka sekadar berbalas email. Bertukar-tukar cerita dan gossip. Kini, Allah menggantikan Hakim dengan Dalina. Hatinya mula terbuka untuk melihat hikmah di sebalik kedukaan dan dugaan yang dihadapinya sekarang.

Semenjak kemunculan Dalina ke rumahnya, dia tekad untuk berubah. Dalina rajin datang ke rumahnya dan akan pulang selepas Isyak. Pernah dia beberapa kali mempelawa Dalina tidur aje di rumahnya, tetapi gadis itu menolak. Dia kata, segan. Serba salah juga dirinya, kerana terasa seperti menyusahkan kawannya berulang-alik.

Mak dan ayahnya juga ada melawat dia beberapa kali. Dan dia juga kerap menelefon mak dan ayahnya supaya mereka tidak risau. Kini, dia mencari dirinya yang hilang. Serpihan keimanan yang berkecaian perlu dicapai satu persatu. Dia kembali bertatih untuk mengenali Allah, mendekatkan dirinya dengan Yang Maha Esa.

Memang benar. Kecintaan dan kepercayaan terhadap Allah, serta doa dan harapan yang tidak putus kepadaNya mampu memberikan ketenangan dan kemanisan di jiwa. Dia lebih tenang. Dia lebih sabar. Setiap kali dia merindui Hakim, dia akan menitipkan doanya setiap kali sembahyang. Doa pada lelaki yang dicintainya. Menandakan ingatan dan kasih yang berpanjangan.

Dia bersyukur kepada Allah kerana mendatangkan Dalina dalam hidupnya. Dia memang sudah melupakan sahabatnya yang sorang itu. Dia juga berterima kasih kepada Dalina kerana sabar melayan karenahnya, mendengar luahan rasanya dan membantunya. Dia tersenyum sendirian.

“Maya…”
“Yep?” Dia menjeling ke arah Dalina sambil meneguk air kopi O kegemarannya.
“Gembira aku tengok kau. Kau dah sihat. Ceria dan boleh ketawa. Sebulan lebih kita bersama ni, sekurang-kurangnya kehadiran aku sedikit sebanyak membantu kau. Aku harap kau terus tabah. Allah ada, ingat tu Maya.” Dalina tersenyum manis.
“Semuanya jasa kau juga Dalina. Terima kasih! Aku bersyukur sangat kita bertemu kembali. Oh, Dalina. Dah lama aku tak jumpa parents kau. Dorang apa khabar? Teringat nak jumpa gak dorang. Ha, kau pun lama tak jumpa mak dan ayah aku kan?”

Dalina sekadar tersenyum tanpa jawapan. Kemudian, dia mengerling jam tangannya. Dia menjenguk ke luar tingkap. Seperti ada sesuatu yang bermain di mindanya. Pandangan Dalina jatuh pada wajah kawannya yang sedang merenung tajam ke arahnya.

“Kenapa kau tengok aku camtu Maya?” Dalina ketawa kecil.
“Em. Tak de apa. Tiba-tiba, aku rasa rindu kat kau. Hehe. Aneh betul. Aku sayangkan kau Dalina. Aku minta maaf selama kita tak berhubung sebelum ni. Aku nak minta maaf sekiranya aku ada berbuat salah pada kau. Harap kau maafkan aku.” Entah kenapa dia mengucapkan kata-kata sedemikian. Dia menatap wajah Dalina lama. Pelik. Terbit rasa rindu di hatinya terhadap kawannya itu.

Dalina tersenyum lagi. Perlahan-lahan dia mendekati Maya dan memeluk erat tubuh gadis itu.

“Aku pun sayangkan kau. Aku doakan kau sentiasa dilindungi dan djaga oleh Allah. Ingat Allah selalu ye….” Ucap Dalina. “Em, Maya. Aku kena pergi ni. Ada hal pulak. Baru teringat.”
“Oh, cepatnya? Haa, nak jumpa pakwe ke?” Maya tersengih.
“Pakwe? Hmm, ada kau sorang cukuplah nak jaga. Haha.”
“Amboi amboi. Haa, nanti jangan lupa datang lagi ye. Baik-baik bawa kereta.” Dia menepuk bahu Dalina sambil menghantar gadis itu ke luar pintu. “Apsal kau tak bawa kereta datang, kan senang?”
“Naik teksi cukuplah. Kaki aku bukan elok sangat nak drive ni ha.” Balas Dalina. “Okay, jumpa lagi. Assalamualaikum. Jaga diri, Maya.”
“Waalaikummussalam, kau jalan baik-baik.”

Dan itulah kali terakhir dia melihat Dalina. Kini, sudah empat hari gadis itu tidak menjenguk dirinya. Dia kehairanan. Dia cuba untuk menghubungi telefon bimbit Dalina tapi di luar kawasan. Baru dia teringat. Selama ini mereka tidak pernah berhubung menerusi telefon. Tiba-tiba, dia jadi risau. Adakah Dalina selamat sampai ke rumah pada hari itu? Dia bimbang.

Tidak semena-mena, dia teringatkan nombor handphone ibu Dalina yang pernah disave suatu ketika dahulu. Ah! Cuba call ibu Dalina. Berkurun nombor tu dalam handphonenya tapi tak pernah dia call ibu Dalina.

Nombor ibu Dalina didial.

Ringing.

Dia mengetap bibirnya. Hatinya berdoa supaya nombor itu masih valid.

“Hello…”

Ada orang jawab!

“Assalamualaikum…ini ibu Dalina ke?”
“Waalaikummussalam. Ye saya…?” Suara di hujung talian seperti kehairanan.
“Saya Maya, kawan Dalina. Saya nak tanya Dalina ada kat rumah ke? Dah berapa hari ni dia tak datang rumah saya.” Terangnya kepada ibu Dalina.
“Maya? Ya Allah, Maya kawan Dalina sejak kecil tu ke? Maya, syukur Maya call auntie. Dah lama auntie cuba cari Maya tapi tak tahu camne nak cari. Maya, boleh Maya datang sekarang ke University Hospital? Dah lama auntie cari Maya.”
“UH? Kenapa auntie?” Ahh, dadanya berdebar kencang. Pelbagai tanggapan yang bermain di mindanya tatkala mendengar nama UH. Apakah…. Argh mintak dijauhkan!
“Kita jumpa di sana. Auntie akan terangkan. Syukur Maya call auntie. Okay, dah sampai contact auntie ya. Salam.”
“Salam…” Talian terputus. Dia merenung kosong ke arah handphonenya. Apakah ada sesuatu yang berlaku kepada Dalina?


Dia bergegas mencari kunci keretanya. Enjin Peugot 307 yang sudah lama tersadai dihidupkan. Alhamdulillah. Mujur tak banyak cekadak kereta ni. Lantas dia memecut menuju ke UH. Mulutnya terkumat-kamit membaca doa. Semoga semuanya selamat.


Tuttt! Tuttt!

“Maya? Kat mana?” Tanya ibu Dalina.
“Saya kat lobi. Katne kita nak jumpa?”
“Maya datang tingkat 13. Wad ICU. Bilik nombor 2A.”

Berdesup rasanya jantung Maya. Wad ICU? Apa ni? Apakah semua ini? Dia melangkah laju mencari lif. Butang 13 ditekannya. Terasa lambat je lif tu naik. Hanya dia dan tiga orang nurse di dalam lif itu. Tidak begitu sibuk keadaan di hospital pada hari ini.

Matanya melilau mencari nombor wad. Kelihatan beberapa pelawat lain berlegar di ruang koridor situ. Ada yang menangis, ada yang normal, ada yang bersedih.

“Maya?”

Dia berpaling mendengarkan namanya disebut. Oh, ibu Dalina. Dah lama dia tidak jumpa. Wanita ini sudah makin dimamah usia. Garis-garis ketuaan terpancar di wajahnya. Namun, wanita ini kelihatan bersemangat.

“Auntie, ibu Dalina?” Dia tersenyum sambil menghulurkan salam. Salamnya disambut dan dia menundukkan badannya untuk mencium hormat tangan ibu Dalina.
“Syukur Maya datang. Sebenarnya, ada sesuatu yang auntie nak gitau Maya. Dah lama auntie cari Maya. Maya bertenang aje ye.” Ibu Dalina tersenyum. Di sisinya kelihatan seorang lelaki seusianya, ayah Dalina mungkin. Maya menunduk tanda hormat kepada ayah Dalina.
“Uh, apa dia auntie? Saya dah berdebar ni.”

Ibu Dalina sekadar tersenyum. Senyuman yang sama seperti Dalina. Serupa!

“Jom…” Ibu Dalina menarik tangan Maya menuju ke suatu bilik. Kelihatan seorang nurse sedang menunggu di pintu wad. Ibu Dalina mengambil dua baju hijau, khas untuk pelawat wad ICU.

“Sebelum Maya masuk, auntie nak cakap dulu. Dalina dah balik ke Malaysia dalam dua bulan lepas. Dia cuba cari Maya lepas dia tahu berita tentang kematian suami Maya. Dia risaukan Maya. Dia sanggup bercuti panjang dari kerjanya untuk membantu Maya. Dan, suatu hari dia accident. Parah hingga koma. Auntie sempat jumpa dia sebelum dia terus koma. Dia sempat pesan jangan matikan dia sebelum Maya datang melawat. Auntie tak sangka, esoknya dia koma terus. Otak dia dah mati sebab pendarahan yang teruk. Dia bergantung pada oksigen je la ni. Sebab tu auntie cuba cari Maya, tak nak dia terseksa lebih lama….”  Jelas ibu Dalina panjang lebar. Kelihatan air mata bergenang di kolam matanya.

Maya terkedu. Sungguh dia tergamam dengan penjelasan ibu Dalina yang bagaikan mimpi. Dalina koma?? Sejak bila?? Jika nak diikutkan dari cerita ibu Dalina, bunyi macam dah lebih sebulan dia koma? Dan siapakah….?

“Mari…” ajak ibu Dalina.

Dia menurut setiap langkah ibu Dalina. Hatinya gusar. Pedih dan sebak. Bila-bila masa saja air matanya akan tumpah. Dia menyusuri dari sebuah katil ke katil seterusnya, dan akhirnya berhenti di sebuah katil ini. Sekujur tubuh terbaring lesu dengan oksigen mask di wajahnya. Nampak sungguh tidak berdaya. Akhirnya, dia menangis.

“Ya Allah, Dalina? Auntie, dah berapa lama Dalina macam ni?” Dia merapati kawannya. Tangan Dalina digenggam erat. Dia beristighfar beberapa kali.

“Dua minggu selepas dia pulang dari New Zealand. Ni dah dua bulan dia macam tu.”

Dalina koma dua bulan. Dia koma sebelum Dalina datang bertemu dengan dia. Ya Allah. Dia sangat sebak. Dadanya seakan-akan hendak pecah. Kepalanya berpinar-pinar. Dia menatap wajah Dalina dalam-dalam. Sahabat yang dikasihi. Sekarang dia sudah faham. Dalina yang dating membantunya, adalah ‘Dalina’. Mungkin Dalina terlalu risaukan dia, sehinggakan koma begini, dia masih mampu untuk datang memberikan pertolongan kepadanya.

“Dalina, aku sayangkan kau. Terima kasih kerana membantu aku berdiri semula. Dalina…. Aku hargai setiap saat kita bersama. Aku doakan semoga kau bersemadi dengan aman. Dalina, pergilah dengan aman. Minta maaf. Kerana aku, kau sanggup terseksa macam ni.” Ucap Maya sambil menyeka air matanya. Dia berasa sungguh pilu.

Ibu Dalina memegang bahu Maya. Dia mengangguk. Mereka berdua keluar dari wad ICU bersama. Maya terasa bagaikan mimpi. Dia sungguh rasa tidak percaya. Baru je hari tu dia bergelak tawa dengan Dalina. Terasa sungguh real sekali. Memang real. Cuma, jasadnya tiada di situ.

“Auntie, ada benda saya nak gitau. Saya sangat berterima kasih kepada Dalina kerana datang bantu saya untuk hidup semula. Enam bulan saya bersedih. Macam mayat hidup. Satu hari dia melawat saya. Dia temankan saya untuk mendekatkan diri dengan Allah. Auntie, memang apa yang saya cakap ni susah nak percaya. Tapi, baru empat hari lepas saya bercakap dengan Dalina. Selama sebulan lebih ni, dia menemani saya dan memberi semangat kepada saya. Saya tak syak apa-apa pelik. Cuma, yelah bila fikir balik, memang aneh juga. Saya tak pernah tengok dia datang dengan apa. Dan dia tak pernah bermalam dengan saya. Auntie, terima kasih. Saya hargai apa yang Dalina buat. Semoga roh dia dicucuri rahmat dan bersemadi dengan aman.” Cerita Maya kepada ibu Dalina.

Ibu Dalina menganggukkan kepalanya sambil tersenyum puas. Di hatinya, dia percayakan setiap kata-kata Maya itu. Patutlah anaknya itu berpesan supaya tidak dimatikan selagi Maya tidak menziarahi dirinya. Ya Allah, segala urusan adalah kepunyaan Allah SWT. Kekuasaan Allah, tiada siapa yang dapat menyangkal. Apabila Allah berkehendak atas sesuatu, maka jadilah ia. Ibu Dalina bersyukur kerana Dalina pergi dengan aman. Impian Dalina tercapai. Kini, dia sebagai ibu dapat melepaskan anaknya pergi diiringi doa dan kasih yang tidak putus.


Selepas segalanya selesai, Maya memandu pulang dengan tenang. Fikirannya bercelaru sedikit. Apa-apa pun, segala yang terjadi adalah kehendak Allah. Allah masih sayangkan dirinya. Jadi, dengan pengorbanan Dalina, dia perlu terus hidup dengan baik bersandarkan harapan pada Allah. Maya tersenyum. Entah kenapa. Dia sayangkan Hakim. Dia sayangkan  Dalina. Kedua-duanya banyak mengajarnya erti kehidupan yang sebenar dan diredhai Allah.

Tiba-tiba, dia teringatkan mak dan ayahnya. Tanpa ragu-ragu, dia terus memecut menuju ke rumah kedua ibubapanya yang sudah lama merindui dirinya yang dulu.

Alhamdulillah. Aku sudah kembali ke landasan yang betul. Nur yang hilang, kini milikku semula. Terima kasih kepada arwah Dalina. Untukmu Hakim, cinta dan kasihku padamu tetap subur di hati ini. Ku doakan untuk Hakim dan Dalina agar dosa-dosamu diampuni Allah dan semoga dirahmati selalu.

Sehingga kita bertemu kembali.


The End.


Oleh,
Tuan Auz








Sekadar coretan,

Saturday, January 22, 2011

Terima kasih Cinta




Dia tersenyum melihat gelagat gadis pujaan hatinya. Agaknya kalo nak ikutkan hati gadis itu, sejam dua jam pun dia boleh berborak dengan kawan dia on phone tu. Ni pun kira baiklah 10 minit je dia bergayut. Bergayut ketika dating dengan dia? Haha. Dating berdua-duaan? Eh mana boleh. Islam tak bagi. Ini pun keluar sebab ada urusan.

“Riz, heee sorrylah kawan Ayu ni banyak cite la pulak. Dia ada problem dengan pakwe dia tu.” Jelas Ayuni sambil tersengih. Kerusi di sebelah lelaki itu ditariknya.

“Kawan Ayu yang mana ye?”

“Riz pernah jumpa sekali. Masa tu kita keluar ramai-ramai kat Mid Valley tu.”

“Kenapa dengan dia?” Tanya Hariz lagi.

“Dia cite la, mamat tu sibuk nak suruh dia pandai masak dulu sebelum kahwin. Paham je la kawan Ayu tu pulak jenis yang tak berapa minat masak. Dia boleh je kalo nak masak, cuma dia tak minat. Tapi Ayu rasa, kalau dia dah kahwin secara automatic dia akan masak untuk suami dia kan.”

“Jadi, sekarang ni dorang nak tangguh kahwin?” teka Hariz.

“Lebih kuranglah. Parents kawan Ayu tu pulak dah suruh kahwin. Lama tu dorang bercinta. Risau juga kan. Alasan je mamat tu nak tangguh kahwin. Geram lak Ayu.” Ayuni mencebik. “Em, sibuk je laki ni nak suruh pompuan pandai masak. Tapi, dia tu boleh ke jadi Imam untuk kita?”

Hariz tersenyum lebar mendengar omelan panjang dari Ayuni. Kekasih hatinya yang sorang tu memang begini. Bercakap apa yang terlintas di hati dan fikiran.

“Ayuni, itulah yang kebanyakan lelaki zaman sekarang ni tak ambik berat. Semuanya nampak yang si perempuan kena perfect dan tahu macam-macam. Bab memasak tu memanglah satu benda yang perempuan kena tahu, tapi lelaki pun kena juga tolong memasak ni. Lagi-lagi zaman sekarang, orang perempuan pun ramai yang bekerja. Mana nak kejar masa masak untuk suami, nak jaga anak lagi, masa untuk diri sendiri dan kerja.” Hariz diam seketika sambil merenung wajah Ayuni. Gadis itu memandang mukanya dengan penuh minat, menunggu kata-kata seterusnya.

“Memang. Kalau perasan,  mak mentua sure tanya si gadis tu boleh ke masak. If tak masak, anak laki dia nak makan apa. Bukan semua. Ada yang boleh terima pompuan tak tahu masak. Lepas kahwin, dia akan pandai sendirilah.Tapi, rata-rata camtulah. Dan, jarang ada yang tanya boleh ke lelaki tu jadi imam kepada anak gadisnya? Boleh ke lelaki itu memimpin anaknya ke arah jalan yang benar. Mampu ke lelaki itu mendidik isterinya seperti yang dituntut oleh Islam? Tak ramai yang mampu sebenarnya.”

“Riz…” panggil Ayuni.

“Hmm?”

“Ayu yakin Riz boleh jadi Imam pada Ayu,” ucap Ayuni sambil tersengih nakal. Gadis yang sorang ni unpredictable. Kekadang, apa yang dia nak cakap tu tak terlintas di fikiran kita. Itu yang membuatkan Hariz sentiasa terhibur dan tersenyum.

“Insya Allah. Kita sama-sama berusaha. Apa-apa yang kita buat pun, biarlah Allah redha dan berlandaskan syariat.” Jawab Hariz. Kemudian, dia mengerling ke arah jam di tangan. “Em, mana wedding planner ni? Lama gak kita tunggu dia.”

“Eh kan kita yang datang setengah jam awal? Takut orang tu tertunggu-tunggu kita pulak. Em, ni dia SMS Ayu cakap dah nak sampai dah.” Sampuk Ayuni sambil melihat handphonenya.

“Kita nak buat tema color apa Ayu?”

“Ayu suka betul tengok warna silver. Sekarang silver tengah in. Nampak sophisticated betul. Lawa pun lawa. Tapi, pink pun Ayu suka. Sweet je.”

“Kan tunang hari tu dah warna pink?”

“Emm, kejap sangatlah pakai masa tunang tu. Hehe. Ish, payah gak nak pilih warna ni.” Berkerut dahi Ayuni. Serius sungguh dia memikirkan warna apa yang hendak dipakai di hari pernikahan mereka.  

“Bagi Riz, asalkan pengantin tu bernama Ayuni binti Zulfadli, dah cukup syarat untuk sah nikah. Warna baju apa pun, Riz terima je.” Hariz ketawa kecil. “Belum sebut nombor IC Ayu lagi ni. Hehe.”

Ayuni mencebik. Tapi, dalam hati berbunga riang tatkala mendengar kata-kata jejaka di sisinya. Dia menjeling manja ke arah Hariz sambil tersenyum panjang.

“Terima kasih Ayuni. Terima kasih kerana sudi menerima Riz dalam hidup Ayu.”

“Riz ni…apsal bunyi sebak je ayat tu. Ayu pun nak ucap terima kasih sebab sudi ambik Ayu jadi isteri Riz. Ayu sayang Riz okeh. Hehe tulus ikhlas dari tangkai jantung ni.” Ayuni tergelak kecil. Hariz menggelengkan kepalanya. Nak feeling sikit pun tak leh. Nak jugak buat loyar buruk dia kat situ.

“Assalamualaikum, maaf saya terlambat sikit.”

“Waalaikummussalam.” Serentak Ayuni dan Hariz menjawab salam itu. Oh, mungkinkah dia wedding planner?

“Saya Zaza dari Bunga Green Resources. Er, ni Ayuni dan Hariz kan? Dah lama ke sampai? Haa, saya ada bawa beberapa sample untuk pilihan wedding you all.” Ucap Zaza laju seraya mengeluarkan dua buah album dan beberapa pamphlet untuk tatapan pasangan itu.

Tangan Ayuni laju menggapai album berwarna pink. Hariz sekadar merenung Ayuni sambil tersenyum. Sah! Petanda nak color pink jugak dia ni. Ayuni mengerling ke arah Hariz, terasa seperti dirinya diketawakan oleh mamat tu.

“What?” cebik Ayuni.

“Nothing, Ayu nampak cantik dengan warna pink.” Puji Hariz ikhlas. Ayuni sekadar menjeling. Macam biasa, bunga-bunga cinta di hati semakin berkembang. Gembira bukan main!

Zaza sekadar memandang pasangan di hadapannya. Dia turut tersenyum melihat Ayuni dan Hariz. Seperti memahami apa yang berlaku di hadapannya.

“Okay okay. Jom kita discuss. Ye Zaza, boleh tengok pakej yang paling cantik tapi affordable price?” ujar Hariz sambil tersengih memandang Ayuni di sebelah. Well, Sayang…I don’t mind wearing pink on our wedding day, just for you.





Ps: Tahniah kepada anda dan pasangan yang sudah dan bakal melangkah ke alam perkahwinan tidak lama lagi. Semoga anda semua sentiasa menjaga keharmonian dan kebahagiaan rumah tangga masing-masing. Kepada si isteri, jadilah isteri solehah dan bidadari kepada si suami. Tak dilupakan juga, si suami jadilah pemimpin dan pelindung kepada si isteri. Hargai pasangan anda ye. Bukan senang nak jumpa yang sehati dan sejiwa . Hehe.  =)




Sekadar coretan,



Sunday, December 26, 2010

MyCerpen: Mencintaimu


Ebook: Mencintaimu

Kod: C003

RM15



Ringkasan Cerita:

Edora bersahabat baik dengan Farsya, Dania dan Nurul sejak sekolah. Syafiq pula setia di sisinya, mengharap kasih yang entah bila akan terbalas. Edora sekadar menganggap Syafiq sebagai seorang kawan, tidak lebih dari itu.
Suatu hari, Edora terserempak dengan Idraki ketika bersenam di pagi hari. Pertemuan itu membuahkan bibit-bibit cinta antara mereka berdua. Manakala, Syafiq masih tetap setia menanti.
Namun, Idraki pergi meninggalkan Edora disebabkan salah faham antara mereka. Apakah Edora tetap tegar menunggu cintanya kembali padanya? Mungkinkah Syafiq, pencinta setia menjadi pilihan hatinya?


***********************************************************

“Sakit siot.” Aku dapat melihat banyak darah yang mengalir dari bahagian bahuku. “Aku rasa... peluru ni...kena keluarkan...”
Syafiq menyandarkan tubuhku pada badannya. Dia mengoyakkan lengan bajunya dan terus membalut bahuku. Dia menahan bahuku dengan tangannya.
“Sakitla...” Air mataku mengalir jua. Tak tahan dengan kesakitan yang amat nyilu ini.
“Fiq, tolong pastikan Puteri ni jaga...” ujar Idraki sambil menarik gear lagi. “Aku cari klinik.”
“Ed, jangan tutup mata tau. Cakaplah pape pun.” Bisik Syafiq. Dia takut jika Edora ‘pergi’ meninggalkannya. Tak kisahlah jika dia tidak dapat memiliki Edora sekali pun, asalkan Edora berada di sisi dia sebagai kawan baik.
“Eh, aku belum tulis...wasiat lagi la..” Aku terbatuk kecil.
“Ed! Janganlah bergurau.” Syafiq memelukku.
“Betul! Kau ada ker..tas tak?” Aku tersenyum tawar.
“Puteri! Cut it out! Jangan bergurau, please!” Idraki mengeluh. Honda Civic itu masih lagi mengekori mereka. “Ah! Aku kena U turn balik ni! Fiq, pegang Puteri baik-baik.” Idraki membuat sharp U turn. Mujurlah pada ketika itu tiada kereta. Kereta yang mengekori mereka terlajak agak jauh.
“Aku tak leh tahan lagi daa!!” jeritku, tertekan. Sakitnya! Sakit! Aku mula pening. Mungkin kerana kehilangan banyak darah. “Korang...” Pandanganku kelam.
“PUTERI!!” 

**************************************************************




Hak Milik,











 

Friday, December 3, 2010

Short Cerpen: Umairahku


Setiap hari mereka berdua pasti bertembung pada waktu yang sama dan di tempat yang sama iaitu di dalam lif. Kejadian ni bermula minggu lepas, apabila gadis itu membantu menekan butang lif untuk lelaki itu. Pada ketika itu, lelaki itu sedang mengangkat dua buah kotak untuk dibawa ke ofisnya. Mereka sekadar berbalas senyuman dan ucapan terima kasih.

Dan bermula pada hari itu, mereka kerap bertembung di pagi hari. Lelaki itu tahu gadis itu bekerja di tingkat 8 manakala dia di tingkat 14. Walaupun berjumpa setiap hari, tiada satu patah kata yang keluar melainkan senyuman yang mengiringi 'perbualan' masing-masing. 

Melalui tag si gadis, lelaki itu tahu bahawa gadis itu bekerja di syarikat yang sama dengannya cuma dia tidak pernah melihat gadis itu sebelum ini. Mungkin tidak sedar atau tak amek port sekeliling. Kalau bukan kerana si gadis itu membantunya menekan butang lif pada hari itu, pasti sehingga kini dia tidak akan perasan kewujudan gadis itu.

Dari hari ke hari, bertukar senyuman dan berbalas pandangan. Kini berlanjutan sehingga sebulan. Dia makin jarang bertembung dengan si gadis itu. Mungkin si gadis datang awal atau pun terlewat tiba. Dia tidak pasti. Mungkinkah sudah bertukar tempat kerja? Oh jangan! Terbit rasa rindu di hati terhadap gadis tersebut. Dia nekad, selepas ini dia mahu menegur dan bertanyakan nama gadis itu. Dia tidak akan menyesal jika direject depan-depan. Rugi kalau tidak mencuba. Melepaskan peluang yang diidam-idamkan sebelum ini.

Dan doanya didengari Allah mungkin. Tengahari itu, lunch time, dia bernampak si gadis sedang menikmati makanan tengahari bersama rakan-rakannya. Dia terkedu. Ah! Inilah masanya. Sama ada dia nekad atau pun terlepas. Dia nervous. Dia tidak jadi keluar makan. Dia tunggu sehingga gadis itu menghabiskan makanannya. Takkan nak datang tegur masa makan? Terserdak tak pasal pula. Selesai sahaja makan, si gadis dan rakan-rakannya berlalu dari situ.

Dia segera mengejar gadis itu. Dia tidak kisah orang lain nak cakap apa. Dia hampir gila bayang rindukan gadis tersebut. Dia tahu. Gadis itu kini hampir mendapat tempat di hatinya. Cuma dia memerlukan kepastian. Kepastian yang pasti.

"Awak...awak!" Panggil lelaki itu. Dadanya berombak kencang. Gila ke aku ni? Fikirnya.

Gadis itu berpaling. Rakan-rakannya juga menghentikan langkah. Mereka kehairanan. Salah orangkah lelaki ini?

"Err...awak. Boleh saya nak cakap sekejap dengan awak?" ujar lelaki itu sambil merenung wajah si gadis dengan serius. Nervous sangat!

Si gadis itu memandang rakan-rakannya. Rakan-rakannya memberi signal "we all naik dulu k?" . Gadis itu seakan-akan tidak mahu ditinggalkan berdua dengan lelaki itu. Dia berpaling sambil mengetap bibirnya.

"Boleh saya tahu siapa nama awak?" tanya lelaki itu sambil tersenyum.

"Emm... kenapa nak tahu nama saya ye?" Pertanyaan dijawab pertanyaan. Gadis ini cuba bermain dengan selamat. Mungkin kerana tidak mengenali dirinya barangkali.

"Kita selalu bertembung dalam lif. Dan akhir-akhir ni saya jarang nampak awak. Sekarang saya dah jumpa awak, saya curious nak tau nama awak. Bolehkan?"

"Saya Umairah." jawab si gadis perlahan. 

Umairah. Nama yang cantik. Manis dan lembut didengar. Selembut raut wajahnya. Semanis tuan empunya badan. Lelaki itu tersenyum lebar. Hatinya berbunga riang. 

"Saya Yusuf." Dia tergamam seketika. Tidak tahu macam mana mahu memulakan perkenalan. Debaran di dada bagaikan menggila.

"Ye? Ada apa saya boleh bantu?" tanya Umairah tatkala melihatkan si lelaki itu terdiam lama.

"Umairah, macam ni. Minta maaf kalau saya datang secara mengejut. Sebenarnya dah lama saya perhatikan Umairah masa kita selalu jumpa kat lif tu. Saya nak berkenalan dengan Umairah..." ....saya nak jadikan Umairah teman hidup saya... Kata-kata itu mati di kerongkong sahaja. 

Umairah seakan menangkap maksud sebenar lelaki itu. Dia sekadar tersenyum simpul.

"Terima kasih. Kalau nak berkenalan sebagai kawan sahaja, saya boleh terima. Tapi, kalau lebih mintak maaf saya cakap awal-awal. Saya baru je bertunang minggu lepas." Redup pandangan mata Umairah terhadap Yusuf. 

Yusuf terkedu. Jantungnya bagai disentap kuat. Terasa harapannya musnah pada ketika itu. Bertunang minggu lepas?? Dia lambat sikit je nak tegur Umairah. Umairah dan menjadi tunangan orang? Apakah kalau dia berkenalan dengan gadis ini lebih awal, peluangnya terbuka luas? Umairah...Umairah...

"Oh ah...dah bertunang ke? Er...maaf bertanya. Dengan siapa?" Argh!! Apa soalan aku ni? Yusuf mula tidak keruan.

"Pilihan keluarga. Anak kenalan mak." jawab Umairah lembut.

"Bila majlis?" Terasa perit untuk bertanyakan soalan itu. Yusuf sebak. Dia hiba! Inikah yang dikatakan cinta pandang pertama? Boleh pakai ke simpulan bidalan ni?

"Lagi dua bulan." Umairah diam. Dia dapat membaca gelodak di jiwa hati lelaki itu. "Saya minta maaf, Yusuf."

"Eh tak pe. Bukan salah awak. Haa okaylah. Bila-bila free, kita makan sama ye? Saya kerja kat tingkat 14 je. Kita sama company. Ha Umairah, jom kita balik ofis." Yusuf mengukir senyuman hampa. Dia tidak dapat membendung perasaannya. Pasti Umairah dapat membaca isi hatinya. Ah biarlah! Bukankah aku yang sudah nekad untuk meneruskan niat aku sebentar tadi? 

Mereka berjalan beriringan ke lif yang menjadi pertemuan mereka, yang menjadi tempat perkenalan serta hati Yusuf terpaut. Mungkin ini kali terakhir mereka naik lif bersama. Mungkinkah ..... 

Yusuf kesal sedikit. Namun, dia akur dengan ketentuan Ilahi. Nyata Umairah bukan jodohnya. 

"Yusuf, saya pergi dulu..." ujar Umairah apabila lif berhenti di tingkat 8. 

Yusuf sekadar tersenyum sambil merenung wajah Umairah sehingga lif tertutup kemas. Umairah ..... hmmm, kau bukan untukku.


END


by ,
Tuan Auz



ps: Tengah berkira-kira nak menulis cerita panjang untuk MyCerpen berdasarkan Short Cerpen Umairahku pulak. =)